Hubungan Malaysia dan Indonesia boleh diibaratkan seperti pertalian adik-beradik. Kedua-dua negara ini sering melalui fasa pasang surut dalam hubungan diplomatik. Kadangkala hubungan yang mesra, pada suatu saat lain melalui fasa bertegang urat.
Jika diamati, sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 tahun ini, Perdana Menteri Malaysia yang baru dipilih; akan melakukan lawatan antarabangsa yang pertama ke Jakarta berbanding negara-negara lain Tan Sri Mahiadin Yassin dan Dato Seri Ismail Sabri, masing-masing melakukan lawatan ke Jakarta pada 4hb Februari dan 9hb November 2021. Manakala pada 8hb Januari 2023, Dato Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan antarabangsa pertamanya ke negara terbesar di Asia Tenggara itu.
Tidak dinafikan bahawa Indonesia merupakan “primus inter pares” dalam kalangan ahli-ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Selain merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk teramai (melebihi 270 juta rakyat) dan memiliki potensi pasaran yang luas, ia juga merupakan kuasa ketenteraan terbesar di Asia Tenggara. Oleh yang demikian, menjaga hubungan baik dengan Indonesia merupakan suatu kemestian bagi memastikan kestabilan rantau Asia Tenggara.
Jalinan kekerabatan antara Malaysia-Indonesia
Dalam konteks sejarah, jalinan yang mengikat Indonesia dan Malaysia adalah berbentuk kekerabatan (kinship). Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih mempunyai ikatan kekeluargaan dengan rakyat Indonesia. Sebagai contoh, Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, seorang berketurunan Jawa, masih mempunyai keluarga di peringkat sepupu di Indonesia.
Hubungan peringkat rakyat (people to people) yang terjalin beratus tahun ini kemudiannya berubah menjadi hubungan diplomasi rasmi apabila kedua-dua buah negara membentuk negara bangsa yang tersendiri. Ekoran jalinan kekerabatan ini, Indonesia menjadi salah satu lokasi pembukaan kedutaan awal Persekutuan Tanah Melayu pasca Merdeka 1957. Manakala, enam buah kedutaan lagi masing-masing di New Delhi, Canberra, London, Bangkok, dan Washington D.C.
Akrabnya Malaysia dengan Indonesia tergambar dalam peristiwa sewaktu Malaysia mula-mula mahu menjalinkan hubungan diplomasi dengan China pada dekad 70-an. Pada tahun 1972, sebuah delegasi telah dihantar oleh kerajaan Malaysia ke China bagi merundingkan hubungan diplomasi antara kedua-dua buah negara.
Terdapat dua orang pegawai kerajaan Indonesia dimasukkan sebagai ahli delegasi Malaysia ke China. Menurut Tan Sri Razali Ismail (salah seorang ahli delegasi), usaha ini dilakukan bagi mengelakkan syak wasangka negara tetangga tersebut tatkala Malaysia menjalinkan hubungan dengan negara komunis terbesar di rantau Asia itu.
Diplomasi ala kampung
Jalinan kekerabatan ini banyak membantu menyelesaikan kekusutan dalam hubungan diplomasi Malaysia-Indonesia. Ketika suasana tegang kesan daripada dasar konfrontasi Presiden Sukarno membantah penubuhan Malaysia, diplomasi ala kampung telah membantu menyelamatkan keadaan.
Tan Sri Ghazali Shafie yang mengetuai Wisma Putra ketika era konfrontasi ada menceritakan bagaimana beliau mengadakan siri pertemuan rahsia (clandestine project) dengan pimpinan Indonesia (di luar pengetahuan Presiden Sukarno) di Bangkok bagi membincangkan penyelesaian konflik antara dua negara tersebut.
Beliau menceritakan bagaimana beliau bersama wakil operatif Indonesia seperti Jeneral Ali Moertopo dan Jeneral Benny Moerdani menggali apakah terdapat kebersamaan yang boleh diketengahkan bagi melunturkan pertikaian antara kedua-dua negara. Inilah menurut Ghazali Shafie sebagai “tradisi berkampung” yang menjadi modus operandi dalam masyarakat di Nusantara setiap kali tercetusnya konflik. Kesemua pihak yang bertelagah akan duduk semeja dan “berkampung” sehinggalah jalan penyelesaian dicapai.
Lantaran itu, selepas berakhirnya era konfrontasi, perjumpaan dan perhubungan di antara pegawai-pegawai tinggi kedua-dua negara kerap dilakukan bagi berbincang dan mengemaskini setiap isu yang mendasari hubungan Malaysia-Indonesia.
Sebenarnya terdapat banyak anekdot mengenai hubungan Malaysia-Indonesia, khususnya berdasarkan pengalaman para diplomat awal negara. Antara yang paling menarik adalah kisah yang diceritakan oleh Tan Sri Zainal Abidin Sulong mengenai pengalaman beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia selepas era Konfrontasi.
Menurut beliau, pada tahun 1972, ketika baru dilantik menggalang tugas sebagai Duta Besar ke Jakarta, beliau dihubungi oleh salah seorang pegawai tinggi Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Ali Moertopo. Untuk pembaca yang kurang memahami sejarah Indonesia moden, Jeneral Ali Moertopo ini merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam menamatkan konfrontasi Malaysia-Indonesia dan merupakan orang kepercayaan Presiden Suharto.
Tan Sri Zainal Abidin diberitahu bahawa Presiden Suharto meminta jasa baik Malaysia untuk membantu membekalkan beras sebanyak 20 ribu tan metrik bagi menampung kekurangan stok beras di Indonesia pada ketika itu. Dalam tempoh 24 jam, Kuala Lumpur memberikan persetujuan menghantar bekalan yang diminta walaupun hanya sebanyak 12,000 tan metrik beras.
Dikatakan bahawa Presiden Suharto sangat terharu dengan komitmen Malaysia. Menurut Presiden Suharto, ini adalah contoh “diplomasi ala kampung”. Laksana kehidupan di kampung, jika kita kekurangan barangan dapur, kita akan meminjamnya daripada jiran tetangga. Kemudian memulangkannya semula apabila sudah berkemampuan.
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua
Tidak dinafikan banyak isu yang kemudiannya menjadi titik ketegangan hubungan kedua-dua buah negara tetangga ini. Kadangkala, ketegangan itu bukanlah di antara kerajaan, tetapi diantara rakyat yang sering kali sahut-menyahut mengenai isu remeh-temeh seperti siapa yang berhak menuntut tarian reog dan juadah rendang. Isu seperti ini tidak seharusnya timbul, kerana hubungan kebudayaan di antara masyarakat di kedua-dua buah negara bukanlah perkara yang asing.
Statistik oleh MATRADE setakat bulan November 2022 menunjukkan nilai eksport Malaysia ke Indonesia adalah sebanyak RM 51.73 billion. Manakala nilai import kita ke Indonesia pula mencecah RM 68.53 billion. Secara keseluruhan, ini menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar bagi Malaysia.
Kebanyakan sektor industri di Malaysia dari perladangan sehingga pembinaan, sebahagian besarnya bergantung kepada tenaga kerja Indonesia. Malangnya, pada tanggal 13hb Julai 2022, kerajaan Indonesia telah membekukan izin kemasukan rakyatnya untuk bekerja di Malaysia. Ini berikutan pertikaian mengenai sistem pengambilan pekerja yang berserabut. Pihak Indonesia menuduh bahawa Malaysia masih menggunakan sistem lama, walaupun bersetuju untuk menggunakan sistem baru yang telah siap dibangunkan.
Namun, berkat kesefahaman antara kedua-dua kerajaan, halangan ini telah ditarik semula pada bulan Ogos tahun lalu. Dianggarkan terdapat hampir 1.2 juta rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia (secara sah). Penggantungan kemasukan pekerja sudah semestinya akan membantutkan pemulihan ekonomi Malaysia yang baru mahu berkembang semula selepas dibadai penularan Covid-19.
Isu-isu yang tidak terselesaikan
Isu pertikaian wilayah seringkali menjadi “api dalam sekam” kepada keharmonian hubungan Malaysia dan Indonesia. Sebagai contoh, pertikaian atas kawasan Ambalat hampir-hampir menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia kembali ke era konfrontasi. Sebenarnya, rundingan pertikaian kawasan Ambalat ini sudah dilakukan sejak tahun 1969. Malangnya ia tidak menghasilkan jalan penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua pihak. Oleh yang demikian, isu ini terus tergantung sehingga kini. Pertikaian yang sama juga turut terjadi mengenai isu pemilikan pulau sekitar Sipadan dan Ligitan.
Sempadan maritim merupakan isu yang sering menghantui hubungan Malaysia-Indonesia. Pulau Sebatik merupakan kes kajian klasik tentang pembahagian sempadan di antara Malaysia dan Indonesia. Kawasan bahagian utara Pulau Sebatik diisytiharkan sebagai milik Malaysia, manakala bahagian selatan pula berada di bawah pemerintahan Indonesia. Pembahagian kawasan sempadan darat tidak begitu mendatangkan isu besar kepada kedua-dua negara. Namun, pertikaian yang jelas adalah mengenai pembahagian kawasan maritim.
Kedaulatan kawasan maritim inilah ruang yang masih belum selesai dan akan menjadi punca pertikaian di antara Malaysia dan Indonesia di kemudian hari, umpamanya jika ditemui blok telaga minyak di kawasan berhampiran.
Walaupun kaedah yang selalunya diambil dalam isu sebegini adalah membiarkan sahaja sehinggalah mekanisme yang mapan muncul di kemudian hari, sebagai negara bangsa moden yang berkongsi sempadan maritim yang luwes, isu kawasan maritim tidak boleh dibiarkan sehingga tercetusnya konflik.
Oleh yang demikian, bagi membuktikan kewibawaannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan dasar luar kerajaan pimpinannya. Persoalan ini berbangkit ekoran Malaysia tidak mempunyai dasar luar yang jelas sejak tahun 2018. Krisis politik domestik yang menghantui Malaysia menyebabkan tumpuan dan sumber negara ditumpukan bagi menyelesaikan krisis politik yang tidak berkesudahan.
Penulis berharap agar kerajaan pada hari ini dapat menghasilkan dasar luar yang bebas, aktif, dan progresif bagi mengembalikan status Malaysia sebagai negara yang dihormati di peringkat antarabangsa. Ibarat menarik rambut dalam tepung, kita harus sentiasa pragmatik dalam mencatur hubungan diplomatik, namun tetap tegas dalam mempertahankan kepentingan nasional.
Rizal Hamdan merupakan pemerhati politik antarabangsa dan dasar luar.