Mat rempit sering dikaitkan dengan kelajuan, motosikal modified, lumba haram dan anak muda nakal. Namun, apakah mat rempit juga boleh difahami sebagai suatu gaya hidup, identiti kelompok atau pengalaman kelas tertentu dalam masyarakat Malaysia? Dalam episod ini, kita berbual bersama Danny Lim, seorang wartawan dan jurugambar yang pernah mendekati komuniti mat rempit, dan menemu bual salah seorang ketua mereka serta merakam kehidupan kelompok tersebut. Perbualan ini ingin memahami dunia mat rempit dari jarak yang lebih dekat: siapa mereka, bagaimana mereka melihat diri sendiri, dan apakah keadaan sosial yang membentuk dunia mereka. Perbualan ini turut menyentuh tentang pengalaman Danny dalam mendapatkan kepercayaan kelompok yang sering dipandang serong ini, bagaimana hubungan tersebut mengubah pandangannya terhadap mereka, dan apa yang mungkin kita terlepas pandang apabila mat rempit hanya dibaca sebagai masalah sosial.
