Kesesakan jalan raya bukanlah sesuatu yang asing di Pulau Pinang. Setiap hari kenderaan seperti motosikal, kereta, bas, dan lori, berderetan hampir di setiap jalan raya di negeri ini. Tidak mengejutkan kalau kesesakan seperti ini bukan hanya terjadi pada waktu puncak sahaja, tetapi hampir setiap masa. Bayangkan, perjalanan dari titik A ke titik B yang sepatutnya mengambil masa sepuluh minit, boleh mencecah satu jam lamanya. Kadangkala saya tertanya-tanya dari manakah datangnya semua kenderaan ini?
Kesesakan jalan raya yang sudah menjadi pemandangan biasa ini jugalah yang menyebabkan ramai pengguna jalan raya lebih cenderung menggunakan motosikal untuk ke mana-mana. Kenapa motosikal menjadi pilihan? Jawapannya adalah motosikal mudah untuk menyelit di antara kenderaan, lebih cepat dan tidak perlu membuang masa di atas jalan raya dengan begitu lama. Saya sendiri memilih motosikal kerana terlalu rimas dan tidak mahu membuang masa kerana kesesakan yang tidak masuk akal.
Bagi saya, mengemudi motosikal di Pulau Pinang adalah suatu pengalaman yang agak menarik. Hampir setiap jalan utama di negeri ini bersebelahan atau tidak jauh dari pantai. Ketika memacu di waktu pagi, kita boleh juga menikmati pemandangan laut dengan Jambatan Pulau Pinang tampak samar-samar dibungkus kabus. Bayangkan, setelah seharian di tempat kerja, kita pulang sambil dihembus dengan dingin bayu laut. Letih seharian mencari rezeki pasti akan terubat.
Namun, rasa dan pengalaman mengemudi motosikal di Pulau Mutiara sudah pastinya bercampur-baur. Ada yang menyenangkan, dan ada juga yang menyakitkan. Sebagai penunggang motosikal model Kriss 110 yang setiap hari menyusuri jalan-jalan kecil dan besar di Pulau Pinang, saya menjadi lebih dekat dengan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh para penunggang motosikal. Antaranya adalah sikap tidak peka pengguna jalan raya—tidak kira apa jenis kenderaan sekalipun—dengan persekitaran mereka. Lebih malang, sikap ini selalunya menjadi igauan ngeri buat penunggang motosikal.
Mungkin masalah ini terjadi di mana-mana. Kita selalu sahaja bertembung dengan pemandu-pemandu yang liat untuk memberi isyarat ketika ingin membelok. Ramai pemandu yang masih tidak mengerti makna lampu kuning, merah, dan hijau. Malah, tidak sedikit pemandu kenderaan yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing ketika memandu sehingga mencetuskan pelanggaran. Sikap sebegini sesungguhnya telah banyak meragut nyawa manusia atau setidak-tidaknya menyebabkan kecacatan seumur hidup, khususnya kepada penunggang motosikal.
Biarpun hakikatnya penunggang motosikal banyak menggerakkan ekonomi kecil, mereka sering dipandang rendah ketika di jalan raya. Kita umumnya lebih memandang tinggi mereka yang berkereta besar. Malah, ada kalanya tanda kemajuan seseorang atau sesebuah negara itu diukur berdasarkan besar atau kecil dan banyak atau sedikit jumlah kenderaan peribadi.
Pada hari ini, menunggang motosikal—seperti mana berbasikal—di Pulau Pinang adalah suatu pilihan yang praktikal. Biarpun sering terdedah dengan hujan dan panas, pergerakan kita adalah lebih mudah berbanding menggunakan jenis kenderaan lain yang lebih besar. Namun demikian, saya merasakan bahawa kemudahan untuk pengguna motosikal di Malaysia amnya dan Pulau Pinang khususnya masih kurang. Kemudahan yang saya maksudkan adalah seperti hentian sementara dan laluan khas motosikal.
Cuaca hujan merupakan cabaran utama bagi pengguna motosikal. Jika hujannya renyai-renyai, baju hujan boleh menjadi penyelamat. Tetapi jika terlalu lebat, tidak dapat tidak penunggang motosikal perlu mengalah dan mencari tempat berteduh. Selalunya, stesen minyak, hentian bas, dan jejambat adalah lokasi utama untuk berteduh sebelum meneruskan perjalanan.
Namun, tempat-tempat berteduh seperti itu adalah berbahaya dan boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain. Kita pernah mendengar berita penunggang motosikal yang dirempuh oleh kenderaan lain ketika berteduh di bawah jejambat. Saya sendiri pernah dimarahi oleh seorang pemandu kereta ketika berteduh di sebuah stesen minyak kerana beliau tidak selesa dengan kehadiran ramai penunggang motosikal di situ.
Laluan khas untuk motosikal juga penting bagi pengguna motosikal di Pulau Pinang. Ketika ini, jumlah laluan khas motosikal di Pulau Pinang amatlah sedikit. Peningkatan jumlah kenderaan saban hari lebih mendedahkan penunggang motosikal kepada risiko kemalangan. Sekurang-kurangnya, laluan khas dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya pengguna motosikal.
Saya juga tidak menafikan ada penunggang motosikal yang bersikap kurang ajar dan berlagak seperti samseng jalanan. Ada yang menunggang secara melulu dan melawan arus sehingga mendatangkan mudarat kepada pengguna jalan raya yang lain. Lihat saja kes kemalangan yang melibatkan pelumba haram tempoh hari. Kenderaan lain yang berada di lokasi sama turut menerima kesan sedangkan mereka hanya melalui lokasi tersebut untuk ke destinasi mereka.
Malahan, ada juga yang menggunakan motosikal untuk melakukan aktiviti jenayah seperti jenayah ragut. Kesannya, kerajaan pernah mencadangkan larangan untuk pengguna motosikal memasuki kawasan bandar untuk mengurangkan kes ragut. Sudah pasti larangan sedemikian akan menyusahkan ramai pihak.
Mengemudi motosikal di Pulau Pinang pada saya memberi pengalaman yang berbeza berbanding tempat lain. Namun perbezaan ini bukanlah alasan untuk kita ego dan angkuh di atas jalan. Kita perlu ingat, jalan raya adalah milik bersama dan tanamkan sikap hormat dalam diri kita terhadap pengguna yang lain.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan dasar keselamatan.
Gambar oleh cottonbro @ pexels