Bual Nusantara merupakan sebuah siniar berbentuk perbualan empat mata bersama para sarjana, penyelidik, penulis, aktivis, dan sosok awam lain dari Malaysia mahupun negara-negara serantau. Ia menghidangkan perbualan-perbualan santai—namun tetap bersifat intelektual dan provokatif—tentang topik-topik seputar sastera, politik, budaya, seni dan pelbagai lagi. Siniar ini mengajak anda untuk mencari sudut pandang baharu dalam memahami segala fenomena dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Selamat mendengar!
[EP22] Anatomi Keganasan: Membedah Aktor Negara, b/sama Rizal Hamdan
Manusia hidup untuk mengekalkan fitrahnya sebagai manusia. Dalam kehidupan sehari-hari, dia mengawal tindak-tanduknya agar sesuai dengan batas-batas manusiawi, sekaligus menghalang dirinya daripada bertanggungjawab terhadap sebarang keganasan atau apa sahaja kemudaratan yang ditimpa oleh manusia lain. Namun, cara manusia dan budaya memandang tindakan keganasan sudah tentunya berbeza-beza, sehingga upaya untuk meredamnya menjadi sulit. Siri Anatomi Keganasan meneroka batang tubuh keganasan, melihat bagaimana individu, masyarakat, negara, undang-undang, dan pendidikan memahami, mengekang, malah menghalalkan keganasan, baik atas nama agama, bangsa, mahupun fahaman politik.
Dalam episod ini, Izzuddin Ramli dan Zahid M. Naser duduk bersama Rizal Hamdan, seorang pemerhati geopolitik Asia Tenggara. Beliau membedah konsep negara, berbicara tentang peranan negara dalam menghentikan atau mencetuskan keganasan, lalu meneliti komitmen Malaysia dalam mencegah keganasan yang datang dari luar mahupun dalaman.
[EP21] Merdeka, Sejarah, dan Aku, bersama Adriana & Zahid
Merdeka tidak pernah lepas daripada sejarah. Setiap kali menyambut hari kemerdekaan, kita selalu diajak untuk pulang menjenguk sejarah. Kerana dengan sejarah itulah kita ada seada-adanya hari ini. Namun, melalui kata “kita” dan semangat kekitaan itu jugalah kita selalunya dihidangkan dengan suatu bentuk sejarah dan ingatan yang dikongsi bersama. Dari kecil, kita membaca dan menekuni sejarah sebagai sebuah masyarakat dan bangsa. Tetapi malang, dalam kesibukan itu, Aku hilang dalam sejarah. Aku tenggelam dalam kerumunan. Aku semakin menjauh dari diri sendiri. Kisah-kisah kecil dan terperinci, tentang aku dan tentang kau, terpuruk oleh landasan utama sejarah. Dengan itu, kita menoleh ke belakang, bertemu dengan yang paling segera, dengan diri kita sendiri, lalu berdamai dengannya. Aku akhirnya mencari di sendiri. Tetapi bagaimana?
[EP20] Gejala “Asal Boleh”, bersama Izzuddin, Badrul, & Israr
Perangai “asal boleh” atau “Sindrom Selera Rendah” sudah lama diisytiharkan sebagai penyakit. Penyakit budaya ini membarah dalam segala aspek kehidupan kita, baik ekonomi, politik, pembangunan, sosial dan sebagainya. Biarpun belum meragut nyawa secara langsung, kesannya tampak jelas: wang rakyat habis begitu sahaja, rakyat hilang kepercayaan kepada pemerintah, dan mereka malu untuk ke mana-mana. Tetapi, adakah ini penyakit yang menjangkiti Malaysia sahaja, atau turut ada dalam masyarakat masyarakat lain? Apakah pula punca-punca dan penawarnya?
[EP19] Demokrasi dan Pemantauan Pilihanraya, bersama Tad
Selepas Perang Dunia Kedua, dengan wujudnya piawai antarabangsa bagi proses pilihanraya, kuasa-kuasa besar Eropah mula giat ke negara-negara sedang membangun untuk satu tujuan: memantau proses pilihanraya. Matlamat mereka bukan untuk membetulkan, tetapi merakam dan melaporkan sebarang salah laku dalam demokrasi. Itu yang dilakukan oleh Tad, salah seorang pemantau daripada Carter Center, selama lebih daripada 20 tahun. Beliau menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan bertemu dengan pelbagai aktor politik serta masyarakat sivil sambil memerhatikan turun naik demokrasi di sesebuah tempat. Namun, kerja memantau proses pilihanraya khususnya di negara-negara dunia ketiga bukan boleh dibawa main. Ia adalah persoalan hidup dan mati. Dalam perbualan ini, Izzuddin Ramli dan Badrul Hisham Ismail duduk bersama Tad, mengenang pahit manis kerja pemantauan pilihanraya di negara-negara yang umumnya masih segan merangkul demokrasi secara sepenuhnya.
[EP18] Mengulas Buku dengan Book Surgeon: ‘Ter’paling baca
Meneruskan perbincangan seputar dunia perbukuan, dalam episod kali ini, kita berbincang dengan kumpulan Book Surgeon, yang terkenal dengan ulasan buku mereka di media sosial. Menyentuh sejarah mereka dalam aktiviti perbukuan, kami meneroka aspek ulasan buku serta mengupas beberapa topik panas yang pernah mereka sentuh dalam podcast mereka, iaitu ‘Terpaling Baca’ . Sertai kami untuk merenung peranan ulasan buku dalam dunia literasi masa kini.
Tetamu jemputan : Pakdy , Syazwan Azhar
[EP17] Muzik Dunia dan Identiti Muzik Tempatan, bersama Uzair Sawal
Istilah “World Music” muncul sekitar tahun 1987, ketika para pemain industri muzik Barat mula meneroka muzik-muzik Afrika setelah melihat kejayaan Paul Simon dengan album Graceland. Sudah tentu, World Music atau Muzik Dunia merupakan istilah pukul rata yang merangkumi segala jenis muzik selain muzik daripada tradisi muzik Eropah dan Amerika. Hal itu yang menimbulkan pelbagai kritik terhadap genre muzik yang tidak jelas maknanya ini. Antaranya, penempelan sebegini hanya memperkukuhkan lagi konotasi “kita” dan “mereka” dalam industri muzik, dengan “kita” merujuk khusus kepada budaya pop barat dan “mereka” dituju ke arah selainnya. Setelah lebih tiga dekad, kita melihat ada sedikit perubahan di belahan dunia kita. Biarpun ada sebahagian kedai muzik alternatif tempatan masih menyediakan satu bakul World Music untuk segala jenis muzik yang “tidak layak” untuk masuk bakul genre-genre popular, ada juga yang sudah memecahkan kategori umum itu menjadi lebih kecil, misalnya dengan menggunakan istilah “Serantau” atau “Nusantara.” Namun, dengan ketidakseimbangan ekonomi yang tetap wujud, bagaimana para penggiat muzik di rantau ini bertindak balas terhadap masalah hegemoni muzik barat? Adakah kemunculan kategori-kategori muzik baru yang lebih tempatan boleh menyelesaikan masalah penentuan selera yang berat sebelah ini?
Izzuddin Ramli dan Badrul Hisham Ismail berbual dengan Uzair Sawal (Fono) tentang persoalan ini.
[EP16] Bikin Filem di Malaysia
Dalam siri Tiga Serangkai ini, Izzuddin Ramli, Badrul Hisham Ismail, dan Israr Khalid berbicara tentang industri perfileman di Malaysia, dengan melihat secara khusus filem arahan Badrul, Maryam Pagi ke Malam yang memenangi anugerah “Most Original Film” dan “Best Actress” di Asian Film Festival yang ke-21 di Rome, Italy.
[EP15] Jiwa, Penulisan, dan Kewartawanan, bersama Hafiz Hamzah
Bagi penulis dan penyair Hafiz Hamzah, penulisan tidak pernah beres. Ada sahaja yang tidak kena di sana sini. Kerana rimas dengan kualiti dunia penulisan dan kewartawanan tempatan yang tidak semengah, dia membangunkan rumah perbitan Obscura dan Jurnal Svara bersama teman-teman. Dengar penegasan Hafiz tentang tujuan dia menulis dan letak duduk kerja penulisan dan penerbitan secara umum.
Dirakam oleh: Muhamad Naeem
[EP14] Riwayat Dunia Perbukuan, bersama Roestam Alias
Sudah beberapa tahun Roestam Alias mengendalikan kedai buku Riwayat, sebuah kedai buku mandiri yang terletak di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur. Bertukar kerjaya daripada industri pembuatan ke dunia perbukuan pastinya satu keputusan yang sulit bagi anak kepada sasterawan T. Alias Taib ini. Beliau tidak hanya perlu mengharung kesesakan jalan raya, tetapi juga dunia perbukuan yang berlopak dan bersimpang-siur sifatnya ini. Bagaimana Roestam merenung perkara ini?
[EP13] Toko Buku dan Penerbitan Zine, bersama Sue Emoqwin
Kita mungkin perlu membuka teks sejarah untuk menjejak titik mula Sue Emoqwin dalam dunia perbukuan. Beliau bermula dengan komik, kemudian ke skrip filem, sehinggalah zine. Kini, beliau menguruskan Tokosue, sebuah kedai buku independen di kota Kuala Lumpur. Memperdagangkan buku memang matlamat utama, tetapi yang lebih penting, Sue ingin mencambahkan idea dan menyuburkan kelompok pembaca dan penulis.
Juruteknik audio: Mohamad Naeem
[EP12] Seputar Bahasa dan Ihya’ Ulumuddin, bersama Zahid M. Naser
Watak Zahid M. Naser memang tersendiri. Penyair, penterjemah, dan editor ini menggodek bahasa dalam latar hidup yang sangat rencam. Beliau akrab dengan budaya dan bahasa Arab, Inggeris, dan Melayu. Namun, pegangannya hanya satu: kerja menulis, melukis, dan bercinta haruslah ekstrim!
[EP11] Anak Budaya Ketiga, bersama Nurly Yusof
Hidup dan membesar secara berpindah-randah bukan perkara mudah buat Nurly Yusof, apatah lagi setelah pulang dan ingin berdamai dengan tanah air. Ada yang boleh dirangkul, ada yang terpaksa dilepaskan. Dalam perbualan ini, Nurly bercerita tentang makna “home” baginya dan bagaimana beliau mencari-cari halaman sendiri lewat seni dan budaya negara sendiri.
[EP10] Politik Identiti dan Hal-hal Terpendam, bersama Ruhan Shahrir Abdul Halim
Ruhan Shahrir Abdul Halim berbicara tentang politik identiti dalam masyarakat kita pada hari ini. Ruhan menjelaskan tentang konsep perpaduan, konsep “keterpendaman Melayu” dan membentangkan jalan keluar kepada kekusutan politik berasaskan identiti agama dan kaum di negara ini. Selamat mendengar.
[EP9] Menulis Puisa dan Prosa, bersama Abdullah Hussaini
Abdullah Hussaini merupakan seorang penyair dan penulis berbakat. Dalam episod ini, pengarang kelahiran Pahang ini bercerita bagaimana beliau memaknai bahasa, puisi, dan hal-hal lain dalam dunia penulisan.
[EP8] Berjalan di Brickfields, bersama Adriana Nordin Manan
Adriana Nordin Manan merupakan seorang penulis, penterjemah, dramatis, penyelidik, kurator, dramaturg, pendidik dan usahawan. Karya terbaru beliau terbit dalam bentuk zine. Dalam episod kali ini, Adriana membawa kita meneroka zine pertama beliau yang berjudul “Brickfields We See You”, sebuah zine yang diusahakan bersama oleh Amin Kamrani, seorang jurugambar terkemuka di Kuala Lumpur.