“Devolved Parliament”, sebuah karya cat minyak yang memaparkan pemandangan House of Commons dalam Parlimen British, menggantikan ahli-ahli Yang Berhormat negara Baginda Ratu itu dengan beruk cimpanzi telah dihasilkan pada tahun 2009 oleh Banksy, pelukis penuh misteri yang popular dengan karya jalanannya.
“Devolved Parliament” awalnya diberi judul “Question Time”, sesuai waktu pertanyaan menteri di parlimen England. Satu-satunya beruk yang sedang berdiri, kelihatan menopang dirinya pada “despatch box” yang menjadi tempat Perdana Menteri meletakkan kertas-kertas ucapannya ketika berbahas dan menjawab soalan ahli-ahli yang berhormat. Raut wajahnya juga kelihatan serius betul, meski ia seekor beruk.
Beruk-beruk di seberang lantai kelihatan sedang mencercanya, dengan ‘ketua pembangkang’ seakan sedang menunjukkan isyarat tangan seolah-olah berkata ‘apa benda kau cakap ni?’ sambil disokong barisan beruk pembangkang yang kelihatan seronok sekali bersetuju dengan ketua mereka.
Beruk yang menduduki kerusi Speaker pula berpenampilan begitu tua sekali dan tidak bermaya. Lukisan beruk-beruk di Parlimen tersebut berjaya dijual untuk mahar berjumlah GBP9.9 juta pada tahun 2019.
Sebelum itu, Banksy ada menghasilkan karya bertemakan beruk juga pada tahun 2002 yang diberi tajuk “Laugh Now”. Karya stensil itu pula memaparkan beruk memakai apron bertulis “Laugh now, but one day we will be in charge.” Ketawalah sekarang, tetapi suatu hari nanti kami akan berkuasa!
Di sebelah bumi sebalik sini, suatu lukisan dengan tema serupa turut dihasilkan. Lukisan yang kononnya didakwa merupakan hasil karya Pelukis Diraja Selangor, Datuk Azman Yusof dan jelas memaparkan keseluruhan anggota Dewan Rakyat Parlimen Malaysia terdiri daripada pelbagai spesis beruk dan katak.
Hanya tiga individu dalam lukisan terbabit tidak digambarkan sebagai beruk atau katak: Tuan Speaker dan dua pegawai Dewan.
Ramai tertanya-tanya kenapa Tuan Speaker kekal dilukis sebagai manusia, sedangkan beliau pun tidak kalah hebat terlibat dengan politik pintu belakang Langkah Sheraton jika dibanding dengan beberapa ahli-ahli Parlimen yang lainnya.
Dan memang pun jelas sekali, wajah sang Speaker memang sebiji dengan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, atau lebih manja dengan panggilan ‘Art’ Harun dalam kalangan kawan-kawan lama. Kenapa ‘Art’ tidak digambar sebagai seekor beruk juga, sepertimana Banksy berlaku adil kepada seluruh anggota Commons? Kita tentunya tidak akan pernah tahu.
Namun apa yang kita tahu ialah institusi parlimen di bawah seliaan Art adalah institusi yang mengecewakan.
Kekecewaan ini tambah dirasai pedihnya jika kita mula membanding antara Parlimen di bawah Art sebagai Speaker, dengan Parlimen di bawah seliaan mantan speaker, Tan Sri Ariff Yusof. Dan inilah yang mahu kita selongkar; sekurang-kurangnya dengan menghadam tulisan beliau yang sedang hangat diwacanakan orang.
Speaker, Terkejut!
Tan Sri Ariff meletakkan judul “Parliament, Unexpected” kepada bukunya yang ditulis sebagaimana adat orang menulis buku; untuk menawarkan sudut pandang yang tidak dilihat orang sepanjang tempoh singkat beliau bergelar Speaker.
Entahlah apa tajuk versi Bahasa Melayu buku ini. Namun kita syak mungkin nawaitu di sebalik tajuk itu ialah untuk menggambarkan bagaimana seorang bekas ahli PAS dan bekas hakim Mahkamah Rayuan boleh berkesudahan memikul tanggungjawab sebagai Speaker Dewan Rakyat. Bak kata beliau, “Tiada sesiapa dengan akal sihat akan punya cita-cita untuk menjadi Speaker Parlimen. Ia bukanlah suatu kerjaya mahupun pekerjaan makan gaji yang biasa-biasa.”
Seperti pengumuman 1 Syawal yang mengejutkan kita baru-baru ini, barangkali begitulah jawatan Speaker itu mengejutkan beliau. “Tiber!” bak kata generasi TikTok hari ini.
Sama juga halnya kemenangan Pakatan Harapan yang mengusung beliau ke Parlimen.
Jumlah mereka yang benar-benar percaya bahawa wujud sekelumit harapan untuk PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin hanya ada dalam beberapa belas orang. Mereka inilah yang menjelajah ke serata ceruk dengan berbekalkan harapan dan keyakinan, lantas cuba untuk meyakinkan orang ramai bahawa perubahan sedang mengetuk pintu pada minggu-minggu terakhir April 2018.
Masuk hari-hari terakhir sebelum “Undi Rabu” pada 9 Mei, perubahan nampaknya bukan setakat mengetuk, malah sedang giat merongkah pintu seperti cerita-cerita pontianak yang menggaru pintu rumah kampung, merayu dibiar masuk. Lebih kurang begitulah.
Pun begitu Barisan Nasional masih kekal percaya bahawa mustahil mereka boleh tewas setelah begitu banyak langkah diambil bagi memastikan proses pengundian disusahkan seboleh mungkin.
Sudahnya tangan-tangan dijulang di Hotel Sheraton Petaling Jaya, mengumumkan cukup bilangan untuk membentuk kerajaan sambil khabar-khabar angin bertiup kencang kononnya ada pemimpin politik tertentu yang sudah siap angkat bungkus mahu melarikan diri di tengah malam gelita, seperti segerombolan penyamun.
22 bulan kemudian, di hotel yang sama, satu lagi kejutan berlaku. Kali ini tidak begitu “unexpected”. Yang tempoh hari kalah terlungkup tiba-tiba berjaya mencukupkan bilangan mereka dengan aksi lompat-melompat secara ekstrem untuk melaksanakan rampasan kuasa melalui pintu belakang Istana Negara.
Demikianlah timbulnya karya satira yang dipanggil “parlimen beruk” oleh pengamal media.
Di tengah-tengah semua aksi ini, ada Ariff Yusof sebagai pengadil. Meski tidak didengar pun kata-katanya, seperti yang beliau coretkan dalam mengulas lukisan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, bertajuk “Sheraton Move” yang menghiasi kulit dalam bukunya ini.
“The book reads like a judgment,” kata saya kepada seorang teman. Sementalahan Tan Sri Speaker ini seorang bekas hakim mahkamah rayuan, membaca tulisannya seakan membaca sebuah alasan penghakiman yang sungguh sedap. Maka bagi mereka yang mahu melihat jatuh bangun kerajaan Pakatan Harapan sejak Mei 2018 sehingga tercetusnya Langkah Sheraton dari sudut pandang “orang luar” kerangka politik struktur, ini adalah buku yang wajib dikunyah lumat-lumat. Boleh celup dengan teh tarik segelas kalau terlalu keras. Kopi pun tak apa.
Sebagai seorang bekas mahasiswa undang-undang, membaca coretan Tan Sri Ariff ibarat membaca buku teks undang-undang perlembagaan tulisan Andrew Harding, Shad Faruqi, atau Aziz Bari – namun dengan penuh semangat dan mata yang terbuntang. Tidak mengantuk, maksud saya.
Dan sebagai mantan operator politik, syarahannya tentang bagaimana “tiadalah undang-undang perlembagaan itu melainkan proses politik yang berstruktur dan terlaksana” adalah ibarat segelas kopi Turki yang membugarkan. Pahit, tetapi benar, dengan segala serdak dan seratnya.
Yang pahit dan sedap itulah yang kita temukan dalam sudut pandang Ariff Yusoff sebagai seorang pengamal politik perlembagaan yang berdiri dengan menawarkan fakta ketimbang cerita-cerita orang yang entah dari celah mana sumbernya.
Dan sepertimana setiap cangkir kopi yang diseduh sempurna, begitulah juga kita mengharapkan tuangannya itu tiada berkesudahan.
Izmil Amri sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Ketika tidak makan nasi kandar, beliau sedang bersusah payah menjadi mahasiswa sains sosial, setelah bosan sekian lama menjadi operator politik. Berkicau di @The_Mamu”