Terkenang zaman kanak-kanak dahulu, saat menjelang Syawal yang penuh kemeriahan. Beberapa hari sebelum raya, ibu awal-awal berpesan kepada abah: carikan daun palas, beras pulut, dan segala ramuan untuk memasak rendang Tok, juadah istimewa keluarga sejak turun temurun.
Seperti tahun-tahun ini, sebaik sahaja pengumuman hari raya berkumandang di kaca televisyen, rumah serta-merta menjadi riuh. Kami adik-beradik masing-masing diberikan tugas; ada yang mengemas rumah, ada yang mengumpul, mengepil, dan menggantung beratus kad raya kiriman sahabat handai, rakan taulan dan saudara mara di dinding rumah. Ibu pula tekun di dapur, membuka helaian daun ketupat, membalutnya satu persatu sebelum direbus, sambil tangan menggenggam bijian rempah ratus untuk menumis rendang ayam yang semerbak baunya ke seluruh ruang rumah. Malam itu kami semua bersengkang mata walaupun bergelut dengan kesuntukan masa, namun jauh di dalam hati tidak sabar menanti pagi Syawal yang bakal tiba.
Baju raya? Itu juga satu kemeriahan yang ditunggu-tunggu. Ibu dan ayah akan membeli dan menempah beberapa pasang pakaian untuk kami, cukuplah sekadar sehelai dua untuk seorang, biar tahan setahun, kata mereka, sehingga Syawal menjelma lagi. Namun, bukanlah pakaian baharu yang membuat kami gembira, tetapi perjalanan pulang ke kampung halaman yang menjadi detik paling dinanti-nantikan. Kedah, tanah kelahiran ibu dan ayah, menjadi destinasi wajib setiap lebaran. Jarak antara Batu Pahat dan Kedah bukanlah dekat, lebih-lebih lagi pada zaman itu, ketika lebuhraya Utara-Selatan masih belum terbentang megah. Abah, dengan penuh kesabaran, memandu keretanya, membawa kami menyusuri jalan dua hala yang bengkang-bengkok, meredah selekoh tajam dan perjalanan yang seakan tiada penghujung. Namun, sepanjang perjalanan, alam seolah-olah berbicara dengan sawah menghijau terbentang luas, pohon renek melambai mesra di kiri kanan jalan, sementara kedai-kedai kecil berdiri setia, menjadi saksi bisu kepada pengembara yang lalu-lalang. Segala-galanya bagai lukisan hidup, mencantumkan nostalgia dan harapan dalam satu kanvas yang tidak mungkin pudar dalam ingatan.
Kini, segalanya berubah. Lebuhraya Utara-Selatan terbentang luas, perjalanan lebih selesa dan pantas. Jika dahulu masa perjalanan lebih panjang, namun terasa nikmatnya—dapat menikmati keindahan kampung dan pekan kecil di sepanjang laluan, seolah-olah menyusuri kenangan zaman silam. Namun, satu perkara tetap kekal. Kesesakan jalan raya. Jika bergerak pada musim perayaan, perancangan rapi diperlukan kerana lebuhraya selalunya sesak, terutama di kawasan R&R dan plaza tol utama Sungai Besi dan Ipoh.
Begitu juga dengan persiapan hari raya. Jika dahulu segala keperluan dibeli di pekan atau pasar malam, kini semuanya hanya di hujung jari. Biskut raya, daun palas, ketupat, serunding ayam atau daging, dan lain-lain semuanya boleh ditempah secara dalam talian. Malam raya tidak lagi sesibuk dulu, tiada lagi bunyi lesung batu diketuk atau bau tumisan yang menyelubungi ruang dapur hingga larut malam. Badan pun boleh berehat, tetapi ada sesuatu yang terasa kurang; kemesraan dan kemeriahan di dapur yang pernah menjadi nadi lebaran.
Masa bergerak begitu pantas. Kedai buku yang dahulu sarat dengan kad-kad ucapan raya kini kian sepi. Tiada lagi sahabat handai berebut-rebut memilih kad terbaik untuk dikirimkan kepada yang tersayang. Serba-serbi digital, imej ucapan raya yang cukup menarik dihantar melalui WhatsApp atau media sosial, pantas tetapi dingin tanpa sentuhan pena peribadi.
Di pagi Syawal yang mulia, sanak saudara tampil anggun dalam persalinan tradisional berbaju Melayu, baju kurung beralun indah, menzahirkan pesona warisan yang tidak lapuk dek zaman. Seakan tidak sempurna kemeriahan lebaran tanpa busana penuh makna ini, kerana di setiap helaiannya tersulam erat nilai budaya, kehalusan seni sulaman jahitan bunga kerawangnya yang menjadi kemegahan bangsa. Namun, seiring peredaran masa, kelonggaran dalam gaya berbusana turut diterima. Kini, ada yang memilih mengenakan kurta yang ringkas tetapi tetap berseri, manakala wanita anggun dalam blouse polos dipadankan dengan kain, mencipta gaya moden tanpa menghilangkan roh tradisi.
Hari Raya juga tidak akan lengkap tanpa sesi bergambar, merakam detik indah untuk dikenang sepanjang hayat. Dahulu, merakam potret keluarga secara beramai-ramai bukanlah perkara mudah. Keterbatasan kamera di setiap isi rumah memaksa mereka menempah jurugambar lebih awal bagi mengabadikan momen bahagia. Namun, dengan kemajuan teknologi, sesi bergambar kini menjadi lebih mudah dan pantas. Dengan hanya sebuah telefon pintar berkamera canggih, setiap detik dapat dirakam dengan jelas, disunting mengikut cita rasa, lalu dikongsi pula dengan ahli keluarga lain serta dimuat naik ke media sosial sebagai tanda kemeriahan Syawal yang diraikan bersama.
Amalan duit raya ibarat sebutir mutiara tradisi yang bersinar dalam kemeriahan Syawal, menceriakan hati kanak-kanak dan menyulam erat ikatan kasih antara sanak-saudara. Ia bukan sekadar lembaran wang yang disisipkan dalam sampul berwarna-warni, tetapi tanda ingatan dan kasih sayang yang mengalir dari hati ke hati.
Dalam ajaran Islam, pemberian duit raya umpama sedekah yang membawa keberkatan melimpahkan pahala kepada yang memberi, memperkukuh hubungan kekeluargaan, serta menghidupkan nilai ihsan dalam kehidupan bermasyarakat. Dahulu, selembar wang seringgit atau dua sudah cukup berharga, diserahkan dengan penuh mesra sewaktu tangan bersalaman, menanam benih kegembiraan dalam jiwa si penerima. Namun, tradisi ini bukanlah satu bebanan yang mengikat, bukan pula sebuah tuntutan yang menekan, melainkan amalan yang dipandu keikhlasan dan kemampuan.
Seiring peredaran zaman, cara pemberian melalui huluran tangan-tangan masih diamalkan tetapi pada masa yang sama juga berubah wajah. Kini teknologi juga mengambil tempatnya yang mana duit raya dihantar merentasi sempadan melalui transaksi digital seperti TNG eWallet, Boost, dan QRPay. Walau bentuknya mungkin berbeza namun niat tetap sama yakni menghubungkan kasih, menyulam kegembiraan, menyuburkan kenangan.
Begitulah lumrah zaman, berputar membawa arus kemajuan, namun nostalgia tetap berakar di sanubari. Syawal hadir saban tahun, namun tiap tibanya, ia menggamit kenangan bersama arwah ayah, orangnya sangat istimewa, hidup bersederhana, membelai kami adik-beradik dengan penuh kasih sayang. Setiap Syawal, sehelai kemeja menjadi amalan hadiahku buatnya, dan setiap kali itulah dia menyarungnya seolah-olah sehelai kain itu lebih bererti daripada segala perhiasan dunia.
Kini, suasana pagi raya tanpa kehadiran ayah terasa begitu hening, seakan-akan ada ruang kosong yang tidak terisi. Selesai solat sunat Aidilfitri, kami menziarahi pusaranya. Hanya doa-doa dipanjatkan, ayat-ayat suci mengalir dari bibir yang mengiringi hati seorang anak yang merindui belaian kasih seorang ayah. Antara kami seolah-olah memahami bahawa kehilangan ini bukan sekadar kenangan, tetapi suatu ikatan yang tersimpul erat dalam jiwa.
Zaman terus berubah, namun kenangan sambutan Syawal tetap abadi, tersemat kemas dalam kamar hati yang paling dalam. Kami sekeluarga masih beruntung, kerana ibu, permata hati ayah, masih ada bersama kami. Seperti rendang yang aromanya kekal meresap dalam ingatan, kasihnya mengalir tanpa henti, memeluk kami dalam kehangatan meskipun Syawal berganti zaman.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.