Sejak akhir abad ke-18, Pulau Pinang muncul sebagai pelabuhan antarabangsa yang penting di pinggir Selat Melaka—sebuah titik pertemuan dunia maritim. Kapal-kapal dari China, India, Tanah Arab dan Eropah berlabuh di pesisirnya, membawa bukan sekadar barangan dagangan, tetapi juga bahasa, kepercayaan, cerita dan gagasan. Daripada pertembungan inilah terbit satu iklim sosial, budaya dan kecendekiaan yang rencam. Iklim ini membentuk George Town sebagai sebuah bandar kosmopolitan; kota yang hidup and berkembang melalui pertukaran manusia, budaya dan pemikiran merentas sempadan.
Kedudukan geografi Pulau Pinang yang strategik menjadikannya pintu masuk bukan sahaja kepada perdagangan, tetapi juga kepada pertukaran budaya dan idea di rantau Asia Tenggara. Sejak sebelum kedatangan British, Pulau Pinang dan Seberang Perai telah menjadi penempatan masyarakat Melayu daripada pelbagai latar tempatan dan serantau, serta terhubung dengan Acheh, Riau-Lingga, dan pedagang Bugis melalui perdagangan, perkahwinan diraja dan pergerakan ulama. Acheh, sebagai kuasa maritim pada abad ke-16 dan ke-17, memainkan peranan penting dalam membentuk jaringan perdagangan Islam di Selat Melaka[1], manakala Riau-Lingga muncul sebagai pusat kesusasteraan dan pemikiran Melayu pada abad ke-19.[2] Pedagang Bugis pula terkenal sebagai pelayar dan saudagar yang menguasai laluan perdagangan[3] dari Sulawesi hingga ke Semenanjung Tanah Melayu.
Komuniti migran turut memainkan peranan signifikan dalam pembentukan identiti kosmopolitan Pulau Pinang. Komuniti Jawi Peranakan, Hadhrami dan India Muslim, misalnya, membentuk kelas bandar yang celik ilmu serta aktif dalam wacana moden. Amalan perkahwinan campur antara pedagang luar dan masyarakat tempatan bukan sahaja mengekalkan kedudukan sosial komuniti ini, malah mempercepatkan proses asimilasi sosial dan melahirkan identiti kosmopolitan yang tersendiri.
Selain sebagai pusat perdagangan, Pulau Pinang berkembang sebagai pusat intelektual melalui pendidikan, percetakan dan kewartawanan Melayu. Sejak abad ke-19, jaringan perdagangan dari India dan Tanah Arab membawa masuk idea, ilmu serta wacana baharu. Pengenalan teknologi mesin cetak, satu-satunya teknologi yang memungkinkan penerbitan surat khabar mencetuskan budaya penulisan dan kewartawanan moden dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang. Kemunculan persuratkhabaran Melayu dapat dilihat melalui penerbitan akhbar terawal di Pulau Pinang, iaitu The Government Gazette (Warta Kerajaan) yang diterbitkan oleh A. J. Bone pada 1 Mac 1806, sebelum ditukar judulnya kepada Prince of Wales Island Government Gazette.[4]
Melalui perkembangan ini, Pulau Pinang berfungsi sebagai sebuah simpul bandar berbilang bangsa dengan budaya kosmopolitan yang tersendiri, berbeza daripada negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu. Industri penulisan dan percetakan inilah yang membezakan Pulau Pinang daripada pelabuhan lain di rantau ini kerana ia bukan sekadar pusat keluar masuk barangan, tetapi pusat keluar masuk idea.
Komuniti Jawi Peranakan, Hadhrami, dan masyarakat Rawa memainkan peranan utama dalam membangunkan percetakan dan persuratkhabaran Melayu. Menurut Ahmad Murad (2021), perkembangan ini menjadikan Pulau Pinang pusat penyebaran idea nasionalisme, reformisme Islam dan kesedaran intelektual Melayu pada awal abad ke-20. Wartawan, ulama dan pengusaha percetakan menggunakan teknologi cetak sebagai medium untuk merundingkan identiti dan masa depan masyarakat Melayu dalam konteks dunia moden. Bahasa Melayu ketika itu berfungsi sebagai lingua franca dalam debat dan wacana budaya, manakala ilmu, agama dan budaya berkembang seiring arus global.
Tradisi intelektual ini terus hidup sehingga hari ini. Pulau Pinang menjadi destinasi masyarakat dunia dengan pelancong, pengkaji, penulis, pelajar dan seniman dari pelbagai negara datang untuk menyertai ruang budaya dan pendidikan. Infrastruktur moden, galeri seni, kafe literasi, festival dan pusat komuniti menjadikan George Town titik pertemuan global yang menghubungkan sejarah maritim dengan dunia kontemporari. Kota ini bukan sahaja mengekalkan warisan peranakan, seni bina dan budaya lokal, tetapi juga menjadi ruang di mana idea, bahasa dan seni daripada pelbagai latar bertemu.
Bagi generasi muda, Pulau Pinang menyediakan akses kepada imaginasi serantau melalui aktiviti pendidikan, bengkel dan dialog kebudayaan. Kota ini menjadi tapak pembayangan masa depan Asia Tenggara yang inklusif dan berdaya saing, sambil mengekalkan hubungan dengan warisan sejarahnya. Pulau Pinang bukan sekadar pintu masuk geografi; ia adalah pintu masuk budaya, bahasa, sejarah dan idea yang membolehkan masyarakat tempatan dan antarabangsa bertemu dan bertukar pemikiran.
Hari ini, Pulau Pinang terus menegaskan peranannya sebagai kota dunia. Sejarahnya sebagai pusat perdagangan dan percetakan Melayu meletakkan asas bagi identiti kosmopolitan yang terus berkembang. Maka tidak hairanlah, jika George Town, Pulau Pinang, telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 kerana keunikan seni bina dan kepelbagaian budaya yang wujud selama lebih 500 tahun. Kota ini mengingatkan kita bahawa kosmopolitanisme bukan kehilangan identiti, tetapi perayaan terhadap kepelbagaian sejarah, budaya, dan intelektual. Pulau Pinang, melalui tradisi dan kegiatan intelektualnya, kekal sebagai pintu masuk serantau, iaitu sebagai sebuah kota yang sentiasa terbuka kepada dunia, and dunia yang sentiasa kembali ke sini melalui cerita, bahasa dan idea.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Nota kaki
[1] Yasir Maulana, R. (2021). Aceh dan perdagangan di Selat Melaka. Historia: Jurnal Program Studi Pendidikan Sejarah Vol 6(2). 94-101. ↩︎
[2] Hashim M., & Rozita C.R. (2017). Raja Ali Haji: Cendekiawan ulung dan pemikir besar merentas zaman. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman). 5(2),13 – 28. ↩︎
[3] Uqbah, I., Nordin, H., & Ahmad Ali, S. (2015). Sejarah perkembangan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu dan sifat ekonomi masyarakat Melayu era pra- colonial. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman). 3(2)95 – 119. ↩︎
[4] Ahmad Murad, M. (2021). Pencorakan Kepulauan Melayu dan Pulau Pinang oleh Kaum Jawi Peranakan dan Hadhrami melalui kewartawanan dan persuratkhabaran sebelum 1942: Satu tafsiran semula penulisan W. R. Roff. Jld. 23, Bil. 2, 39−52. Vol. 23 (2). ↩︎




