Apabila aku menerima mesej daripada WhatsApp group Father Barre’s Convent Sungai Petani yang bertanyakan tentang kesediaanku untuk bertemu santai pada hujung minggu, aku mengambil keputusan untuk bertindak balas secara positif. Yang penting, rakan-rakanku seperti Muna, Zurina, dan Balkis dapat hadir dan berjumpa untuk mengeratkan semula ikatan silaturrahim. Kali terakhir aku bertemu mereka adalah ketika aku masih di sekolah menengah. Aku begitu teruja dengan peluang menyambung semula ikatan persahabatan kami.
Kata reunion barangkali kurang sesuai kerana kami tidak membuat perancangan rapi. Rancangannya santai sahaja, tidak perlu bersusah-payah bertemu di hotel atau kafe yang glamour. Restoran mamak sudah memadai; ingin makan apa, tengok sahaja menu, kemudian pesan makanan yang ingin dijamah. Pilihan ini sebenarnya lebih menjimatkan kerana perjumpaan di hotel kadangkala bukannya khusus untuk menjamu selera, tetapi lebih kepada bertemu dan berbual dengan rakan-rakan lama. Kami berempat sepakat untuk bertemu di sebuah restoran. Apabila berjumpa, masing-masing berpelukan kerana hampir tiga dekad tidak bersua muka. Berhubung semula dengan rakan-rakan lama memberikanku peluang untuk mengenang kembali pengalaman sewaktu di alam remaja, kisah-kisah lucu sepanjang belajar di sekolah yang sama dan cabaran-cabaran yang telah dilalui bersama.
Betapa indahnya perasaan apabila sekali-sekala merenung kembali nostalgia semasa di alam persekolahan, dan melihat perkembangan dan perubahan yang telah kami lalui sejak waktu itu. Sayang sekali, tidak semua 43 orang rakan yang ada dalam Whatsapp group kami dapat bersua kerana masing-masing sibuk dan tinggal berjauhan. Selesai sarapan pagi, kami bergerak menaiki kereta kongsi ke Taman Rempah Tropika (Tropical Spice Garden), sebuah taman yang terletak di Teluk Bahang, menghadap Selat Melaka.
Kami belum pernah sampai ke sana. Sebaik tiba, kami berempat mendaftar, kemudian diberikan penerangan oleh staf yang bertugas tentang tempat perlindungan hijau yang begitu menyembuhkan minda dan peta jalan sebagai panduan. Seronoknya, bagi pencinta alam seperti kami, apabila memijak sahaja kaki, kami terlihat sebuah muzium biodiversiti—spesies herba, rempah ratus, dan tumbuhan tropika yang begitu menakjubkan mengukir sejarah tinggalan nenek moyang.
Landskap taman seluas lima ekar itu menyimpan khazanah lebih daripada 500 spesimen hidup flora yang subur dan eksotik dari seluruh dunia. Lawatan berpandu juga disediakan. Walau bagaimanapun, perkongsian penerokaan secara bersama lebih menarik jika dapat bersama-sama melihat peta dan mencari sendiri arah yang perlu dilalui dahulu, baik laluan bukit yang beralun dan teres hutan, atau denai dan laluan yang berliku-liku.
Menariknya di pertengahan perjalanan, sempat juga kami berhenti seketika lalu meneguk teh herba serai dengan haruman pandan yang percuma di pondok persinggahan. Aku dan Zurina duduk berehat di sebuah kerusi batu, manakala Muna dan Balkis merendam kaki ke dalam air terjun yang mengalir. Sekali-sekala mereka menjerit geli apabila kaki mereka dihinggapi ikan-ikan kecil, sambil menikmati keindahan tumbuhan menghijau dan bunyi kicauan burung berteman aliran air terjun semula jadi.
Kata Muna, “Kita minta bantuan ikan-ikan ni makan sel-sel kulit mati di kaki kita”. “Tau dak, terapi ikan-ikan kecil ni banyak manfaatnya—bantu atasi masalah psoriasis. Kulit kita juga jadi lebih lembut, melancarkan pengaliran darah, dan mengurangkan tekanan” sahut Balkis. Jauh dalam mindaku, aku berfikir, tidak rugi pun kami bertemu di Taman Rempah Tropika yang terkenal dengan gelaran Asia’s Hidden Eden kerana peluang ini menghidupkan semula hubungan lama kami yang terpisah. Pengalaman itu juga memupuk semula minat bersama sehingga membawa kepada pembangunan persahabatan yang baharu.
Walaupun kami sudah berubah dan mengambil haluan masing-masing, apabila diimbas semula cerita lama, jelas perbezaan itu langsung tidak terasa. Sebaliknya, kegembiraan jelas terpancar dengan lawak jenaka dan gurau senda yang secara tidak langsung menyokong dan mengukuhkan kehidupan sosial kami. Hal ini lebih-lebih lagi orang seperti kami yang sebahagiannya masih berkerjaya dan ada yang telah bersara. Menguruskan keluarga tiada dalam agenda kami kerana anak-anak kami telah dewasa dan memiliki kehidupan sendiri.
Perjumpaan semula ini merupakan peluang untuk berseronok, menikmati pergaulan, menghidupkan kembali persahabatan yang wujud semasa zaman sekolah menengah. Tidak salah untuk melepaskan perasaan jika itu membuatkan jiwa kita berasa tenang. Pertemuan semula dengan rakan-rakanku selepas hampir tiga dekad menjadi pengalaman yang amat bermanfaat buatku. Ia menawarkan peluang untuk aku merenung, berhubung semula, mencipta kenangan yang berkekalan.
Dr. Rahida Aini merupakan lulusan Ph.D dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.