Pagi ini, hati saya bagai disayat sembilu tatkala membaca satu berita di New Straits Times. Seorang pelajar tingkatan satu, yang baru seminggu melangkah ke alam baru di sebuah sekolah berasrama penuh di Lembah Klang, menjadi mangsa tangan kasar seorang pelajar senior. Pelajar malang itu disuruh membasuh dan menggosok pakaian bukan miliknya bukan lima atau enam helai tetapi mencecah sehingga 10 helai sehari. Keadaan bertambah buruk bila dompet seorang pelajar telah hilang dan tiada siapa yang mengaku mengambil. Dia adalah mangsa keadaan, disoal siasat dengan ditumbuk, ditendang, dan ditampar sehingga mulutnya berdarah—kesan kecederaan fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar namun meninggalkan perasaan luka yang mendalam dan pedih.[1]
Bayangkan, seorang anak remaja yang ‘setahun jagung’, dengan semangat membara memulakan langkah ke sebuah fasa baru kehidupan, tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian pahit. Baru sahaja seminggu berjauhan daripada dakapan ibu bapa, dengan perasaan bercampur-baur—takut, teruja, dan penuh tanda tanya, terpaksa berdepan dengan budaya buli yang menghancurkan.Saban malam dirinya dipenuhi esakan perlahan, cuba menahan tangis supaya tidak didengar teman sebilik. Adakah ini harga yang harus dibayar untuk mengejar ilmu di sekolah-sekolah yang sepatutnya mendidik, melindungi, dan membentuk insan berkualiti? Bagaimana sebuah institusi yang gah sebagai tempat melahirkan generasi cemerlang mengizinkan budaya seperti ini terus bertapak?Kita harus bertanya—di manakah silapnya? Apakah sekadar kesalahan individu, atau ini cerminan sistem yang telah lama alpa? Sesungguhnya, pelajar-pelajar yang berdepan dengan suasana buli seperti ini memerlukan pembelaan dan jaminan bahawa pendidikan adalah ruang selamat untuk berkembang, bukan gelanggang kezaliman bersalut ego senioriti.
Kes Buli yang Membabitkan Pelajar Sekolah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merekodkan sebanyak 6,208 kes buli melibatkan pelajar sekolah sehingga Oktober 2024 melalui sistem Sahsiah Diri Murid (SDM). Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan, menyatakan bahawa jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 6,528 kes yang dicatatkan pada tahun lalu dan 3,883 kes pada tahun sebelumnya[2]. Budaya buli di sekolah bukanlah isu baharu, namun ia terus berulang dari masa ke semasa, menjadi bayang gelap yang sukar diusir. Buli telah menjadi duri yang berakar dalam daging, masalah disiplin yang bukan sahaja mencalar imej institusi pendidikan, tetapi mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Punca dan Faktor Penyumbang
Antara punca yang ‘menyemarakkan’ gejala buli di sekolah ialah pengaruh arus media sosial yang menormalisasikan budaya kekerasan, serta kelonggaran dalam pemantauan dan bimbingan oleh pihak berwajib. Selain itu, budaya buli yang diwarisi daripada amalan senioriti di sekolah berasrama sering mengganggap ia adalah adat kebiasaan dalam sesi minggu suai kenal yang sepatutnya ‘merapatkan’ bukan ‘melonggarkan’ hubungan antara pelajar baharu dan senior di mana sikap membuli terus diamalkan.
Kesan Jangka Panjang Buli
Kesan buli tidak hanya terhad kepada kecederaan fizikal, tetapi juga membawa impak emosi dan psikologi yang mendalam. Luka yang ditinggalkan bukan sekadar fizikal, tetapi menjerat emosi hingga menghambat keberanian mereka untuk melangkah ke hadapan. Mangsa buli sering mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, dan dalam sesetengah kes, boleh berakhir dengan tindakan mencederakan diri sendiri atau lebih tragis, membunuh diri. Prestasi akademik sudah tentunya terjejas kerana tekanan emosi yang berterusan, mengganggu fokus dan motivasi dalam pembelajaran.
Peranan Ibu Bapa, Pihak Sekolah dan Masyarakat
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah buli dengan membina komunikasi yang baik dengan anak-anak mereka. Mereka harus peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku anak-anak yang mungkin menjadi petanda awal berlakunya buli. Ibu bapa boleh memantau pergerakan anak selepas pulang ke sekolah manakala guru pula memerhatikan tingkah laku pelajar di sekolah bagi mengesan kesalahan yang dilakukan oleh mereka di peringkat awal. Manakala, masyarakat pula boleh membantu dengan melaporkan sebarang kejadian buli yang diketahui kepada pihak sekolah atau berkuasa.
Usaha dan Polisi Kementerian Pendidikan
KPM telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk menangani isu ini, termasuk kempen anti-buli di sekolah, program kesedaran dalam kalangan pelajar, dan latihan khusus untuk guru dan warden sekolah berasrama penuh. Saluran aduan seperti sistem pengurusan aduan (Awam Sispaa), emel rasmi KPM, talian telefon, aplikasi WhatsApp serta peti aduan sekolah juga telah disediakan untuk memudahkan mangsa melaporkan kejadian buli.
Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG)
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan aktif dalam menangani isu disiplin pelajar dan tidak seharusnya membiarkan pihak sekolah memikul tanggungjawab tersebut secara bersendirian. PIBG boleh mengambil langkah proaktif secara bersama dengan ibu bapa untuk membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin, sekali gus memudahkan penyelesaian isu-isu yang timbul.
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) tidak perlu melibatkan semua sekolah, sebaliknya hanya di sekolah-sekolah yang mempunyai rekod masalah disiplin. Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah boleh memainkan peranan dalam mengenal pasti sekolah-sekolah yang berisiko dan terdedah kepada pelbagai masalah untuk dipertimbangkan bagi pemasangan CCTV.
Kesimpulan
Kita semua seharusnya berganding bahu dalam usaha membanteras budaya buli di sekolah, demi memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan dalam persekitaran yang selamat dan kondusif bagi perkembangan diri yang positif. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada bahu pihak sekolah, tetapi turut dipikul oleh ibu bapa, para pendidik, serta masyarakat secara keseluruhannya. Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga wadah pembentukan sahsiah dan nilai empati—mendidik pelajar agar berupaya menyelami serta memahami emosi orang lain. Keupayaan ini kelak akan membentuk keperibadian unggul yang menjadi asas keterlibatan mereka dalam masyarakat, organisasi serta dunia pekerjaan.
Isu buli harus ditangani dengan penuh kesungguhan dan komitmen yang berterusan. Hanya dengan kerjasama semua pihak, kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai sahsiah diri yang terpuji.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Nota kaki
[1] Fadhilahnur Amin, & Ain Balqis Ahmad Parmy. (2025). My senior slapped me until my lips bled. New Straits Times.
[2] Shahrizal, A.Z. (2024). Lebih 6,000 kes buli di sekolah – KPM. (Sinar Harian Online, 15 Disember). https://www.sinarharian.com.my/article/702323/berita/nasional/lebih-6000-kes-buli-di-sekolah—kpm