55 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Mana Melayu Pulau Pinang?
Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, 8 September 2012 (Sabtu)
8.00 malam-11.00 malam
Forum ini akan membariskan YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Senator Prof Madya Ariffin Omar, Senator Dewan Negara dan juga Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Setia dan turut membawakan wakil daripada UMNO, Dato’ Raja Munir Shah, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjong. Forum ini akan dikendalikan oleh Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM.
Setelah 55 tahun kemerdekaan negara ini, pastinya telah banyak pencapaian masyarakat Melayu Pulau Pinang yang layak untuk dibanggakan. Namun begitu, harus juga diinsafi bahawa kedudukan Melayu Pulau Pinang mampu untuk menjadi lebih baik daripada sekarang. Berdasarkan sejarah yang gemilang, masyarakat Melayu Pulau Pinang kini tidak harus berjiwa kecil dalam mendepani cabaran semasa. Dalam masa yang sama, Penang Institute percaya, polemik masyarakat Melayu tidak wajar dilihat daripada kaca mata politik kepartian semata-mata.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini komited untuk meningkatkan taraf kehidupan anak semua bangsa di negeri ini, termasuk Melayu. Contohnya melalui peruntukan RM500 juta untuk perumahan mampu milik di seluruh negeri, bantuan kewangan setiap tahun kepada warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi baru lahir, pelajar-pelajar sekolah serta mereka yang berjaya memasuki IPTA, pinjaman mikro-kredit kepada golongan miskin dan ibu tunggal, memperkenalkan tender terbuka bagi menggalakkan persaingan sihat serta peningkatan peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam. Namun, tidak dapat dinafikan masih terdapat ruang untuk menambah baik situasi sedia ada dan proses ini hanya akan dapat dilakukan dengan penglibatan aktif masyarakat terbanyak.
Salah satu kaedah untuk meningkatkan penglibatan ini adalah melalui interaksi antara institusi, penggubal dasar dan masyarakat awam, sebagaimana yang diusahakan melalui Forum Nusantara ini. Penang Institute berkongsi kepercayaan yang sama, bahawa penyertaan masyarakat amat penting dalam menentukan kejayaan sesuatu dasar. Maka, siri forum seumpama ini yang membariskan ahli politik, penggubal dasar di pelbagai peringkat serta ahli akademik merupakan antara platform yang ditawarkan oleh kami sebagai pemangkin wacana di kalangan masyarakat awam.
Kami berharap, Forum Nusantara Siri Ke-6 ini akan membantu memberi perspektif baru dalam memahami isu Melayu Pulau Pinang dan menerbitkan cadangan-cadangan konstruktif.
ZAIRIL KHIR JOHARI
Ketua Pegawai Eksekutif