Sumber imej: Wikipedia
Tahun 1940 sehingga 1944 merupakan antara fasa paling produktif dalam karier pengarang Argentina, Jorge Luis Borges. Ia juga zaman paling mencabar. Hitler telah mengheret dunia ke dalam peperangan di Eropah, dan Argentina juga tidak terkecuali. Pengarang Argentina terbahagi kepada dua pemikiran: sosialis dan liberal. Borges tidak dinafikan lagi menyokong kumpulan liberal dalam SADE (Sociedad Argentina de Escritores). Walaupun suasana politik ini tidak mempengaruhi penulisan Borges secara langsung, ia tetap hadir dan memerhatikan beliau dari belakang tabir.
Persahabatan di antara pengarang jarang bertahan lama, dan dua orang pengarang berduet menghasilkan buku hampir tidak pernah berlaku. Namun Borges dan sahabatnya, Adolfo Bioy Casares berjaya berduet untuk menulis cerita penyiasatan. Salah satu watak rekaan mereka ialah Isidro Parodi, seorang banduan di penjara Buenos Aires. Dia dikatakan mempunyai bakat menyelesaikan kes tanpa perlu menjejak kaki di luar penjara. Borges selalunya datang ke rumah Bioy. Selepas makan malam, mereka akan bincang berjam-jam mengenai kes terbaru untuk diberi kepada Parodi. Kebanyakan cerita dalam siri ini ringan, mudah dibaca, dan lebih kepada parodi genre fiksyen penyiasatan. Kisah pertama siap ditulis pada 27 Disember 1941, dan ia kemudian dikumpulkan bersama lima buah cerita lagi menjadi buku berjudul Six Problems of Don Isidro Parodi. Mereka menggunakan nama pena H. Bustos Domecq.
Lebih kurang waktu ini juga Borges menulis salah satu adikaryanya iaitu “The Garden of Forking Paths.” Ia mengisahkan seorang perisik Cina bernama Yu Tsun yang bekerja untuk Jerman semasa Perang Dunia Pertama. Beliau sedang diburu oleh agen Inggeris bernama Richard Madden. Borges menggabungkan falsafah, agama, thriller, dan penyiasatan dalam satu cerita. Hasilnya bukan sahaja sebuah plot yang rumit seperti labirin, tetapi juga tafsiran makna dan simbol yang bercabang-cabang. Tidak lama selepas terbit cerpen ini, Borges mengumpulkan karya-karya terbarunya ke dalam sebuah buku, dan ia diberikan judul sama: The Garden of Forking Paths. Penerbitan buku ini dilihat sebagai penanda aras baru dalam kalangan sasterawan elit Argentina.
Dalam ulasan Bioy untuk majalah sastera Sur, beliau menyatakan bahawa Borges telah mencipta sebuah genre baru. Buku Borges kemudian menyertai pertandingan Anugerah Kebangsaan untuk Kesusasteraan anjuran Jawatankuasa Budaya. Borges gagal memenangi tiga anugerah utama. Menurut panel hakim, karya Borges tidak sesuai dibaca oleh masyarakat Argentina kerana Borges “menghilangkan nilai kemanusiaan dalam sastera.” Tambah lagi, karya yang dimenangi harus mempunyai warna dan budaya tempatan.
Melihat dalam konteks hari ini, sukar untuk membayangkan Borges kalah dalam apa-apa pertandingan. Namun percubaan menggabungkan fiksyen, sejarah, penyiasatan, agama, esei, dan falsafah ke dalam satu cerita ialah sesuatu yang luar biasa, apatah lagi buat pengarang dari Argentina. Sejarah sastera Argentina lebih kurang sama dengan sejarah sastera Malaysia juga. Sebelum Borges muncul, sastera Argentina ialah sastera tradisional. Warnanya ialah warna masyarakat kampung dan penari-penari tango di bandar. Bayangkan sastera Malaysia sebelum adanya Ahmad Rashid Talu, A. Samad Said, Hamzah Hussin, dan Shahnon Ahmad.
Sekarang bayangkan tulisan Borges muncul di Tanah Melayu pada awal abad kedua puluh. Bayangkan orang kampung di Singapura atau guru-guru pelatih di Kuala Kangsar membaca cerpen berjudul “Tlön, Uqbar, Orbis Tertius,” “Perpustakaan Babel,” dan “Zahir.” Pasti terkejut besar. Seolah-olah ada bola api jatuh dari langit. Kalau sekarang pun sarjana sastera masih belum dapat merungkai sepenuhnya misteri dalam karya-karya Borges, bayangkanlah perasaan dan kerungsingan pembaca di Argentina pada zaman beliau.
Adakah Borges menulis kisah-kisah arkaik dan metafizik semata-mata untuk mencipta kelainan? Kalau kita betul-betul selidik riwayat hidup mana-mana pengarang, ia tidak semudah yang kita fikir. Ada faktor keluarga, hubungan cinta, persahabatan, dan poltik semasa yang saling bertindak dan mempengaruhi teks seorang pengarang. Itu belum ambil kira kesihatan badan dan bahan bacaan. Kalau Borges tidak mengalami kemalangan parah sebelum 1940, entah-entah beliau terus menulis puisi dan tidak beralih kepada fiksyen. Kalau pengaruh Nazi dan sosialisme tidak pernah menyusur masuk ke dalam nurani masyarakat Argentina, mungkin desakan untuk Borges mencipta karya bercorak kosmopolitan tidak terlalu kuat.
Keinginan untuk melawan mungkin cukup untuk melahirkan seorang pemberontak. Namun ia tidak cukup untuk melahirkan seorang pengarang.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.