Sebagaimana ‘orang miskin sentiasa mencari bintang’ seperti yang disebut Imelda Marcos dalam dokumentari The Kingmaker, barangkali begitulah juga bagaimana bangsa manusia sekaliannya memandang tinggi manusia lain yang kelihatan mempunyai sakti. Tidak kiralah kalau yang kelihatan sakti itu sekadar hasil karya fiksyen.
Demikian itu barangkali juga sebabnya kenapa beberapa tahun terakhir ini, filem-filem Marvel begitu laris. Hatta, tidak cukup di panggung wayang, para pemodal industri perfileman dunia bersusah payah menggarap hasil-hasil karya lanjutan untuk disiarkan secara atas talian, dan seterusnya mengaut laba tak berpenghujung.
Watak-watak penuh sakti ini mengisi keperluan manusia untuk mendapatkan hiburan di luar kemampuan ruang lingkup kepala mereka. Barang yang tiada pernah diduga minda, diusahakan oleh otak orang lain, dan dibawakan ke layar perak tentu sekali dengan tuntas dapat memuaskan selera dan hawa nafsu untuk menyaksikan sesuatu yang mustahil di depan mata.
Watak Thor misalnya, Dewa Petir daripada tradisi Norse yang menghunus tukul Mjolnir; ternyata laku dalam khalayak umum yang menyukai penampilan sendo Chris Hemsworth dengan jalan ceritanya yang menarik dan penuh liku. Apatah lagi dibingkai menentang saudaranya, Loki, yang turut diperankan seorang pelakon yang tidak kalah tampan, sehingga menjadikan watak antagonis itu hampir lebih popular berbanding Thor. Loki punya siri sendiri, Thor pun tak ada. Demikianlah popularnya dia.
Sama halnya barangkali dengan golongan yang mengangkat Hang Jebat sebagai pahlawan dan hero dalam hikayat Hang Tuah. Seperti Loki dan Thor, perlawanan sesama saudara dengan hikayat penuh sakti tentu sekali menarik minat dan perhatian ramai pihak sejak zaman berzaman.
Perlawanan seperti ini juga kita temukan dalam pertembungan Superman dan Batman dari alam komik DC. Satu watak penuh sakti yang turun dari langit (sepertimana mulanya Hikayat Hang Tuah) manakala yang satu lagi watak anti-hero; gelap dan disalah erti. Kedua-duanya kemudian mengepalai sebuah liga melawan ketidakadilan.
Hang Tuah, watak murni dengan pelbagai kebolehan luar biasa hatta boleh bercakap pelbagai bahasa setelah menerima geluk air Nabi Khidir ketika menunaikan haji, ditambah dengan kepandaiannya bersilat, memimpin dan menyusun strategi sehinggakan tunangan orang pun boleh dibawa lari untuk dipersembahkan kepada raja Melaka. Tuah adalah contoh adiwira yang mengagumkan hamba rakyat, puncak keperwiraan orang Melayu, teladan buat sekalian anak lelaki.
Hang Jebat pula diwarnakan sebagai sahabat yang setia; orang nombor dua dalam kawanan lima bersaudara à la Power Rangers yang menjadi bayang-bayang Tuah, namun akhirnya memilih derhaka demi menuntut keadilan dan kebenaran. Jebat dijadikan contoh yang tidak patut menjadi ikutan, meski dialah yang menjadi pembela mereka yang dizalimi. Jebat adalah manifestasi demokrasi, tetapi itu bukanlah kehendak monarki ketika itu.
Di persimpangan inilah kita menemukan nawaitu Steven Sim dalam menulis Hang Tuah: Adiwira Bangsa.
Steven, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, mantan timbalan menteri belia dan sukan sememangnya seorang yang amat menyukai Hikayat Hang Tuah. Untuk ulang tahun kelahirannya pada 2019, pegawai-pegawainya menghadiahi beliau sebilah keris, berikutan sukanya beliau itu terhadap segala yang Melayu. Ironinya cuma hari lahirnya itu jatuh pada 13 Mei. Tetapi itu cerita lain.
Sebelum buku yang ini, Steven turut menulis sebuah buku puisi, “Dalam Salju Ada Bunga”. Itu pun turut mengundang kritik ramai pihak. Kenapa seorang ahli politik—malah dari parti DAP— sibuk mahu menulis puisi dan menunjuk pandainya tentang hikayat adiwira ulung yang ramai orang Melayu sendiri pun tiada pernah membacanya. Steven sebaliknya membaca Hikayat Hang Tuah dari kulit ke kulit, sekali dengan nombor ISBN dan tanda harganya sekali, dengan teliti.
Dalam sekadar enam bab dan tidak sampai 200 muka surat, Steven menghuraikan beberapa tema besar Hang Tuah dan menggarapnya sebagai sebuah buku politik.
Sebagai operator politik kepada mantan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, Steven bukan orang yang bermain politik tepian gelanggang. Beliau malah baru sahaja dilantik sebagai Setiausaha Organisasi DAP, yang secara lazimnya merupakan jawatan latihan sebelum seseorang dilantik mengepalai parti sebagai Setiausaha Agung. Dan DAP barangkali beruntung besar memiliki bakal Setiausaha Agung yang begitu arif dalam tema-tema besar kebangsaan dan fasih dalam hal-hal kebudayaan Malaysia. Bukan sahaja Melayu dan Cina pastinya.
Atas sebab itu sahaja, Hang Tuah: Adiwira Bangsa adalah bacaan wajib untuk menanggapi dengan teliti bagaimana hasil karya zaman berzaman itu boleh diterjemahkan sebagai sebuah mesej nasionalisme yang menyegarkan.
Jujurnya, saya hanya membaca Hikayat Hang Tuah (itu pun versi terjemahan Bahasa Inggeris) kerana segan dengan Steven. Kalau ada anak-anak kita yang penyegan benar mahu membaca Hang Tuah, maka tulisan Steven Sim yang satu ini boleh menjadi pintu masuk. Paling kurang, akan terbit sedikit minat—kalau pun tidak rasa malu—untuk membaca keseluruhan ceritanya.
Ya benar, Hang Tuah adalah contoh teladan yang cemerlang dan hampir mustahil untuk kita mencontohinya seratus peratus. Namun, kalau kita menghadam bagaimana Steven Sim membingkai Tuah sebagai seorang adiwira bangsa, sepertimana Marvel dan DC membingkai sekalian adiwira mereka, paling tidak kita akan dapat memahami bagaimana Hang Tuah berfungsi dalam membentuk identiti Bangsa Malaysia.
Izmil Amri sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Ketika tidak makan nasi kandar, beliau sedang bersusah payah menjadi mahasiswa sains sosial, setelah bosan sekian lama menjadi operator politik. Berkicau di @The_Mamu”
Buku Hang Tuah Adiwira Bangsa boleh didapati melalui Gerakbudaya Kuala Lumpur.