
Seperti bulan yang berubah daripada anak bulan menjadi purnama, begitulah juga nasib manusia yang ada masanya baik dan ada kalanya tidak. Kerana itu nasib kita sering diibaratkan seperti roda yang berpusing-pusing. Dalam setiap pusingan itu, ada bahagiannya yang naik dan ada bahagiannya yang turun. Maka, tidak hairanlah jika setiap orang mengharapkan kehidupan yang lancar dan baik sepanjang masa. Namun, itu sukar untuk tercapai, kerana mustahil untuk nasib seseorang itu baik sepanjang hayatnya. Kalau hujan panas permainan hari, maka senang susah permainan hidup.
Kesedaran tentang perubahan nasib ini telah lama wujud dalam pemikiran masyarakat. Ramai yang percaya bahawa nasib baik atau buruk seseorang itu sudah ditentukan sebagai suratan takdir. Kepercayaan ini berasaskan pemerhatian bahawa ada orang yang dilahirkan dalam keadaan senang, tidak perlu risau tentang makan, minum atau tempat tinggal, manakala yang lain pula terpaksa bekerja keras sekadar untuk menyara kehidupan seharian. Ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Perkara ini tidak dapat dielakkan.
Peribahasa seperti secupak tidak boleh jadi segantang dan ayam ditambat disambar helang juga mencerminkan bahawa rezeki seseorang itu terbatas pada kadar tertentu. Walau sekuat mana usaha seseorang, hasil yang diperoleh tidak akan jauh besanya daripada apa yang sudah ditentukan. Dalam konteks ini, kehidupan petani, nelayan atau tukang rumah sering dijadikan contoh. Mereka bekerja keras sepanjang hayat, namun hidup mereka tidak banyak berubah sehingga ke tua. Dari satu generasi ke generasi, keadaan yang sama berulang, seperti satu kitaran yang tidak dapat diputuskan.
Daripada sudut ini, manusia sepertinya diajarkan untuk menerima bahawa apa yang dimiliki adalah takdir yang sudah ditentukan. Apa yang sudah menjadi bahagian kita itulah yang akan kita peroleh—termasuk jodoh, rezeki dan perjalanan hidup. Daripada ini lahir pula satu pola pemikiran yang cenderung kepada pesimisme, yang dirumuskan dalam ungkapan bahawa manusia hanya mampu berikhtiar, tetapi Tuhan yang menentukan.
Namun demikian, menerima takdir tidak semestinya membawa kepada keputusasaan. Sebaliknya, ia juga boleh melahirkan ketenangan dan ketabahan dalam menghadapi perubahan hidup. Dengan memahami bahawa kehidupan ini sentiasa berubah, manusia belajar untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Lama-lama, kita sedar bahawa di dunia ini tidak ada kebaikan atau keburukan yang mutlak. Apa yang dianggap baik hari ini mungkin buruk pada masa hadapan, dan begitulah sebaliknya. Segala-galanya bergantung pada keadaan dan cara kita menanggapinya.
Peribahasa tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu mengingatkan kita bahawa nasib manusia memang tidak dapat diramal dengan jelas. Berbeza dengan ayam yang tuahnya boleh dinilai pada kakinya, nasib manusia kekal tersembunyi. Kita mungkin melihat seseorang yang hidup dalam kesusahan pada masa kecil, tetapi berjaya pada masa dewasa. Begitu juga sebaliknya—ada yang bermula dengan kesenangan, tetapi akhirnya jatuh ke dalam kepayahan. Dalam sesuatu yang baik ada yang buruk, dan dalam yang buruk ada yang baik—itulah hukum patah tumbuh, hilang berganti.
Kesedaran inilah yang menjadi asas kepada tulisan ini. Hidup manusia penuh dengan ketidakpastian yang tidak dapat diramalkan. Kita tidak pernah tahu dengan tepat apa yang akan berlaku kepada diri kita, apatah lagi kepada orang lain. Sejarah sudah menunjukkan jatuh bangunnya pemimpin, orang kaya dan individu terkenal dari dahulu hingga sekarang. Maka, dalam menghadapi kehidupan yang tidak menentu ini, kita perlu memiliki kebijaksanaan dan kecerdasan emosi yang tinggi.
Antara sikap yang perlu dipupuk ialah berfikiran jernih, tidak sombong apabila berjaya, dan tidak mudah berputus asa apabila gagal. Kita juga perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan serta mencari peluang dalam segala kesukaran. Contohnya dapat dilihat pada Levi Strauss yang berjaya membina kekayaan melalui inovasi yang lahir daripada keperluan. Ini menunjukkan bahawa kejayaan bukan sekadar bergantung pada nasib, tetapi juga pada keupayaan menyesuaikan pemikiran dan strategi dengan keadaan.
Nasib boleh diubah
Walaupun ramai yang percaya bahawa nasib sudah ditentukan, persoalan yang perlu ditanya ialah: tidakkah setiap orang menginginkan kehidupan yang lebih baik? Tanpa mengira status, bangsa atau latar belakang, semua manusia memiliki keinginan yang sama, yakni hidup dalam keadaan yang lebih senang dan bermakna. Semua orang melalui kitaran kehidupan yang sama: lahir, membesar, tua dan akhirnya mati. Dalam perjalanan itu, setiap orang mengalami kegembiraan, kesedihan, kesusahan dan cabaran. Apa yang membezakannya bukanlah pengalaman itu sendiri, tetapi cara kita menanggapinya. Ada yang bertindak secara impulsif, ada yang memilih untuk bersabar dan berfikir secara rasional.
Sering kali kita terpedaya dengan apa yang kita lihat. Kita menganggap kehidupan orang lain lebih baik, lalu timbul rasa iri hati. Namun, hakikatnya apa yang dilihat tidak semestinya mencerminkan kebenaran. Apa yang kita diingini selalunya hanyalah ilusi. Oleh itu, kita perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam perbandingan yang menyesatkan ini. Yang lebih penting ialah membina sikap positif dan terbuka agar kita mampu melihat peluang walaupun dalam keadaan yang payah.
Lihat tokoh seperti Thomas Edison yang tidak pernah berputus asa walaupun berulang kali gagal sebelum berjaya mencipta lampu mentol. Baginya, kegagalan bukanlah penamat, tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran. Daripada kegagalan itulah lahir pengetahuan baharu yang akhirnya membawa kepada kejayaan.
Selain itu, setiap manusia juga mempunyai kelemahan. Tidak ada sesiapa di dunia ini yang sempurna. Namun, kelemahan itu bukan alasan untuk menyerah, tetapi menjadi titik tolak untuk memperbaiki diri. Kekuatan sebenar terletak pada kebijaksanaan menerima kekurangan dan menyesuaikan diri dengan kekurangan yang ada. Kita juga perlu mengawal emosi dan tidak mudah menyalahkan orang lain apabila berdepan dengan kesukaran. Ikut hati mati, ikut rasa binasa—peribahasa ini mengingatkan bahawa emosi yang tidak terkawal boleh membawa kepada kehancuran.
Dalam konteks masyarakat, kemiskinan yang dialami secara berterusan bagi sesetengah golongan tidak boleh dilihat secara mudah. Ia bukan semata-mata berpunca daripada kemalasan, tetapi juga berkait dengan struktur ekonomi dan pola pemikiran yang diwarisi. Ramai yang terperangkap dalam kitaran upah rendah, lalu menerima keadaan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat diubah.
Kisah seorang gembala yang bekerja untuk berkahwin, berkahwin untuk mempunyai anak, dan mempunyai anak untuk menjaga kambing, menggambarkan kitaran hidup yang berulang tanpa perubahan. Bagi gembala tersebut, kehidupan itu sudah memadai. Namun, dari sudut lain, kisah ini menunjukkan bagaimana pemikiran yang terbatas boleh menghalang seseorang daripada melihat kemungkinan yang lebih luas.
Dalam dunia yang sentiasa berubah, sikap menerima tanpa usaha untuk berubah boleh menjadi penghalang kepada kemajuan. Untuk keluar daripada kitaran tersebut, seseorang perlu memperoleh kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Inilah yang dimaksudkan dengan memperkasakan diri, iaitu langkah penting untuk mengubah nasib.
Pemikiran, minda dan ilmu yang menentukan nasib
Tokoh seperti Kazuo Inamori dan Albert Einstein pernah menegaskan bahawa pemikiran manusia memainkan peranan penting dalam menentukan nasib. Pemikiran boleh menjadi kuasa yang membebaskan, tetapi juga boleh menjadi perangkap yang menghalang perkembangan diri kita. Orang yang berfikiran sempit cenderung melihat dunia dalam ruang yang terbatas, manakala mereka yang berfikiran terbuka mampu melihat peluang yang lebih luas. Oleh itu, perbezaan antara kejayaan dengan kegagalan bukan hanya terletak pada usaha atau peluang, tetapi juga pada cara seseorang itu berfikir.
Perubahan dalam hidup mesti bermula dengan perubahan dalam pemikiran. Revolusi mental membolehkan seseorang berani menghadapi cabaran baharu dan keluar daripada zon selesa. Dalam erti kata lain, manusia bukan sekadar mangsa keadaan, tetapi juga pengemudi nasibnya sendiri. Hakikatnya, pemikiran yang positif akan membawa ketenangan dan keyakinan, manakala pemikiran yang negatif akan menimbulkan keresahan dan kekecewaan. Analogi segelas air separuh penuh dan separuh kosong sering digunakan untuk menggambarkan perbezaan ini. Apa yang berubah bukanlah keadaan sebenar, tetapi cara kita melihatnya.
Dengan kata lain, pengalaman hidup seseorang banyak ditentukan oleh cara dia mentafsirkan realiti. Emosi seperti kegembiraan, kesedihan dan kemarahan berpunca daripada pemikiran kita sendiri. Oleh itu, dengan mengubah pemikiran, kita sebenarnya sedang mengubah kehidupan kita.
Tuah kita, kita yang tentukan
Hidup manusia sentiasa berayun antara kegembiraan dan kesedihan. Dalam perjalanan itu, kejayaan dan kegagalan silih berganti. Namun, yang penting ialah bagaimana kita menanggapi pengalaman tersebut. Setiap cabaran sebenarnya membentuk ketahanan diri. Seperti ulat yang berubah menjadi rama-rama, setiap usaha dan pengorbanan akan membawa kepada perubahan. Walaupun kita tidak dapat memilih untuk lahir bagaimana, kita masih mempunyai keupayaan untuk menentukan masa depan.
Perbezaan antara orang yang berjaya dan yang gagal sering terletak pada sikap mereka dalam menghadapi kesukaran. Mereka yang berani menghadapi cabaran akan menjadi lebih kuat, manakala mereka yang berkompromi dengan kesusahan akan terus berada dalam keadaan yang sama. Hakikatnya, kejayaan atau kegagalan tidak berlaku secara kebetulan. Ia mempunyai sebab-sebab tertentu yang boleh difahami dan diubah. Antaranya ialah sikap hanya merancang tanpa bertindak. Angan-angan tahi ayam semata-mata tidak akan membawa perubahan jika tidak disertai usaha yang berterusan.
Walaupun ada yang berusaha keras tetapi belum mencapai hasil yang diharapkan, ini tidak bermakna usaha tersebut sia-sia. Tidak ada masalah yang tidak mempunyai penyelesaian. Setiap manusia mempunyai potensi tersendiri yang boleh dikembangkan melalui keberanian, ketabahan dan kesediaan untuk belajar. Akhirnya, setelah melalui pelbagai pengalaman hidup, kita akan sedar bahawa sebahagian besar kehidupan berada dalam kawalan kita. Walaupun ada perkara yang di luar kuasa kita, sebahagian besar daripadanya boleh diatasi melalui usaha dan perubahan sikap.
Maka, jika tuah ayam dapat dilihat pada kakinya, tuah manusia terletak pada dirinya sendiri. Kitalah nahkoda dan jurutera yang menentukan arah kehidupan. Dengan pemikiran yang betul, usaha yang berterusan dan keberanian menghadapi cabaran, kita bukan sahaja mampu mengubah nasib, tetapi juga mencipta masa depan yang lebih baik.
Ding Choo Ming merupakan Mantan Felo Penyelidik Utama (Profesor) di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).




