Sejarah adalah penting dalam memahami individu, institusi, mahupun masyarakat. Ia menjadi asas bagi sebarang wacana dan tadbir urus awam. Namun, apabila sejarah diambil kira dalam penggubalan dasar, ia akan menimbulkan persoalan, iaitu “Sejarah siapa?” dan “Sejarah mana?” sehingga sering membawa kepada perdebatan yang memecah belah dan tidak produktif. Tidak seperti bidang sains sosial yang lain, sejarah kurang digunakan sebagai alat konsepsual dalam menggubal dasar. Sebagai contoh, ahli ekonomi mempengaruhi dasar melalui konsep-konsep seperti rasionaliti, minat peribadi, analisis kos-faedah, game theory, dan homo-economicus, tetapi penaakulan sejarah tidak disepadukan secara meluas.
Tulisan ini mengenal pasti lima alat konsepsual yang dikemukakan oleh ahli sejarah seperti Alix R. Green (2016) yang boleh menambah baik pembuatan dasar: (i) Mencorak Masa, (ii) Pemetaan Kontekstual, (iii) Analisis Perhubungan, (iv) Mengintegrasikan Pelbagai Bukti, dan (v) Penglibatan Pihak Berkepentingan sebagai Penggubal Dasar.
Semua alat konsepsual ini mengalihkan tumpuan daripada “bahan” sejarah—yang selalunya akan mencetuskan persoalan “sejarah siapa?,” “sejarah mana?”, atau juga “kenapa sejarah?”—kepada “bagaimana menerapkan sejarah ke dalam pelbagai bidang kehidupan selain bidang akademik semata-mata? Atau lebih khusus, bagaimana sejarah boleh diserapkan ke dalam penggubalan dasar untuk menjadikan ia lebih berkesan dan bermanfaat kepada masyarakat?
Mencorak Masa
Sejarawan melibatkan diri dengan masa dan mentafsir semula masa lalu untuk memahami kesannya terhadap hari ini dan masa depan. Kaedah yang dikenali sebagai “mencorak masa” ini membantu penggubal dasar mengatasi pemikiran jangka pendek dengan mengenal pasti arah aliran dan pengajaran jangka panjang.
Richard Neustadt dan Ernest May dalam buku Thinking in Time: The Uses of History for Decision-Makers (1986), menerangkan bahawa sejarah atau masa membantu dalam:
• Mengenal pasti naratif berdasarkan perbezaan fakta, ketidakpastian, dan andaian yang diketahui.
• Memetakan garis masa, arah aliran dan peristiwa penting dalam isu dasar.
• Menyedari percanggahan (hakiki dan yang berpotensi) antara pelbagai pendekatan dasar.
• Memastikan kejelasan dalam objektif dasar dan hasil masa depan yang diinginkan.
• Meramalkan perubahan dan bersedia dengan perubahan dalam konteks dasar.
• Mengintegrasikan pelbagai bentuk dan bahan bukti untuk mewujudkan pendekatan dasar yang menyeluruh.
Dengan menggunakan corak sejarah, pembuat dasar boleh meningkatkan pandangan jauh dan membuat keputusan termaklum berdasarkan perkembangan dan kesan jangka panjang, bukannya bertindak balas terhadap tekanan.
Pemetaan Kontekstual
Sejarawan melihat konteks bukan hanya sebagai latar belakang, tetapi sebagai sesuatu alat kritikal untuk memahami sesuatu peristiwa. Pemetaan kontekstual merupakan alat metodologi yang mewakili perhubungan, interaksi, tingkah laku dan pengaruh yang membentuk isu dasar secara visual. Pendekatan ini membolehkan pembuat dasar untuk:
• Memahami ekosistem institusi dan awam sesuatu dasar.
• Mengenal pasti pihak berkepentingan utama, termasuk sekutu dan pengkritik, dan menilai pengaruh mereka.
• Mengenali sebarang perubahan dalam persekitaran dasar.
• Terlibat dalam perancangan berasaskan senario untuk meneroka hasil dasar alternatif.
Kees van der Heijden (2005) dalam bukunya The Art of Strategic Conversation mempopularkan perancangan berasaskan senario, iaitu teknik yang membolehkan pembuat dasar membayangkan masa hadapan yang berbeza sekaligus menyediakan dasar-dasar yang sewajarnya. Dengan mengguna pakai pemetaan kontekstual, pembuat dasar boleh memperoleh pemahaman tentang lanskap dasar dan menjangka cabaran dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Analisis Perhubungan
Sejarawan juga pakar dalam membandingkan, mengkontekstualisasikan dan menjelaskan perbezaan merentasi masa dan ruang. Kemahiran yang dipanggil sebagai analisis perhubungan ini membantu pembuat dasar melihat perkaitan antara pelbagai isu, dasar dan konteks sejarah. Jürgen Kocka (2003) menerangkan perbandingan sebagai alat paradigmatik yang menghalang pemikiran sempit dan menggalakkan perspektif yang lebih luas. Perbandingan sejarah memiliki tiga tujuan utama:
• Deskriptif: Menjelaskan persamaan dan perbezaan antara dasar.
• Heuristik: Mengenal pasti soalan dan cabaran baharu.
• Analitikal: Menentukan sebab-akibat dan hubungan antara peristiwa.
Walau bagaimanapun, sejarah sering disalahgunakan dalam perbahasan dasar, sehingga membawa kepada analogi yang mengelirukan dan persamaan palsu. Untuk mengelakkan perkara ini, penggubal dasar mesti melibatkan diri dalam penaakulan sejarah yang ketat untuk mewajarkan agenda politik. Dengan menggunakan analisis perhubungan, pembuat dasar boleh membangunkan perspektif yang lebih seimbang dan berasaskan bukti terhadap isu yang rumit.
Mengintegrasikan pelbagai bukti
Ahli sejarah dan pembuat dasar berurusan dengan sumber maklumat yang kompleks dan kadangkala bercanggah. Sumber-sumber maklumat ini boleh terdiri daripada bahan-bahan arkib, statistik, sehinggalah naratif peribadi dan pendapat pakar. Sejarawan menggunakan beberapa kaedah untuk mengemudi kerumitan ini, seperti:
• “Petikan” sebagai penglibatan. Selain daripada formaliti, amalan “memetik” satu bentuk penglibatan substantif dengan memperdalam imaginasi sejarah. Petikan memainkan peranan seperti jambatan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan. Bagaimanakah jambatan sedemikian dibina? Daripada apa? Apakah laluan alternatifnya?
• Semakan. Sejarawan bekerja dengan penelitian bersama pelbagai pihak berkepentingan. Pembuat dasar juga harus menerima proses semakan pelbagai hala untuk meningkatkan kredibiliti dasar.
Ketelusan dalam penggubalan dasar sering ditentang kerana tekanan politik. Walaupun begitu, penyepaduan kaedah sejarah ke dalam penggubalan dasar boleh menghalang sejarah yang “terpilih” daripada digunakan untuk tujuan manipulasi. Dengan mengintegrasikan pelbagai bukti, pembuat dasar boleh mencipta dasar yang lebih teguh dan berasas.
Penglibatan pihak berkepentingan sebagai penggubal dasar
Sejarawan menekankan penglibatan bersama masyarakat; memastikan sejarah bukan sekadar latihan akademik, tetapi alat praktikal bagi tadbir urus. Pendekatan berbentuk penyertaan ini adalah suatu kaedah dalam bidang antropologi dan sains sosial, iaitu subjek penyelidikan terlibat dalam membentuk proses penyelidikan.
Secara tradisinya, sarjana menjalankan penyelidikan secara terasing daripada orang ramai. Walau bagaimanapun, kaitan antara kedua-dua penyelidik dan penggubal dasar dalam konteks sosial, budaya dan politik membolehkan pendekatan yang lebih demokratik dan terangkum diwujudkan dalam membuat dasar. Penglibatan pihak berkepentingan yang berkesan melibatkan:
• Menghasilkan penyelesaian dan dasar dengan masyarakat yang terjejas secara bersama.
• Mengakui perspektif yang berbeza sambil menghalang sebarang pengaruh yang tidak wajar.
• Memupuk dialog berterusan dan membina konsensus dalam kalangan pihak berkepentingan.
Alix Green (2016) menekankan bahawa pendekatan ini dapat memastikan bahawa dasar mencerminkan keperluan masyarakat yang pelbagai dan bukannya melayani kepentingan politik sempit. Dengan melibatkan pihak berkepentingan sebagai pencipta bersama, pembuat dasar boleh mencipta dasar yang lebih terangkum, mampan dan disokong oleh masyarakat.
Walaupun kerjasama antara disiplin dalam penggubalan dasar bukanlah baru, sejarah masih kurang digunakan berbanding bidang seperti ekonomi. Kecenderungan untuk membahaskan “sejarah siapa yang betul” sering membayangi perbincangan mengenai metodologi sejarah dan nilainya dalam tadbir urus.
Pendekatan yang lebih produktif ialah memfokuskan kepada cara alat sejarah—seperti mencorakkan masa, pemetaan kontekstual, analisis perhubungan, penyepaduan bukti dan penglibatan pihak berkepentingan—boleh menambah baik penggubalan dasar. Pemikiran sejarah menawarkan cara yang sistematik untuk menganalisis perubahan, menilai risiko dan membangunkan dasar yang menyumbang kepada akibat jangka panjang. Akhirnya, menyepadukan metodologi sejarah ke dalam penggubalan dasar boleh membawa kepada tadbir urus yang lebih termaklum, telus dan terangkum.
Rujukan
1) Green, Alix R. 2016. History, Policy and Public Purpose: Historians and Historical Thinking in Government. London: Palgrave.
2) Jordanova, L. 2006. History in Practice, 2nd ed. London: Hodder Arnold.
3) Kocka, J. 2003. Comparison and Beyond. History and Theory, 42 (February 2003), 39-44.
4) Neustadt, Richard E. & Ernest R. May. 1986. Thinking in Time: the Uses of History for Decision Makers. New York: The Free Press.
5) Van der Heijden, K. 2005. Scenarios: The Art of Strategic Conversation, 2nd ed. Chichester: Wiley.
Fauwaz Abdul Aziz merupakan seorang Penyelidik Projek di Program Sejarah dan Serantau, Penang Institute.