Image credit: Wu Lien-Teh Collection, PictureSG, National Library, Singapore
Sebagai orang Negeri di Bawah Bayu, saya juga tahu cerita tentang ramai tokoh besar yang memberi sumbangan kepada negara ini. Antaranya, lawatan Sun Yatsen ke Nanyang untuk meraih sokongan terhadap revolusi Cina. Begitu juga Kapitan Yap Ah Loy yang membuka Kuala Lumpur. Tidak lupa cerita Mat Salleh melawan British, dan perjuangan Dato Onn Jaafar untuk memerdekakan Malaysia. Kita sebenarnya kaya nama-nama besar.
Namun, saya tidak pernah mendengar tentang seorang doktor yang bernama Dr Wu Lien-teh, sehingga saya berpindah ke Pulau Pinang. Dr Wu memainkan peranan penting dalam memodenkan perubatan di China dan Malaysia. Pada tahun 1910, beliau berjaya menyelamatkan Manchuria daripada wabak pneumonia. Kejayaan besar itu juga kemudiannya berpengaruh terhadap perkembangan pelbagai protokol perubatan moden.
Dr Wu Lien-teh, atau nama lainnya Goh Lean Tuck, lahir di kuarters Kantonis Jalan China, George Town, Pulau Pinang, pada tahun 1879. Ibu bapanya berasal dari Taishan, China. Beliau bersekolah di Penang Free School. Kecemerlangannya dalam pembelajaran melayakkannya untuk memenangi Queen’s Scholarship, dan pada tahun 1896, beliau mendaftarkan diri di Emmanuel College, Cambridge University dalam bidang perubatan. Sebagai tanda memorabilia bagi kemasukannya, ahli keluarganya menghadiahkannya hiasan manik Peranakan iaitu logo Emmanuel College dengan gambar singa Inggerisnya ditukar kepada singa China.
Dalam kalangan temannya di Cambridge, Dr Wu paling cemerlang. Dia berjaya mendapatkan pelbagai biasiswa dan hadiah semasa di universiti. Yang paling penting, beliau merupakan pelajar berkewarganegaraan China dan Malaysia yang pertama berjaya menamatkan pelajaran di Cambridge pada tahun 1899. Beliau kemudiannya menetap di Eropah selama beberapa tahun dan menyambung pengajian dalam bidang pakar perubatan di institusi berprestij di seluruh Eropah sehingga berjaya memperolehi Sarjana dan PhD. Sekembalinya ke Tanah Melayu, beliau bekerja dengan Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur untuk mengkaji pelbagai penyakit tropika.
Menjelang tahun 1904, Dr Wu kembali ke Pulau Pinang dan membuka klinik persendirian di Jalan Chulia. Pada masa itu juga beliau bertemu dan berkahwin dengan Ruth Huang, anak perempuan revolusioner Cina, Wong Nai Siong. Tidak lama kemudian, pada tahun 1908, beliau dijemput ke Tientsin, China oleh Yuan Shikai untuk menjadi Naib Pengarah Kolej Perubatan Tentera Imperial. Pada tahun 1910, beliau dihantar ke Manchuria untuk melawan wabak pneumonia yang sudah merebak ke Ha’erbin.
Wabak Manchuria 1910–1911 adalah sejenis wabak udara yang mengorbankan seramai 60 ribu orang di Manchuria. Dr Wu mengambil tindakan pantas untuk menghentikan wabak itu. Beliau menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa untuk mencari punca sebenar kematian. Amalan tersebut tidak pernah dilakukan di China pada masa itu. Beliau juga memperkenalkan penggunaan topeng muka kasa dan kapas selepas mendapati patogen adalah bawaan udara, selain memperkenalkan dasar kuarantin di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jangkitan tinggi. Reka bentuk topeng muka kasa dan kapas yang inovatif ini menjadi model bagi reka bentuk topeng N95 zaman moden.
Antara perkara lain yang beliau asaskan adalah dasar pembakaran mayat mangsa untuk menyekat penularan penyakit. Amalan itu juga tidak pernah dilakukan sebelum ini, malah dianggap sebagai pantang. Walau apa pun, kaedah itu paling berkesan. Semua protokol ini dianggap revolusioner pada masa itu sehingga berjaya memodenkan amalan perubatan di China dengan sangat ketara. Atas sumbangan besarnya, Dr. Wu dihadiahkan dengan Hadiah Nobel dalam Fisiologi pada tahun 1935, sekaligus menjadi orang Malaysia dan China pertama yang menjadi penerima hadiah tersebut.
Dr. Wu menghabiskan sisa usianya di China. Di sana, beliau menubuhkan Jabatan Pencegahan Wabak Manchuria Utara, Persatuan Perubatan China dan kemudiannya Jabatan Kuarantin Kebangsaan. Beliau juga menjawat jawatan di lembaga penasihat untuk Liga Bangsa-Bangsa. Sebagai tokoh perubatan utama negara dan antarabangsa, beliau mempengerusikan banyak persidangan mengenai kesihatan dan perubatan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa untuk penyelidikan perubatannya.
Selain kerja-kerja perubatannya, beliau juga terkenal sebagai seorang aktivis sosial yang menuntut budaya hidup masyarakat yang lebih progresif. Antara kempen yang pernah beliau lancarkan adalah seperti pengharaman perdagangan dadah candu, pendidikan untuk wanita, dan pencukuran rambut Taucang. Beliau banyak mempengerusikan persidangan anti-narkotik, termasuklah persidangan anti-candu pertama di Tanah Melayu pada tahun 1906. Beliau juga berkempen untuk melawan budaya perkauman penjajah British pada masa itu.
Perang China-Jepun yang tercetus pada tahun 1937 mendorong beliau pulang ke Tanah Melayu. Perkara pertama yang beliau lakukan adalah membuka klinik persendirian di Jalan Brewster, Ipoh, Perak. Di Ipoh, beliau dikenang oleh masyarakat sebagai doktor yang memberikan rawatan percuma kepada orang miskin. Beliau juga sering memberi sumbangan kepada pusat-pusat pendidikan tempatan. Dua tahun selepas Merdeka, beliau menutup kliniknya dan kemudian bersara ke Pulau Pinang sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1960 pada usia 80 tahun. Di Malaysia, salah satu cara kita mengenal beliau adalah dengan menamakan jalan-jalan bersempena nama beliau, seperti Jalan Wu Lien-teh, di Ipoh, Taman Wu Lien-teh, serta mural di SJK (C) Hu Yew Seah di Pulau Pinang.
Hanya beberapa bulan saya mengenali Dr Wu Lien-teh. Saya tersentuh dengan segala sumbangan beliau, baik di dalam mahupun di luar negara. Beliau menjadi inspirasi kepada ramai orang untuk menceburi dunia penyelidikan, termasuklah saya sendiri. Beliau menjiwai semangat pembelajaran dan pendidikan untuk warga Malaysia yang bercita-cita untuk meneroka sains demi kemajuan masyarakat. Namun, di sebalik rasa bangga, ada secebis rasa kecewa. Saya kagum akan sumbangannya di Manchuria dan di Malaysia. Tetapi, saya juga merasakan bahawa beliau tidak menerima pengiktirafan yang sewajarnya. Beliau sangat dikenali di Ha’erbin, tetapi hampir dilupakan di negara sendiri. Walaupun kurang pengiktirafan, saya percaya bahawa beliau adalah wira negara yang patut dipuji dan menjadi tanda kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
Joan Liaw merupakan seorang warga Sabah yang telah berpindah dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk merasai kehidupan sebagai orang Pulau Pinang. Beliau juga aktif dalam advokasi, memberi suara kepada golongan yang sering dilupakan oleh masyarakat