Buku tidak pernah terlepas daripada persoalan ruang, lebih-lebih lagi ketika buku fizikal mula diberi perhatian semula, seperti hari ini. Bentuk penerbitan yang sangat tua usianya itu menuntut sebuah penempatan yang nyaman, tinggi darjatnya, namun tetap mudah untuk digapai. Paling sederhana, sebuah rak dua tingkat. Semakin banyak buku yang dimiliki, semakin tinggi keperluan untuk sebuah ruang yang selamat bagi buku-buku tersebut—jika tidak ingin melambakkan kesemuanya di atas lantai. Dengan adanya ruang seperti rak buku, kita juga menyaksikan sebuah rampaian bahan bacaan yang selama ini terbangun bersama kita.
Saya mula menumpuk buku selepas tamat sekolah. Selera pembacaan saya banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik yang berlaku pada ketika itu, iaitu pada lewat dekad 2000-an. Pada waktu itulah berlangsungnya dua buah perhimpunan rakyat dan Tsunami Politik sehingga pemerintahan negara bertukar tangan buat pertama kalinya. Kerana penuh rasa ingin tahu, kurang daripada setahun, rak buku bersaiz sederhana milik keluarga saya dipenuhi dengan buku politik, sedikit buku falsafah dan agama, dan beberapa buah novel tempatan dan antarabangsa. Dalam kesempitan ruang, di hadapan rak buku buruk itu jugalah ibu saya duduk bersila untuk membaca novel-novel picisan yang diminatinya.
Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti sebuah sesi perbualan yang berjudul “Reading Room” di hotel Kloé, Kuala Lumpur. Hotel itu meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-5. Seperti beberapa hotel baru lain di ibu kota itu, Kloé memperkenalkan sebuah bilik yang dipanggil “Room to Read” untuk tetamu merasai sebuah pengalaman membaca yang selesa sewaktu menginap. Ruangan tersebut dilengkapi dengan sebuah meja tulis, sebuah rak buku, dan sebuah kerusi santai yang kesemuanya diperbuat daripada kayu. Dinding bilik gaya industri dengan perhiasan dinding yang minimum tidak kurang memberikan rasa nyaman untuk kegiatan membaca.
Sewaktu pertama kali memperkenalkan bilik tersebut, Kloé bekerjasama dengan Nazir Harith Fadzilah, pemilik kedai buku Tintabudi untuk membangunkan bahan bacaan di ruangan tersebut. Kloé tidak hanya menawarkan ruang untuk tetamunya membaca buku dengan selesa, tetapi turut memaparkan contoh sebuah bilik bacaan yang “ideal” kepada orang yang berimpian untuk memiliki ruang membaca sendiri di rumah, terutamanya kelompok kelas menengah dan penghuni kota. Melalui konsep ini, buku boleh dibaca di ruangan khas, tidak semestinya di dapur atau dalam perjalanan—seperti yang selalu kita lakukan dengan telefon pintar.
Dalam perbualan tersebut, pendengar dijelaskan tentang langkah-langkah yang boleh diambil dalam membangunkan sebuah “bilik membaca” sendiri, dari memilih-milih buku berdasarkan minat peribadi, kepada minat orang lain, sehinggalah mengumpul buku-buku berdasarkan keunikan luaran dan nilai pasaran, khususnya buku-buku langka. Dengan kata lain, para pendengar didedahkan dengan segala macam pendekatan yang nantinya perlu disaring berdasarkan bentuk hubungan masing-masing dengan buku. Perbezaan hubungan ini penting kerana ia akan mempengaruhi bagaimana kita melihat dan memaknai sebuah bilik membaca.
Yang pasti, pengembaraan seorang pembaca buku yang motivasinya pengetahuan, berbeza dengan penjual buku, pengumpul, pustakawan, mahupun arkitek. Baginya, yang dibeli terlebih dahulu ketika dia ingin membaca adalah buku, bukannya rak buku. Bagi seorang penjual, hubungannya dengan buku-buku yang ditumpuk untuk dijual sebahagian besarnya ditentukan oleh selera pembaca. Pengumpul buku barangkali sama mementingkan harga jualan semula dengan nilai ilmunya. Pustakawan pula kadangkala turut mengumpulkan buku-buku langka, tetapi berkongsi dengan orang lain untuk dibaca.
Seseorang pembaca membangun bersama buku-bukunya dalam suatu tempoh yang panjang. Buku-bukunya ikut berubah berdasarkan perubahan minat sekaligus mencerminkan pemiliknya, bukan sebaliknya. Bagi pembaca, hubungannya dengan ruang dan buku tidak semestinya hadir dalam bentuk nyata. Ia turut wujud dalam bentuk tidak nyata, atau secara bayangan, iaitu melalui khayalan. Malah, alasan itulah yang sering mempertemukan kita dengan buku. Buku menjadi semacam pelarian diri daripada ruang-ruang nyata, atau jalan keluar akibat ketiadaan ruang-ruang tersebut, sekaligus bertindak sebagai pintu masuk ke ruang yang lebih luas dan rencam. Kita membaca buku untuk mengembangkan imaginasi dan melampaui ruang dan waktu, walaupun buat seketika.
Dengan menyemak sampul, kita menjejakkan langkah pertama ke sebuah tanah baru. Kemudian, kita bergerak melalui denai-denai halaman dan memerhatikan pemandangan-pemandangan baru lewat tema-temanya. Kita bertemu dengan orang yang tidak dikenali melalui watak-wataknya, dan melompat dari satu batas idea ke batas idea lain. Biarpun tubuh tidak ke mana-mana, kita sebagai pembaca tetap bergerak secara khayalan, lalu bertemu dengan kota, mimpi, sejarah, dan masa depan. Maka, orang boleh sahaja membaca buku di mana-mana, hatta di dalam tandas atau di dalam kurungan.
Idea “bilik membaca” sudah tentunya bukan baru. Namun, dalam konteks hari ini, ia menjadi popular terutamanya bagi keluarga yang mementingkan pendidikan, golongan profesional, pekerja kreatif, ataupun dalam pelbagai senibina rumah moden. Bagi sebahagian orang, bilik membaca masih merupakan barang yang mewah, dan angan-angan yang belum tentu dapat dicapai. Paling dekat, “bilik membaca” mungkin hanya boleh dibayangkan adalah perpustakaan awam, atau paling tidak, “kerusi membaca” yang letaknya di tepi dinding.
Namun sekali lagi, hubungan antara buku dengan ruang bersifat emosi dan intelektual. Bagi mereka yang tidak memiliki ruang sendiri, buku tetap memungkinkan wujudnya ruang imaginasi, untuk kita berfikir, merenung, dan menelusuri makna. Maka, selagi ada keinginan untuk membaca, selama itulah buku akan terus menemukan kita dengan ruang-ruang baharu—yang tidak semestinya terikat oleh dinding.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.