Bual Nusantara merupakan sebuah siniar berbentuk perbualan empat mata bersama para sarjana, penyelidik, penulis, aktivis, dan sosok awam lain dari Malaysia mahupun negara-negara serantau. Ia menghidangkan perbualan-perbualan santai—namun tetap bersifat intelektual dan provokatif—tentang topik-topik seputar sastera, politik, budaya, seni dan pelbagai lagi. Siniar ini mengajak anda untuk mencari sudut pandang baharu dalam memahami segala fenomena dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Selamat mendengar!
[EP 7] Menulis, Agama, dan Kemanusiaan, bersama Fahmi Mustaffa
Dalam perbualan yang dirakam semasa musim wabak ini, Fahmi Mustaffa berkongsi tentang liku-liku yang beliau hadapi sebagai seorang penulis, dan bagaimana beliau memandang dunia penulisan, agama, dan kemanusiaan. Selamat mendengar!
[EP6] Bertembung dengan Puisi, bersama Jack Malik
Jack Malik, penyair kelahiran Ipoh, berkongsi tentang detik-detik awal pertemuannya dengan puisi, cara beliau berkarya, dan bagaimana beliau melihat perkembangan dunia kesusasteraan di Malaysia khususnya dalam kalangan anak muda.
[EP5] “Ikan Tiga Rasa”, bersama Badrul Hisham Ismail & Khalil Makata
Izzuddin Ramli dan Lutfi Hakim Arif (podcast Waroeng Baru), berbual besama Badrul Hisyam Ismail dan Khalil Makata, penulis buku bergambar “Triple-Flavoured Fish”. Dengan merujuk kepada buku bergambar tentang restoran “Tom Yam Thailand” tersebut, perbualan ini meneroka dengan lebih jauh tentang warna-warni dan onak duri yang dilalui oleh masyarakat Melayu Selatan Thailand di Malaysia. Selamat mendengar!
[EP4] Menjadi Penyelidik, bersama Ooi Kok Hin
Penyelidikan adalah salah satu jalan yang sering dipilih oleh mereka yang baru menamatkan pengajian di universiti. Namun, menjadi penyelidik sudah tentunya tidak mudah. Padangnya luas dan selalunya tidak rata. Dalam banyak keadaan, cangkul yang dipakai oleh penyelidik adalah tidak tajam sehingga kerja penggalian ilmu menjadi terbantut dan tidak dalam. Ooi Kok Hin, pengurus penyelidikan dari The Centre, membahaskan tentang tantangan yang dihadapi oleh penyelidik dan hal-hal lain yang berkaitan.
[EP3] Omara dan Boria Pulau Pinang
Sebut sahaja boria Pulau Pinang, kita pastinya akan segera mengingati Omara Hashim. Beliau lahir dan membesar dengan seni muzik dan persembahan. Sewaktu kecil, beliau bertemu dengan boria lalu jatuh cinta dengan apa yang dilihatnya itu. Kini, dengan kumpulan boria sendiri, beliau menjelajah negara, menyanyikan lagu-lagu boria, dan melatih seni persembahan khas Pulau Pinang ini kepada generasi baharu.
Muzik: Arkib PUSAKA. Boria Omara di Panggung Pusaka, Yayasan Sime Darby Arts Festival 2014.
[EP2] Angin, Isim, dan Mabuk, bersama Pauline Fan
Malaysia kaya dengan seni persembahan tradisional yang diamalkan oleh masyarakatnya sejak turun-temurun. Di Kelantan, terdapat pelbagai seni persembahan tradisional seperti Mak Yong, Main Puteri, Wayang Kulit, dan Manora. Berbeza dengan seni persembahan moden, seni persembahan tradisional bukan sekadar dipentaskan untuk tujuan hiburan semata-mata. Ia mengandung falsafah, mengungkapkan pandangan dunia masyarakat, dan menuntun perilaku para penggiatnya. Di situlah kita mengenal konsep-konsep penting seperti angin, isim, dan juga mabuk. Namun, usaha penerusan seni persembahan tradisional ini berliku-liku sifatnya. Ia senantiasa berunding dengan arus pemodenan dan politik semasa. Pauline Fan, pengarah kreatif pertubuhan PUSAKA hadir untuk menghuraikan segala persoalan ini.
Muzik: Arkib PUSAKA, Lagu Yong Peran dan Lagu Barat Patak, Rebab oleh Hussin bin Yusoff. Mak Yong Sembah Guru, Kuala Besut, 2016.
[EP1] Menterjemah Buku di Malaysia, bersama Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Al-Mustaqeem M. Radhi sudah tidak asing lagi dalam dunia penterjemahan di Malaysia. Beliau merupakan ketua penyunting di Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Dalam episod kali ini, Al-Mustaqeem berkongsi tentang titik awal beliau terlibat dalam kegiatan penulisan seterusnya menjadi seorang penterjemah yang kini telah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku terjemahan. Al-Mustaqeem turut bercerita tentang masalah yang dihadapi oleh dunia penterjemahan di Malaysia, dan bagaimana IBDE hadir untuk menampung kelompongan yang ada.
[Pengenalan] Bual Nusantara
Selamat datang ke Bual Nusantara, sebuah siniar yang diterbitkan oleh Penang Institute.