ORANG RAMAI cemas kerana kecerdasan buatan (AI) mengambil alih pekerjaan manusia tidak lama lagi, merampas peluang-peluang yang ada memungkinkan mereka kehilangan kerja. AI telahpun memasuki setiap bahagian kehidupan kita—lihatlah Siri, Google Translate, Waze dan juga video-video viral yang sangat ‘menagihkan’ di media sosial. Terdapat alatan AI untuk menulis karangan, mencipta formula Excel, melukis dan mereka bentuk, serta menyunting audio—dan ini hanyalah titik permulaan.
Kecerdasan Buatan AI sudah menjadi perbualan biasa di tempat kerja sekarang, tetapi adakah kita sedar bagaimana AI akan memberi kesan kepada anak-anak kita? Bolehkah AI memainkan peranan di sekolah kita?
AI dalam Bilik Darjah
Saya berpeluang menemu bual Sathisha Goonasakaran, Penyelaras STEAM Sekolah Antarabangsa Tenby, untuk mengetahui cara sekolah mereka menggunakan AI di sekolah. Baru-baru ini, dia berjaya disenaraikan di dalam senarai 10 pemimpin berpengaruh EdTech terbaik untuk Bett Asia pada 2023.
“Guru menghabiskan banyak masa merancang dan mencari sumber mengajar untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik dan mengikut peredaran semasa. Proses pengajaran dan pembelajaran kini semakin mencabar. Dengan Kecerdasan Buatan (AI), guru-guru boleh memberi tumpuan kepada pengajaran yang lebih tertumpu dan selaras dengan keperluan semasa, meningkatkan prestasi pengurusan bilik darjah mereka dan meneroka pelbagai strategi pengajaran,” kongsi Sathisha.
Guru-guru di Sekolah Antarabangsa Tenby Pulau Pinang telah merintis penggunaan alatan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mencipta pelan pengajaran dan meneroka idea secara kolaboratif untuk aktiviti bilik darjah. Dengan menggunakan pelbagai alatan, sekolah boleh mengetahui cara paling efektif untuk pengaplikasian AI, membawa kepada pembangunan dasar AI untuk dilaksanakan di sekolah.
Contoh alat Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang diuji ialah Midjourney, AI generatif yang boleh menukarkan teks kepada imej untuk memudahkan penulisan kreatif. Dengan Midjourney, pelajar boleh menggambarkan sesuatu persekitaran dengan menggunakan tulisan yang ringkas. “Alat AI boleh digunakan untuk meneroka unsur artistik sesebuah novel, seperti imej yang jelas, simbolisme dan gaya naratif. Kemudian, pelajar boleh berlatih mentafsir cerita secara visual dan mencuba teknik penceritaan digital,” kata pendidik Kesusasteraan Inggeris, Aimee Collin.
Sementara itu, Gomathi Harikrishnan, seorang guru Bahasa Inggeris menggunakan ChatGPT, Bing AI dan Magic School AI. Beliau menyatakan, “Saya menggunakan peralatan AI untuk membuat pelan pengajaran lebih bertumpu dengan mencipta bahan pengajaran yang menarik. Ia menjimatkan masa memudahkan saya memberi lebih tumpuan kepada keperluan individu pelajar.”
Bagi pelajar pula, maklum balas segera yang mereka peroleh tentang hasil kerja mereka membuktikan bahawa kerja mereka sentiasa boleh diperbaiki. Mereka juga berasa lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran kerana mereka boleh mengakses daripada pelbagai sumber dan bukan bergantung sepenuhnya kepada guru. Mereka juga dapat memahami cara menggunakan alatan AI yang terkini. Jika penggabungan Kecerdasan Buatan (AI) wujud dalam setiap bahagian kehidupan untuk masa depan, mengapa tidak membiarkan saja pelajar meneroka dahulu dalam persekitaran terkawal?
Mewujudkan Literasi AI
Sesetengah ibu bapa mungkin berpendapat, “Jika anak saya hanya belajar dari komputer, mengapa saya perlu menghantar mereka ke sekolah?” atau “Adakah pemikiran kognitif anak saya tercabar kerana terlalu bergantung kepada AI?”
Kita perlu melihat hal ini dari sudut yang berbeza. AI menyimpan banyak maklumat, dan pelajar tidak perlu bersusah payah menghafal banyak maklumat. Sebaliknya, pelajar perlu memiliki kemahiran menggunakan peralatan AI untuk kepentingan mereka sendiri.
Walaupun AI boleh menggunakan, merumuskan dan menganalisa cebisan maklumat berbilion kali lebih pantas daripada kita, ini tidak bermakna ia sentiasa benar atau tepat. Ini dikenali sebagai “halusinasi”, dan ia adalah salah satu kelemahan utama AI. Ia boleh menghasilkan “balderdash” dengan membuat rekod sejarah dan memetik buku dan jurnal yang tidak wujud.
Ada juga wujud isu berat sebelah. AI boleh menghasilkan data dan maklumat yang lebih cenderung kepada sesuatu pihak; berdasarkan kepada maklumat yang diberikan kepadanya. Sebagai contoh, Amazon, sebuah gergasi e-dagang, berhenti menggunakan algoritma yang dikuasakan AI untuk mencari calon pekerja apabila mereka menyedari bahawa AI memihak kepada pemohon lelaki yang menggunakan perkataan seperti “melaksanakan” (executed) dan “merakam” (captured) dalam resume mereka.
Kemahiran STEAM untuk melengkapkan alatan AI
Menyahut cabaran teknologi digital, Tenby bersiap sedia ke hadapan melaksanakan AI dalam pelajaran mereka., untuk memastikan guru dan pelajar mereka tidak ketinggalan dalam melengkapkan visi pengembangan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar hari ini perlu berfikir secara kritis dan menilai maklumat yang mereka perolehi daripada AI. Soalan seperti “Adakah ini benar?” “Adakah ini beretika?” “Bagaimana hal ini berlaku kepada saya?” “Bagaimanakah hal ini memberi kesan kepada masyarakat?” adalah contoh soalan-soalan yang digalakkan oleh guru supaya pelajar mereka rajin bertanya.
“STEAM menyediakan platform untuk pelajar mempergunakan pembelajaran mereka, memikirkannya dengan lebih mendalam dan menggunakan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar,” kata Sathisha. “Cara persekolahan tradisional terlalu tertumpu kepada hasil. Dengan pembelajaran STEAM, tumpuan beralih kepada perjalanan pembelajaran pelajar dan cara mereka mencapai hasilnya. Ini dilakukan dengan merakam proses pemikiran dan keupayaan mereka untuk menggunakan pelbagai kemahiran.
STEAM menyatupadukan pemikiran komputasi, pemikiran reka bentuk kejuruteraan dan model pembelajaran berasaskan inkuiri untuk mendalami pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah. Dengan wujudnya model sebegini, AI boleh menjadi rakan pembelajaran.
AI boleh menyelesaikan kerja sekolah pelajar dengan lebih baik, tetapi ia tidak boleh menyampaikan maklumat tentang proses pembelajaran mereka.
Masa Depan Dengan AI
Daripada menghadkan penggunaan AI, Sathisha menggalakkan sekolah untuk menggunakannya—atas nama pembinaan kapasiti. Guru-guru sememangnya dibebani pelbagai tugas selain mengajar, tetapi apabila dilakukan dengan betul, Kecerdasan Buatan (AI) mempercepatkan proses kerja mereka. Satisha berpendapat pemimpin teknologi di sekolah perlu mewujudkan satu kumpulan sokongan untuk guru di mana mereka dapat bertukar-tukar maklumat dan pengalaman, membantu antara satu sama lain.
Semasa merancang pembelajaran Bahasa Inggeris, Dharshini Ganassegran menggunakan platform AI, penting dalam pertumbuhan peribadinya, menawarkan pandangan berharga kepada dirinya tentang teknik pengajaran inovatif. Antara cabaran penting ialah untuk sentiasa mempersiapkan diri mempelajari peralatan AI yang sentiasa berkembang.
Bagi ibu bapa yang meragui, guru Bahasa Melayu, Meighala Krishnan mengesyorkan supaya ibu bapa menghadiri acara sekolah yang mempamerkan menfaat pembelajaran STEAM dan AI untuk memupuk rasa ingin tahu dan sifat meneroka dalam diri anak-anak. Dengan itu, ia akan jadi lebih jelas kepada mereka bahawa lebih cepat anak-anak mereka belajar cara menggunakan AI, lebih banyak mereka akan tahu tentang cara menggunakannya secara produktif.
AI berkembang dengan pesat, dan akan kekal begini untuk jangka masa yang panjang. Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Corp, menyatakan bahawa, pada masa hadapan, mereka yang tidak mempunyai kepakaran AI akan ketinggalan. Persoalannya sekarang: Adakah anda dan anak-anak anda bersedia untuk ikut serta, menyokong perubahan arus teknologi, menerima kehadiran AI dalam kehidupan ini?
Terjemahan daripada artikel AI-Empowered Schools: Happier Teachers, Better Learner? Penang Monthly, 2024 March Issue. 50-51.
Samantha Khoo merupakan seorang blogger sejak zaman remaja lagi. Beliau minat menulis selain mengembara jauh ke seluruh perusuk negara, memilih untuk menginap di cottage bersama secawan kopi, dakwat, dan kertas.