Sulit untuk menjelaskan asal wujud seni persembahan teater atau mengesan kembali pementasan pertama teater di dunia. Namun, kita dapat menyandarkan andaian kepada dua teori. Pertama, teater dipercayai bermula daripada upacara agama primitif, kedua melalui upacara nyanyian untuk menghormati para pahlawan, dan ketiga melalui sifat manusia itu sendiri yang gemar untuk bercerita dan mendengar cerita. Upacara-upacara ini kemudiannya berevolusi menjadi seni persembahan teater.
Namun, di awal perkembangannya, seni persembahan teater dianggap sebagai seni elit dan hanya dinikmati oleh kelas-kelas atasan. Pengkelasan teater sebagai bentuk seni elit ini adalah berdasarkan kepada sifatnya yang hanya menyasarkan para penonton atau kumpulan masyarakat tertentu yang memiliki cita rasa tinggi dan istimewa. Di England misalnya, kewujudan gedung teater Elizabethan menjadi penanda bahawa seni teater hanya dinikmati oleh kelas-kelas atasan. Hal ini kerana, gedung teater ini banyak mementaskan Shakespeare yang dianggap tidak mampu dihadam kebanyakan orang. Sama dengan seni opera. Menonton pementasan Lady Macbeth of Mtsensk karya Dmitri Shostakovich pada era pra-revolusi Rusia adalah suatu aktiviti yang terpelihara untuk golongan kaya dan istimewa (privileged).
Walau bagaimanapun, kerana globalisasi dan kapitalisme, seni persembahan teater pada hari ini tidak hanya terhenti untuk dinikmati oleh golongan berduit. Teater tidak lagi semata-mata dikelaskan dalam kategori budaya tinggi (high culture). Sebaliknya, seni ini turut menjadi suatu bentuk hiburan popular dan menjadi aktiviti masyarakat awam yang arus perdana. Dari situ, teater tidak hanya menjadi lanjutan kepada festival-festival keagamaan, malah menjadi suatu bentuk hiburan, seni mahupun sebagai alat untuk menyebarkan idea-idea politik dan alat mempropaganda khalayak massa (propagandising mass audiences).
Di Rusia sekitar tahun 1920-an, kita mengenal konsep agitprop, iaitu singkatan kepada agitation and propaganda dalam pelbagai bentuk seni persembahan. Sememangnya pada peringkat awal konsep ini digunakan oleh parti komunis Rusia bagi menyebarkan ideologi dan propaganda kepada rakyat. Namun, setelah konsep ini menjadi semakin popular maka lahirlah konsep teater agitprop—teater politikal yang berkembang di negara-negara Eropah. Teater-teater Bertolt Brecht, seorang penyair, penulis drama dan pengarah teater Jerman menjadi antara contoh-contoh terbaik teater berbentuk agitprop. Teater-teater seperti The Resistible Rise of Arturo Ui (1958), Schweik in the Second World War (1943), Galileo (1967) dan banyak lagi menjadi rujukan penting para penggiat teater pada waktu itu ataupun hari ini.
Teater sebagai wadah politik juga tidak pernah terasing di rantau Asia Tenggara. Nasionalis, novelis, penyair dan wartawan Filipina, José Rizal dalam perjuangannya menentang penjajah turut menjadikan teater sebagai wadah untuk menyebarkan semangat nasionalisme rakyat Filipina. Karya-karyanya seperi El Consejo de los Dioses, Junto Al Pasig, dan San Euistaquio, Mártyr menjadi pembakar semangat rakyat, dan malangnya turut menjadi penyumbang kepada kematian bermaruahnya di hujung senapang penjajah.
Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini. Selepas zaman Reformasi 1998, sebagai tindak balas terhadap masalah sosio-politik negara, lahir sebuah kelompok teater anak muda yang berpusat di Bangsar Utama, Kuala Lumpur. Selain mendokumentasikan serta menjadi wadah untuk mendidik masyarakat, kewujudan kumpulan teater ini juga menjadi bukti kepada perkembangan bentuk penglibatan politik anak muda di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.
Kumpulan teater Bangsar Utama bermula dengan hanya beberapa orang anak muda dari beberapa buah universiti sekitar Kuala Lumpur. Pada awalnya, mereka bergiat aktif dengan menyertai kelab teater di kampus masing-masing. Namun, politik Malaysia era Mahathir pada waktu itu yang sangat menekan secara tidak langsung turut memberi kesan kepada universiti-universiti. Kebebasan untuk berpolitik disekat di dalam kampus, kumpulan-kumpulan pelajar dikekang untuk tumbuh dengan bebas, para pelajar dikawal aktiviti mereka. Perkembangan ini dilihat mampu membantutkan perkembangan kreatif para pelajar. Akhirnya anak-anak muda ini mengambil keputusan untuk bergerak di luar ruang tertutup universiti.
Kuala Lumpur menjadi ibu kota yang melahirkan ramai aktivis, baik melalui parti politik mahupun organisasi-organisasi masyarakat. Tekanan politik yang wujud pada ketika itu menjadi pemangkin kepada anak muda ini untuk menjadi lebih kritikal kepada pemerintah. Bersama-sama dengan para aktivis yang pelbagai latar belakang inilah anak muda yang meminati teater tadi bergabung. Dengan objektif untuk mewujudkan kumpulan anak muda yang lebih terurus, maka lahirlah kumpulan yang dikenali dengan nama Universiti Bangsar Utama (UBU).
Dengan menyewa sebuah premis kedai di kawasan Bangsar Utama, pelbagai program telah dijalan secara konsisten. Antaranya ialah kelas tuisyen percuma untuk anak-anak daripada keluarga miskin sekitar Kuala Lumpur, diskusi ilmiah, tayangan filem dan juga latihan serta pementasan teater. Jelas sekali apa yang dilakukan oleh UBU bukanlah suatu bentuk aktiviti kebajikan. Akan tetapi, ia adalah manifestasi kepada protes mereka terhadap ketidakadilan dan kepincangan yang berlaku dalam sistem politik Malaysia waktu itu.
Walaupun terdapat pelbagai aktiviti berbentuk protes dijalankan oleh UBU, namun teater menjadi aktiviti paling utama bagi kumpulan ini. Antara teater terawal yang dipentaskan oleh kumpulan ini ialah teater Tok Ampoo. Ia mengisahkan tentang budaya mengampu atau membodek yang terdapat pada ahli politik ataupun wakil rakyat. Tok Ampoo merujuk kepada penguasa yang merasakan dialah yang paling berkuasa, yang sering kali terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, rasuah. Yang dipentingkan oleh golongan ini hanyalah kuasa dan kedudukan. Oleh yang demikian, apa yang dilakukan oleh Tok Ampoo ialah mereka sedaya upaya akan mempertahankan kedudukan dengan apa cara sekalipun termasuklah dengan mengampu orang atasan.
Teater Tok Ampoo adalah teater yang sangat mencerminkan suasana politik Malaysia sekitar 90’an. Walaupun Malaysia pada ketika itu sudah mula mengamalkan sistem demokrasi, namun budaya politik patrimonial terutamanya dalam kalangan ahli politik masih menebal. Ini menjadi penyebab berlakunya amalan kronisme dan penyelewengan yang akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Antara teater lain yang turut mencerminkan keadaan politik Malaysia semasa ialah, Bilik Sulit. Tahun 2008 sehingga 2014 boleh dikatakan sebagai tahun-tahun hitam dalam sejarah politik dan aktivisme di Malaysia. Pada tahun-tahun inilah banyak kes pencabulan hak asasi manusia berlaku. Pertukaran rezim Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah kepada Najib tidak membawa perubahan yang ketara dari segi hak kebebasan bersuara rakyat. Dengan pengekalan akta-akta tinggalan penjajah dan pengenalan akta-akta baru yang menekan, banyak kes pencabulan hak asasi manusia berlaku. Bermula dengan tahanan tanpa bicara ahli politik pembangkang dan para aktivis, kematian orang awam dalam tahanan sehinggalah kepada serangan terhadap kebebasan media menjadi catatan sejarah hitam politik Malaysia. Teater Bilik Sulit dipentaskan bagi memberi kesedaran kepada rakyat akan kepincangan-kepincangan yang berlaku ini. Melalui teater ini juga, pada tahun 2014, buat pertama kalinya kumpulan teater Bangsar Utama melakukan siri jelajah mereka di seluruh Malaysia dan juga Eropah.
Peristiwa Reformasi pada tahun 1998 dengan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi salah satu peristiwa besar yang menarik minat kelompok-kelompok anak muda di Kuala Lumpur untuk terlibat secara aktif dalam politik. Tambahan lagi, kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis ketika meleraikan demonstrasi-demonstrasi terhadap para demonstran turut menarik golongan anak muda ini untuk menyatakan pendirian tegas dengan menolak bentuk politik kekerasan dan meletakkan kedudukan mereka untuk berjuang membela rakyat yang tertindas. Tekanan-tekanan yang dihadapi daripada pihak pemerintah melalui aparatus-aparatusnya tidak sesekali mematahkan semangat anak-anak muda ini. Sebaliknya, semangat mereka terus wujud walaupun dengan mengambil pendekatan-pendekatan yang lebih kreatif dan tidak langsung.
Teater menjadi popular dan semakin diminati adalah kerana sifatnya yang pada hari ini sudah tidak elitis. Ia sudah menjadi seni persembahan yang boleh dinikmati dan difahami oleh masyarakat kebanyakan. Ia tidak lagi menjadi seni untuk golongan kelas atasan dan bangsawan sahaja. Teater popular boleh dipentaskan di mana-mana sahaja baik di tepi-tepi jalan mahupun di dewan-dewan kegiatan masyarakat—tidak semestinya dipentaskan di tempat-tempat ekslusif seperti di Istana Budaya. Malah, teater-teater popular seperti ini seringkali percuma. Sekalipun ada, ia hanyalah dalam bentuk sumbangan daripada orang ramai.
Izzuddin Ramli merupakan seorang penulis, penterjemah, dan penyunting. Beliau menguruskan portal esei Suara Nadi dan mengendalikan audio siar Bual Nusantara.