Malaysia sedang melangkah perlahan-lahan ke sebuah zaman baharu, zaman di mana rambut memutih menjadi pemandangan biasa, dan garis-garis usia terukir pada wajah warga yang pernah membina negara ini dengan keringat dan kesetiaan. Menjelang tahun 2030, lebih 15 peratus rakyat Malaysia akan berusia 60 tahun ke atas. Kita sedang menuju ke arah sebuah masyarakat menua dalam dunia yang bergerak pantas, dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Warga kini dihimpit tekanan ekonomi, ditambah dengan perubahan teknologi yang pesat sehingga menjadikan sesetengah kemahiran semakin usang dan memerlukan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) untuk kekal relevan. Kos barangan dapur dan keperluan persekolahan anak-anak kekal sebagai antara perbelanjaan bulanan tertinggi bagi kebanyakan keluarga.
Rakyat amat menghargai keprihatinan kerajaan yang tampil membantu meringankan beban melalui pelbagai inisiatif, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta pengumuman bahawa semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima bantuan SARA sebanyak RM100 secara one-off pada 9 Februari 2026. [1]
Bantuan-bantuan ini jelas mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap hakikat kehidupan rakyat, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar ini. Ia memberi ruang bernafas, menyuntik sedikit kelegaan, dan menjadi tanda bahawa kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian. Namun dalam jangka panjang, kehidupan tidak boleh ditampung dengan bantuan semata-mata.
Kita memerlukan dasar yang melihat jauh ke hadapan; dasar yang bukan sahaja meringankan beban hari ini, tetapi membina ketahanan untuk hari esok, iaitu dasar yang menjaga maruah insan di usia senja. Perhatian kerajaan terhadap isu kos sara hidup ini juga boleh dijadikan landasan untuk menilai semula struktur ekonomi dan sosial negara secara lebih holistik, termasuk umur persaraan.
Bukan sekadar memberi bantuan sekali-sekala, tetapi memastikan rakyat mempunyai ruang dan peluang untuk terus berdikari dari segi ekonomi dalam jangka masa panjang. Di sinilah persoalan usia persaraan wajar dibuka semula dengan penuh kebijaksanaan dan empati. Adakah wajar kita menamatkan khidmat insan berpengalaman pada usia 60 tahun, ketika ramai masih sihat, berdaya dan bersemangat untuk terus menyumbang?
Mungkin sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan untuk melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun; bukan sebagai paksaan, tetapi sebagai satu pilihan yang bermakna buat mereka yang masih ingin berbakti dan menyumbang kepada ekonomi negara. Bagi wanita pula, perjalanan kerjaya bukanlah sebuah garis lurus. Ia terhenti seketika demi membesarkan anak, menjaga keluarga, dan mengurus rumah tangga; tugas yang tidak pernah tercatat dalam slip gaji, tetapi menjadi tulang belakang masyarakat.
Tahun-tahun paling produktif sering dikorbankan demi keluarga. Ramai wanita berkelulusan tinggi ingin kembali ke dunia pekerjaan untuk membantu memperkukuh kedudukan kewangan keluarga. Apabila anak-anak sudah membesar, usia semakin meningkat dan tempoh untuk membina simpanan tambahan serta persaraan menjadi semakin singkat.
Melanjutkan usia persaraan bukan sekadar memberi peluang kedua, tetapi memberi keadilan. Keadilan sosial membuka ruang untuk wanita-wanita ini menyambung semula perjalanan kerjaya, mengukuhkan simpanan, dan menamatkan usia bekerja dengan rasa bermaruah bukan dengan kegusaran tentang hari tua.
Namun isu ini lebih besar daripada soal individu. Ia adalah persoalan masa depan negara. Kadar kelahiran Malaysia semakin menurun. Semakin ramai pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak kerana kos hidup yang tinggi, harga rumah yang melambung, dan ketidaktentuan masa depan. Keutamaan mereka bukan lagi membina keluarga besar, tetapi menjamin persaraan yang selesa dan berdikari.
Apabila generasi muda semakin kecil bilangannya, siapa yang akan menggerakkan ekonomi? Siapa yang akan mengisi kekosongan dalam sektor profesional, pendidikan, kesihatan dan industri? Dalam dunia yang semakin kompetitif, pengalaman menjadi aset yang tidak ternilai. Sebuah negara yang berwawasan tidak menyisihkan warganya yang masih mampu menyumbang, sebaliknya menghimpun kebijaksanaan masyarakat inklusif yang telah teruji oleh masa.
Melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun bukan sahaja membantu menampung kekurangan tenaga kerja, malah mengekalkan kesinambungan ilmu, kemahiran dan nilai kerja yang menjadi asas kekuatan sesebuah organisasi.
Di peringkat individu pula, tempoh bekerja yang lebih panjang memberi ruang bernafas yang sangat diperlukan. Ia membolehkan rakyat merancang masa depan dengan lebih tenang—menabung untuk rawatan kesihatan, menyediakan tempat tinggal yang selesa, dan menikmati persaraan tanpa dihantui kegelisahan kewangan.
Bagi pasangan tanpa anak, kebebasan kewangan di usia tua menjadi benteng utama kehidupan. Tiada tangan anak untuk berpaut, tiada bahu untuk bersandar. Segalanya bergantung pada simpanan dan perancangan sendiri. Namun, bagi pasangan yang mempunyai anak sekalipun, kebergantungan bukanlah jaminan. Anak-anak dewasa juga memikul tanggungjawab terhadap keluarga mereka sendiri. Dalam dunia yang semakin mencabar, berdikari menjadi satu keperluan, bukan pilihan.
Negara-negara maju telah lama memahami hakikat ini. Singapura sedang meningkatkan usia persaraan kepada 65 tahun menjelang 2030, dengan peluang bekerja semula sehingga 70 tahun. [2] Jepun menggalakkan syarikat mengekalkan pekerja berusia. Negara-negara Barat seperti Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat, Kanada, dan Perancis telah menaikkan usia persaraan dari 65 hingga 67 tahun. [3] Mereka tidak melihat warga emas sebagai beban, tetapi sebagai sumber kekuatan.
Lebih daripada sekadar soal kewangan, bekerja di usia lanjut juga memberi makna kepada kehidupan. Ia menjaga kesihatan mental, menguatkan daya ingatan, dan memelihara hubungan sosial. Pekerjaan memberi tujuan, dan tujuan memberi kehidupan. Dalam suasana kerja berbilang generasi, yang muda belajar daripada yang berpengalaman, dan yang berusia terus merasa dihargai.
Namun, pelanjutan usia persaraan harus disertai dasar yang berperikemanusiaan; waktu kerja fleksibel, peluang latihan semula, tempat kerja mesra usia, serta perlindungan daripada diskriminasi umur. Negara tidak boleh meminta lebih tanpa memberi sokongan yang wajar.
Malaysia sedang menua. Tetapi menua tidak bermaksud melemah. Jika diurus dengan bijaksana, usia adalah kekuatan, bukan kelemahan. Melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun bukanlah tentang memaksa rakyat bekerja lebih lama, tetapi tentang memberi mereka pilihan untuk terus hidup dengan harga diri, kebebasan dan harapan.
Sebuah negara yang menghormati warganya di usia senja adalah negara yang benar-benar matang. Dan Malaysia, mampu “menua” sebagai sebuah bangsa yang kuat, bermaruah dan kekal produktif untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, dan setia berbakti selagi masih bertenaga.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.




