Seperti masyarakat di kebanyakan negara Asia lain, masyarakat Malaysia sangat terkenal dengan sifat sederhana, taat, dan sopan. Ketiga-tiga sifat ini menjadi sumber utama dalam merukunkan kehidupan masyarakatnya yang rencam kaum, budaya, dan agama. Namun, seperti wang syiling, ada sisi lain daripada sifat-sifat ini. Ketika diasuh untuk menjadi sopan, kita juga dalam masa yang sama menghidupkan sikap patuh secara membuta tuli. Hal ini jelas dalam cara kita berpolitik.
Dalam politik yang menggalakkan setiap warga untuk aktif bersuara dan membuat keputusan, sopan kadangkala hadir memadamkan kritik. Kita menghadapi kenyataan bahawa teguran terhadap pemerintah, pemimpin-pemimpin negara, atau menyoal norma-norma umum adalah suatu kesalahan. Malah, kritikan sering dianggap sebagai hal yang berlawanan dengan sifat sopan.
Pada titik ini, tindakan-tindakan politik seperti bangkangan sivil oleh masyarakat awam dan mahasiswa atau perhimpunan pihak pembangkang akan dianggap sebagai biadab dan mengganggu ketenteraman awam. Akibatnya, kebanyakan debat-debat dasar yang bermakna dan membina tidak sering berlangsung di ruang-ruang awam, sebaliknya hanya berlaku di dewan persidangan parlimen dan dalam kalangan ahli politik. Sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita memerlukan rakyat untuk memainkan peranan semak dan imbang.
Budaya memusuhi kritik dalam politik Malaysia bukan sesuatu yang asing. Baru-baru ini salah seorang ahli Dewan Negara menyifatkan kritikan terhadap pihak pemerintah yang terjadi di media sosial sebagai penyakit mental nombor satu. Sungguhpun pandangan ini tidak mewakili kesemua pemimpin negara, ianya tetap memberi gambaran bahawa budaya kritikan terhadap pemerintah masih tidak disambut dengan baik oleh sebahagian pihak. Ramai yang masih belum bersedia untuk menjadi lebih terbuka dan berlapang dada dengan teguran.
Hal yang lebih mengecewakan adalah kritik atau teguran juga seringkali dikaitkan dengan nilai-nilai barat dan tidak bersesuaian dengan budaya Asia yang mengutamakan keharmonian masyarakat lebih daripada kepentingan peribadi. Namun, kita juga tahu bahawa bantahan politik terhadap pemerintah bukanlah perkara baharu di rantau Asia.
Negara-negara seperti Filipina, Myanmar, Taiwan, Thailand, Indonesia dan juga Malaysia memiliki sejarah kebangkitan massa yang kemudiannya mencetuskan perubahan politik. Reformasi yang terjadi di Indonesia pada tahun 1998 menjadi titik mula kepada proses pendemokrasian di negara itu. Perhimpunan sivil di Filipina juga mengakhiri kepimpinan Marcos yang bersifat kleptokrat. Di Malaysia, perhimpunan Bersih juga telah mendesak pemerintah untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih telus.
Ketika catatan ini ditulis, rakyat Myanmar sedang berarak untuk membantah rampasan kuasa oleh pihak tentera terhadap pemerintahan yang dipilih secara sah oleh rakyat.
Sopan Berpada-pada
Nilai kesopanan dan kesusilaan — salah satu prinsip Rukun Negara — adalah suatu nilai yang wajar untuk diterapkan dalam kalangan masyarakat. Di Malaysia, nilai ini sudah dipupuk semenjak kecil lagi. Para pelajar di semua peringkat sekolah diwajibkan untuk menduduki kelas pengajian moral dan seumpamanya. Tambahan lagi, anak-anak kecil juga dididik untuk menghormati orang yang lebih tua, khususnya sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripadanya.
Oleh yang demikian, tidak hairan jika ada sesetengah orang, khususnya golongan muda, yang merasakan ketaatan kepada pemimpin ataupun sesiapa sahaja yang lebih berkuasa adalah satu perkara yang wajib. Malahan, dalam masyarakat yang lebih konservatif, sebarang pertelingkahan dengan mereka yang lebih berkuasa dilihat sebagai suatu tingkah laku yang biadab dan perlu dihukum.
Akibatnya, golongan muda, terutamanya mereka yang biasa didedahkan dengan bentuk pemikiran yang konservatif, akan lebih cenderung untuk mengelak dari sebarang bentuk konflik dengan mereka yang lebih berkuasa. Pada masa yang sama, jurang ketidaksefahaman juga akan semakin meluas.
Golongan muda juga mungkin akan merasakan bahawa sebarang pertelingkahan dengan pihak yang lebih berkuasa adalah tidak berbaloi kerana wujudnya ketidakseimbangan dalam hubungan kuasa. Sebaliknya, golongan muda yang berani menyoal atau membantah status quo seringkali berhadapan dengan risiko dan jarang mendapat sokongan.
Malangnya, sifat-sifat feudalisme seperti ini turut mekar dalam politik. Mereka yang tidak berkuasa merasakan perlu untuk menuruti perintah pemimpin mereka dan menghindari sebarang konflik. Budaya seperti ini juga yang menggalakkan lahirnya masyarakat patuh atau “docile citizenry”.
Biarpun nilai kesopanan dan kesusilaan perlu disuburkan, ianya tidak sepatutnya diamalkan dengan membuta tuli. Hal ini kerana para pemimpin ataupun pihak-pihak berkuasa juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan turut memiliki titik buta dalam pemikiran ataupun keputusan mereka. Sebaliknya, kritik dan bantahan adalah digalakkan dalam apa sahaja keadaan dan tidak patut dianggap sebagai tingkah laku biadab.
Sesungguhnya, masyarakat hanya akan menjadi lebih maju dan matang dalam cara berfikir jika wujudnya budaya bertanya dan renungan terhadap norma-norma umum, isu-isu semasa, dan keputusan-keputusan politik yang berterusan. Norma-norma umum ataupun keputusan-keputusan politik yang baik untuk kepentingan awam juga akan dapat dipertahankan atau ditambah baik dengan adanya kritikan-kritikan dan debat-debat yang berlanjutan.
Pada umumnya, kritikan-kritikan terhadap pihak pemerintah tidak digalakkan kerana ianya seringkali diibaratkan sebagai suatu ancaman peribadi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ketika kehidupan kebanyakannya tertumpu di media sosial, ada pengguna-pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab dan membuat tuduhan yang tidak berasas. Walau bagaimanapun, kritikan terhadap pemerintah tidak semestinya disifatkan sebagai persaingan ego. Pada sisi yang lain, masyarakat juga perlu memiliki keupayaan untuk memberi kritikan yang lebih konstruktif.
Menggalakkan Kritikan
Nilai kesopanan merupakan suatu nilai murni dan patut dibanggakan oleh masyarakat Malaysia. Namun demikian, ianya tidak harus digunakan sebagai alasan untuk memadamkan kritikan terhadap pemerintah. Kritikan dan pandangan yang bercanggah atau berbeza adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan terutamanya dalam arena politik.
Sungguhpun negara Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan mempunyai ruang berdebat, jelas bahawa masih banyak ruang untuk penambahbaikan bagi menggalakkan lagi kualiti perdebatan tentang isu-isu semasa. Kita sepatutnya merasa kecewa apabila ada sesetengah pemimpin negara yang tidak mampu untuk berbahas dengan baik. Ada yang hanya mengecam jurang umur dan perbezaan jantina pihak lawan, menjerit-jerit di ruang parlimen ataupun menolak sebarang kritikan secara terang-terangan.
Oleh itu, amalan kritikan dan perdebatan seharusnya dipertingkatkan di Malaysia, terutamanya di peringkat sekolah dan seboleh-bolehnya melibatkan semua pelajar. Guru-guru juga perlu diberi latihan untuk memudahkan ruang perdebatan dan meningkatkan kualiti perdebatan di sekolah.
Sementara itu, debat-debat politik serta kemahiran berhujah untuk meningkatkan tahap pemikiran kritikal juga perlu digalakkan kepada semua pelajar dari pelbagai jurusan di semua peringkat pengajian tinggi. Dengan adanya pendidikan tentang pemikiran kritikal yang lebih sistematik, generasi muda akan memperhalusi kritikan dan perdebatan mereka. Ia juga mungkin akan mengurangkan kritikan yang bersifat peribadi.
Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin perlulah bersikap lebih terbuka untuk menerima pandangan berbeza dan kritikan membina, bukannya menolak semua kritikan. Apa yang penting adalah, kita perlu sedar bahawa nilai kesopanan dan kritikan terhadap pemerintah bukanlah sesuatu yang bercanggah. Sebaliknya, kita percaya bahawa kritikan terhadap pemerintah boleh dilakukan dengan sopan dan membina.
Dr Choong Pui Yee adalah penyelidik kanan di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang sains politik dari Monash University, Malaysia.