Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Begitulah semangat yang tersemat di jiwa setiap kali mengikuti pertandingan memanah ketika remaja. Sebagai seorang atlet yang mewakili negeri Pulau Pinang dalam acara memanah, saya berpeluang untuk berkenalan dengan para atlet terdiri dari pelbagai kaum, budaya, dan umur. Kami berkongsi bilik asrama, makan bersama di kantin, berlatih di padang, dan bersorak untuk pasukan sendiri. Latar belakang setiap orang tidak penting.
Semasa menyertai pertandingan antara negeri, saya berkesempatan untuk berkawan dengan para pemanah dari negeri lain. Sudah pasti kami teruja setiap kali dapat bersua muka dua tiga kali setahun. Kami mungkin pesaing di padang, tetapi sahabat di luar padang. Biarpun sudah lebih sedekad tidak menyentuh busur dan anak panah, kenangan yang tidak dapat dilupakan ini terus menjadi perbualan di Whatsapp.
Mungkin kerana belajar di sekolah kebangsaan sejak sekolah rendah, saya mudah untuk bergaul dengan kawan-kawan dari latar kaum yang berbeza. Pada pendapat saya, para pelajar sekolah yang berpeluang menyertai pelbagai acara sukan antara sekolah ataupun negeri turut berpeluang untuk memaknai hubungan silaturahim dengan lebih mendalam.
Pengalaman menjadi seorang atlet muda tidak hanya melatih disiplin diri, sikap saling hormat-menghormati, dan semangat kesukanan. Malah, ia juga mematangkan diri sehingga kita tahu bahawa biarpun sikap perkauman wujud dalam diri semua individu, namun tidak bermakna persahabatan antara dua rakan berlainan kaum tidak tulus. Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik sikap bersangka baik antara satu sama lain.
Bersatu Teguh, Bercerai Roboh
Bercakap tentang sukan, setiap kali Malaysia bertanding di Sukan Olimpik ataupun Sukan Komanwel, saya tidak pernah terlepas untuk menyaksikan majlis pembukaan. Tujuannya adalah untuk melihat kontinjen negara yang dengan penuh bangga menggalas harapan negara berarak dengan pakaian seragam berwarna jingga bercorak belang harimau. Apatah lagi bila atlet negara seperti Lee Chong Wei dan Nicol David bertanding, semangat patriotik yang membuak-buak antara rakyat Malaysia tiba-tiba terserlah.
Di kedai mamak dan di sesetengah kedai McDonald’s (atau digelar sebagai Mekdi), skrin besar akan menayangkan aksi-aksi atlet negara, terutamanya bagi acara sukan yang lebih menjadi tumpuan sukan negara seperti badminton, bola sepak, dan acara renang. Semua penonton tekun meneliti saat-saat genting ketika persaingan semakin sengit, lalu bersorak bersama apabila atlet negara berjaya memenangi pertandingan.
Namun, biarpun sehati sejiwa dalam pelbagai perkara, kerana pelbagai isu lain, rakyat Malaysia juga sering bersengketa antara sesama mereka. Kita tidak perlu lagi membangkitkan isu 13 Mei ataupun isu-isu politik bangsa. Kita cuma perlu berfikir tentang keadaan hari ini bagi melihat bagaimana lemahnya semangat bersatu padu di kalangan rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, antara isu yang paling hangat diperdebatkan buat masa ini adalah tentang cara pengendalian krisis Covid-19 negara. Sejak bulan Mac tahun 2020 lagi, ramai yang saling menuduh terutamanya apabila bilangan kes baru semakin meningkat. Ada yang menuduh pihak kerajaan yang tidak cukup efisien dan berat sebelah, ada yang menuduh pihak polis lalai menjalankan sekatan jalan raya, dan ada juga yang menuduh Kementerian Kesihatan kerana lambat mendapatkan vaksin.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan dituduh tidak menjaga ekonomi negara. Apabila PKP dilonggarkan, kerajaan pula dituduh tidak mengutamakan nyawa rakyat. Tambah lagi jika PKP dilaksanakan pada musim perayaan, kerajaan dituduh bersifat perkauman kerana tidak bertimbang rasa. Tiada pula yang bertanya diri sendiri sama ada mereka benar-benar bekerjasama untuk bersama-sama menangani wabak ini.
Saya rasa terkilan apabila melihat kawan-kawan yang masih keluar rumah semasa tempoh PKP untuk bersenam mahupun bersantai di pantai dengan alasan masih mengikuti SOP penjarakan diri. Duduk di rumah sepanjang hari untuk tempoh yang lama merupakan perkara yang susah, terutamanya bagi mereka yang giat bersukan.
Namun saya akui bahawa hal ini amat mengecewakan, apatah lagi apabila membayangkan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa masyarakat. Dengan keluhan sebegini, ternyata bahawa saya sendiri juga sedang ‘menuduh’ orang lain atas kemudaratan situasi wabak di negara ini.
Pada pendapat saya, sikap tuduh-menuduh seakan-akan sudah menjadi resam setiap manusia tidak mengira tempat. Mustahil untuk menemukan sebuah masyarakat yang tidak pernah bertelingkah, lebih-lebih lagi pada zaman media sosial sekarang. Semua orang berpeluang meluahkan pendapat masing-masing.
Walaupun kebebasan untuk bersuara itu perkara yang bagus, namun ada yang menyalahgunakan kebebasan ini untuk mengkritik secara membuta tuli sehingga masyarakat berpecah-belah. Pada masa sekarang, amalan berfikir sebelum bertutur dan sikap toleransi seharusnya diterapkan supaya perbalahan tidak lagi tercetus.
Bagi saya, masyarakat Malaysia yang majmuk bagaikan rojak ini adalah cukup unik kerana setiap kanak-kanak yang membesar di sini berpeluang berkawan dengan rakan yang berlainan agama dan adat. Malah, sebagai seorang anak Malaysia, saya bangga kerana sekurang-kurangnya dapat bertutur dalam dua bahasa—bahasa Melayu dan bahasa Inggeris—dengan fasih. Di sini, kita sudah biasa mendengar orang mencampurkan empat hingga lima bahasa dalam satu ayat ketika berbicara.
Selain itu, kebolehan kita untuk menggemari makanan yang berasal dari pelbagai budaya adalah amat menarik. Ia menunjukkan betapa dalamnya identiti masyarakat majmuk yang sudah tersirat dalam diri kita. Sebagai seorang rakyat Malaysia beretnik Cina, saya sentiasa merindukan nasi kandar dan roti canai semasa mengembara ke luar negara.
Walaupun kadang-kala seperti budak-budak yang sering bertelingkah, namun pada terasnya, masyarakat Malaysia sudah lama biasa tinggal bersama-sama. Mereka yang berfikiran cetek akan meneruskan amalan etnosentrik mereka. Sebaliknya, mereka yang bijaksana dan matang, akan menghargai hubungan silaturahim yang ada di negara kita. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.