Pulau Pinang terkenal sebagai tempat pertemuan pelbagai bangsa dan tempiasnya sering terlihat dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial masyarakat setempat. Salah satu warisan yang jarang dibincangkan ialah seni bela diri masyarakat tempatan. Antaranya ialah Silat Siku 12 ajaran Mamu Dada.
Nama sebenar beliau ialah Shaik Gulam Meah bin Shaik Ahmad Meah Mamu adalah perkataan dalam Bahasa Urdu yang bermaksud Datuk. Beliau berasal dari Kampung Herriot, Kelawai Pulau Pinang. Berkahwin dengan Che’ Puteh dan bekerja sebagai juruukur dengan Majlis Perbandaran (Majlis Bandaraya Pulau Pinang). Beliau tidak mempunyai anak dan meninggal pada usia muda iaitu 42 tahun. Beliau berketurunan hartawan Jawi Peranakan yang terkenal di Tanjung iaitu Sheikh Eusoff bin Sheikh Abdul Latiff yang satu harta wakafnya kini ialah Masjid Sheikh Eusoff.
Nama Siku 12 ini dipopularkan oleh seorang murid Mamu Dada iaitu Pak Mat Emden. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh anak-anak muridnya, nama rasmi permainan ini ialah Silat Pelaga Pulau Pinang atau Silat Petir. Pada peringkat awal, terdapat lebih kurang 10 orang murid utama, dan mereka kini sudah membawa jalan masing-masing. Selain Siku 12, permainan ini turut dikenali dengan nama Senaman Siku, Silat Pelaga, Silat Petir, Silat Kilat, dan Silat Halilintar. Menurut Mamu Dada, beliau menamakan silat ini sebagai Silat Pelaga seperti mana yang tercatat dalam buku beliau.
Walaupun begitu, telah masyhur di Semenanjung Tanah Melayu bahawa nama Siku 12 merujuk kepada permainan Silat Pelaga yang diasaskan oleh Mamu Dada. Pada tahun 1967, silat ini telah didaftarkan dengan nama Seni Silat Petir Negeri Pulau Pinang. Mamu Dada juga ada menulis buku rujukan tentang cara permainan Siku 12 yang merangkumi senaman dan maklumat perubatan seperti herba dan diet pemakanan yang berkhasiat.
Silat Siku 12 ini merupakan hasil kajian Mamu Dada setelah mempelajari lebih kurang 17 jenis bela diri nusantara dan antarabangsa seperti Silat Kuntau Melaka, Silat Terlak, Silat Sendeng (Minangkabau), Tinju (Western Boxing), Jiu Jitsu, Silat Salbom Tawgaw, dan lain-lain. Walaupun namanya Siku 12, tidak bermakna silat ini hanya menggunakan siku sebagai senjata badan utama. Seni mempertahankan diri ini menggunakan semua anggota tubuh badan termasuk tangan, kepala dan kaki dalam aspek menyerang dan bertahan. Menurut pengkaji dari Akademi Riadah Sakti (ARS), Nazmi Rawa, Siku 12 ini amat sesuai bagi pertempuran jarak dekat melibatkan seorang individu melawan ramai orang. Tambah beliau lagi, silat ini bukan setakat bermain di jarak dekat (close quarter combat), bahkan turut melibatkan permainan langkahan jarak jauh (sekitar satu depa) untuk menyerang musuh.
Silat ini tiada jampi serapah atau sebarang bacaan doa khusus. Mamu Dada amat menekankan senaman fizikal untuk mencapai kesempurnaan teknik dalam pertempuran. Dalam buku rujukan beliau, beliau memberikan maklumat lanjut tentang anatomi badan dan mengguna pakai istilah dalam Bahasa Inggeris. Beliau mengupas tentang penyakit dan penawarnya yang terbit dari kepala hingga ke kaki. Menurut Mohd Salleh Yahya, pengkaji bebas dan anak Pak Ya Botak yang merupakan salah seorang murid Mamu Dada, pernah terjadi beberapa kisah pergaduhan membabitkan Mamu Dada dengan beberapa orang di sekitar kawasan Tanjung. Antaranya ialah kes membabitkan seorang kaki gaduh bernama Hassan Sendo yang berdarah Boyan (Bawean) di Chinese Recreational Club (CRC). Hassan Sendo ditumbuk oleh Mamu Dada sehingga pengsan selepas Hassan Sendo mencabar beliau untuk menunjukkan kekuatannya. Mamu Dada selalu menghabiskan masa lapang di CRC untuk bermain besi dan melakukan senaman fizikal.
Selain itu, ada satu kisah pergaduhan juga yang disaksikan oleh ramai orang tempatan di Jalan Perlis. Penduduk tempatan memanggil lorong itu sebagai Lorong Gaharu kerana masyarakat Cina yang tinggal di lorong berkenaan menjemur Gaharu di situ. Seorang wanita yang ketakutan telah menyampaikan hasrat kepada Mamu Dada tentang seorang lelaki yang sering mengganggunya iaitu Che Leh Kudung. Che Leh Kudung merupakan seorang yang ditakuti di kawasan berkenaan. Setelah berlaku sedikit perang mulut, akhirnya Che Leh Kudung tumpas di tangan Mamu Dada sehingga pengsan.
Menurut salah seorang murid Mamu Dada, iaitu Pak Sahak Kastam, pada asalnya silat ini diberi keutamaan kepada “Anak-anak Pulau Pinang,” tetapi kemudiannya berkembang ke Pulau Langkawi, dan juga beberapa bahagian di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2012, bagi mengenang jasa Mamu Dada dalam membangunkan seni mempertahankan diri Pulau Pinang, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia telah menganugerahkan “Anugerah Pendekar Negeri Pulau Pinang” kepada ‘Shaik Gulam Meah bin Shaik Ahmad Meah—pencetus, pengasas, pembina seni Silat Pelaga dan Silat Petir Melayu Pulau Pinang.
Kini, aliran siku 12 telah berkembang dengan pesat ke hampir seluruh kawasan dalam Pulau Pinang dan luar negeri. Silat ini diajarkan oleh para murid kepada empat orang penggerak iaitu Pak Mad “Emden” (Ahmad bin Osman), Pak Hashim “Kerbau” (Hashim bin Yahaya), Pak Ya “Botak” (Yahya b. Salleh) dan juga Pak Sahak “Kastam” (Ishak Rahmansah). Seni permainan ini terus dilatih dan diajarkan kepada Anak-Anak Pulau Pinang saban malam kerana itulah amanat Mamu Dada.
Muhammad Amirul Naim Rosmi merupakan Eksekutif Pengedaran di Penang Institut. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Kemanusiaan dengan pengkhususan Sejarah dan Tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa.