Kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan masalah alam sekitar. Perubahan iklim, pencemaran air dan udara, pemusnahan habitat, dan penggunaan sumber semulajadi yang tidak terkawal adalah antara isu yang perlu kita hadapi. Perubahan iklim menyebabkan berlakunya pengeluaran gas rumah hijau, kenaikan suhu global, perubahan corak cuaca yang ekstrem, dan kenaikan paras laut. Ini memberi kesan negatif kepada tumbuhan, haiwan, dan manusia, seperti kehilangan habitat, kekurangan bekalan air, dan peningkatan kejadian bencana alam.
Apakah tanggungjawab kita sebagai warga bumi untuk menjaga dan melindungi alam sekitar? Untuk saya, saya selalu mengasingkan sampah, botol plastik, kaca, kertas-kertas terpakai, surat khabar, dan sisa-sisa makanan sendiri. Saya cuba mengurangkan sampah dan sanggup memandu semata-mata untuk menghantar botol-botol plastik, kertas-kertas terpakai ke tempat kitar semula. Amalan ini saya pelajari ketika remaja, ketika saya dan keluarga menetap di luar negara.
Jiran-jiran di kawasan kediaman saya pada ketika itu bukan sekadar mengasingkan sampah mereka, malahan amalan gaya mampan telah lama dipraktikkan dengan melakukan pengkomposan; menempatkan sisa-sisa makanan di dalam kotak kayu yang tersedia di laman belakang rumah. Pengkomposan memberikan peluang yang baik untuk menggunakan semula sisa makanan selain meminimumkan sampah dengan berkesan. Proses ini memerlukan pengumpulan sisa organik dari dapur atau halaman, seperti hiasan sayur-sayuran dan buah-buahan, kulit telur, serbuk kopi, bunga dan daun. Apabila bahan-bahan ini terurai, ia menghasilkan kompos yang kaya dengan nutrien, meningkatkan kesuburan tanah dan memupuk pertumbuhan tanaman yang lebih sihat.
Di Malaysia, hanya segelintir sahaja yang mengamalkan gaya hidup mampan seperti ini. Malah, ada juga yang masih mengamalkan pembakaran terbuka. Sering sahaja kita lihat daun-daun kering dibakar di kawasan rumah dengan alasan untuk mengurangkan nyamuk. Maka tidak hairan jika masih banyak aduan pembakaran terbuka di kawasan perumahan walaupun mereka sentiasa diingatkan untuk tidak melakukan perkara tersebut. Pencemaran udara menjadi kebimbangan, terutamanya di kawasan bandar yang padat penduduk. Tambahan pula asap dan gas buangan daripada kenderaan dan loji-industri menghasilkan kualiti udara yang buruk dan memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Selain pengkomposan, mencari cara baharu yang kreatif untuk menggunakan sisa makanan boleh membantu mempelbagaikan diet anda, selain mengurangkan pembaziran. Jangan takut untuk bereksperimen dengan bahan-bahan baharu yang tidak dikenali atau memasak dengan bahagian tumbuhan, seperti batang atau kulit, yang biasanya anda tidak digunakan. Mana tahu, anda juga mungkin akan menemui masakan kegemaran baharu!
Kita semua bertanggungjawab untuk melindungi alam sekitar. Tanggungjawab ini melibatkan tindakan individu dan juga tindakan secara kolektif oleh masyarakat dan negara. Pertama sekali, sebagai individu, kita perlu menyedari kesan tindakan harian kita terhadap alam sekitar. Kita boleh menerapkan amalan kelestarian seperti penggunaan sumber tenaga yang lestari, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, dan kitar semula bahan buangan. Setiap tindakan kecil yang kita ambil akan memberi kesan yang positif dalam jangka masa panjang.
Selain itu, kita juga perlu menjadi penyokong usaha pemuliharaan alam sekitar. Sertailah kempen dan aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan alam sekitar tempatan dan antarabangsa. Sumbangan masa, wang, atau kemahiran kita dapat memberi impak yang besar dalam usaha memelihara alam sekitar.
Pada peringkat masyarakat, penting untuk menyedarkan orang lain akan kepentingan alam sekitar. Berkongsi pengetahuan dan menggalakkan orang lain untuk melakukan tindakan kelestarian adalah langkah penting dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Sekolah dan institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam menyedarkan generasi muda tentang kepentingan melindungi alam sekitar.
Selain itu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk menggubal dan melaksanakan dasar alam sekitar yang berkesan. Ini termasuk mengawal pengeluaran sumber semulajadi, memastikan pematuhan undang-undang alam sekitar, dan menyokong projek-projek yang mempromosikan kelestarian alam sekitar. Kerjasama antarabangsa juga penting dalam menangani isu-isu alam sekitar yang bersifat global, seperti perubahan iklim.
Perlindungan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Dalam usaha memelihara bumi yang kita tinggali untuk generasi akan datang, kita perlu menyedari kesan tindakan kita dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menjaga alam sekitar. Dalam memerangi perubahan iklim, pencemaran air dan udara, pemusnahan habitat, dan penggunaan sumber semulajadi yang tidak terkawal, setiap individu, masyarakat, dan kerajaan memainkan peranan yang penting. Marilah kita bersatu untuk melindungi alam sekitar, agar warisan indah ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Dr. Rahida Aini merupakan lulusan Ph.D dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.