Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pasangan memilih gaya hidup perkahwinan “bebas anak.” Istilah “bebas anak” ini merujuk kepada individu dewasa atau pasangan yang merancang atau bertekad untuk tidak memiliki anak.
Pilihan mereka itu mungkin dipengaruhi oleh pemikiran Barat yang berprinsipkan kebebasan dalam kehidupan. Mungkin juga kesibukan bekerja dan ketidaksediaan memikul tanggungjawab menjaga dan mendidik anak. Tumpuan mereka lebih kepada pentingnya mempertingkatkan diri di alam pekerjaan, memenuhi hobi-hobi lain seperti melancong, menunggang motosikal berkuasa tinggi, dan sebagainya. Mereka juga berpendapat bahawa kehadiran anak akan menyebabkan mereka tidak dapat memberikan keutamaan sepenuhnya kepada emosi diri dan pasangan.
Bagi pasangan muda yang baru berkahwin pula, sebahagian daripada mereka yang memilih untuk tidak memiliki anak mungkin disebabkan beberapa faktor. Misalnya, mereka ingin memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan diri dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka. Ada juga yang memilih untuk hidup berumah tangga tanpa anak kerana faktor kos, misalnya sara hidup, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak yang semakin tinggi.
Apabila pasangan memilih untuk bebas anak, keputusan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada struktur demografi negara. Salah satu impak yang paling ketara ialah potensi penurunan populasi. Menurut Perangkaan Demografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kelahiran bayi negara menurun sebanyak 10.2 peratus kepada 100,732 pada suku kedua 2024, berbanding 112,197 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun lepas.[1] Manakala, jumlah penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas akan meningkat daripada 11.1% kepada 15% menjelang 2030.[2]
Bayangkan kesannya kepada negara jika ramai pasangan memilih untuk hidup tanpa anak. Kadar kelahiran akan menurun dan boleh menyebabkan populasi penduduk berkurangan. Hal ini boleh menyebabkan negara berdepan dengan cabaran lain; masyarakat menua bertambah dan kumpulan pekerja yang terdiri dari golongan muda menjadi lebih kecil. Apabila bilangan golongan belia berkurangan, bilangan warga tua yang semakin meningkat akan menghasilkan nisbah pergantungan yang lebih tinggi.
Antara implikasi lain ialah ia akan menimbulkan tekanan kepada penduduk usia bekerja yang perlu menyokong bilangan pesara yang semakin meningkat. Ini akan memberi impak kepada sistem kesihatan negara dengan kos penjagaan kesihatan warga emas mungkin dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kos penjagaan golongan yang lebih muda.
Dari segi ekonomi, populasi yang semakin berkurangan mungkin menyebabkan kekurangan tenaga kerja dan membantutkan kemajuan ekonomi. Dengan lebih sedikit individu yang memasuki tenaga kerja, industri mungkin bergelut untuk mendapatkan tenaga kerja dari negara luar yang diperlukan untuk mengekalkan operasi, sekaligus mengurangkan produktiviti dan inovasi. Walau bagaimanapun, apabila firma mencari cara untuk mengimbangi tenaga kerja yang berkurangan, penggunaan automasi dan penambahbaikan teknologi mungkin dipercepatkan. Trend “perkahwinan bebas anak” juga boleh mempengaruhi tingkah laku pengguna, menyebabkan permintaan yang lebih rendah untuk barangan dan perkhidmatan berkaitan kanak-kanak seperti pendidikan, penjagaan kanak-kanak dan barang mainan. Aliran ini boleh memberi kesan yang besar kepada sektor yang banyak bergantung pada perbelanjaan keluarga.
Dari segi sosial, gaya hidup perkahwinan tanpa anak boleh membawa kepada perubahan budaya dalam cara masyarakat memandang struktur keluarga. Norma tradisional yang sering menekankan aspek pemilikan anak sebagai sebahagian daripada kehidupan, akan berkembang menjadi antara pilihan gaya hidup. Apabila penerimaan terhadap kehidupan bebas anak berkembang, ia berpotensi untuk mengubah suai jangkaan masyarakat dan menghapuskan stigma berkaitan dengan pilihan ini.
Pada masa yang sama ia juga akan menyebabkan berlakunya krisis pertumbuhan populasi, ke arah pembentukan masyarakat tua yang sudah tentu memerlukan sistem sokongan sosial seperti penjagaan geriatrik. Dalam banyak budaya, generasi muda biasanya mengambil alih tugas menjaga ibu bapa mereka yang semakin tua, tetapi apabila semakin sedikit orang yang mempunyai anak, permintaan untuk penjagaan warga tua berasaskan masyarakat mungkin meningkat.
Dari perspektif Islam, gaya hidup tanpa keinginan memiliki anak langsung bukanlah suatu bentuk bebanan, sebaliknya ia adalah suatu anugerah kerana ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. Perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama dalam urusan memiliki anak bila pasangan itu dapat memelihara dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Namun apa yang terjadi sejak kebelakangan ini, persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak juga menjadi pilihan bagi sesetengah pasangan Muslim. Kebimbangan konsep hidup yang menular dalam kalangan masyarakat Islam lantaran kesan jangka masa panjang akan mengubah struktur masyarakat Islam setempat yang turut memberi impak kepada populasi masyarakat ini secara global.
Sebagai tindak balas, kerajaan perlu mempertimbangkan semula pendekatan dasar. Sesetengah negara mungkin memperkenalkan dasar pro-natalis seperti insentif untuk menggalakkan melahirkan anak, seperti pengecualian cukai, cuti ibu bapa dan sokongan penjagaan anak, untuk mengatasi penurunan kadar kelahiran. Sebagai alternatif, negara yang menghadapi kekurangan buruh mungkin menerima pakai dasar imigresen yang lebih terbuka untuk menarik individu yang lebih muda, umur bekerja untuk membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengimbangi struktur penduduk. Peralihan dasar ini akan menjadi penting untuk menangani cabaran dan peluang yang timbul daripada populasi bebas anak yang semakin meningkat.
[1] Kadar kelahiran di Malaysia menurun. Suara Sarawak. https://suarasarawak.my/kadar-kelahiran-di-malaysia-menurun
[2] Kementerian Kesihatan Malaysia. Kertas Putih Kesihatan https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/6211
Dr. Rahida Aini merupakan lulusan Ph.D dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.