Kerajaan yang adil, inklusif dan demokratik adalah kerajaan yang mencerminkan suara dan perspektif semua lapisan penduduk dan masyarakat. Maka, isu perwakilan yang saksama adalah penting untuk memastikan keadilan dan keterangkuman dalam proses membuat keputusan dalam kerajaan.
Kesaksamaan jantina adalah hak asasi manusia yang asas dan sejagat, dan ini termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia. Jaminan keseimbangan jantina dalam politik bukan sahaja menunjukkan pematuhan terhadap perlembagaan, tetapi juga sebagai komitmen kepada prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan , di mana kedua-dua individu lelaki dan wanita berhak untuk mempunyai suara yang sama dan setara dalam pembentukan keputusan yang mempengaruhi kesemua lapisan masyarakat.
Di Malaysia, wanita mewakili hampir separuh dari populasi iaitu sebanyak 48.2 peratus daripada jumlah penduduk, namun suara mereka masih kurang diwakili dalam badan perundangan dan eksekutif. Pada pilihan raya yang lepas, hanya 13.4 peratus ahli parlimen terdiri daripada wanita, manakala peratusan wanita sebagai ahli Dewan Undangan Negeri malah lebih rendah lagi, iaitu hanya sebanyak 13 peratus. Selain itu, jumlah wanita yang memegang jawatan menteri di peringkat persekutuan hanya 17.9 peratus, sementara peratusan wanita dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) makin rendah, iaitu 13 peratus. Negeri Sembilan yang mempunyai peratusan ahli EXCO wanita yang tertinggi dalam Malaysia iaitu sebanyak 27 peratus. Jelas bahawa Malaysia masih jauh dari pencapaian perwakilan minima 30 peratus wanita dalam arena politik.
Apakah halangan untuk wanita Malaysia menyertai bidang politik? Pertama, norma budaya dan sosial yang sering mengehadkan peranan mereka kepada tanggungjawab keluarga dan domestik. Tambahan pula, beban berganda untuk mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya menjadi satu lagi sekatan. Kedua, cabaran seperti diskriminasi berasaskan jantina, kekurangan sokongan kewangan dan sumber, serta akses yang terhad kepada rangkaian politik menjadikan persaingan dengan kaum lelaki dalam arena politik semakin sukar. Stereotaip jantina dan kekurangan sokongan struktur (structural support) dalam parti politik turut menyukarkan keadaan, mengakibatkan wanita lebih jarang dipertimbangkan sebagai calon dalam pilihan raya.
Mengapakah perwakilan wanita dalam bidang politik dan kerajaan penting?
Sebagai salah satu negara yang menandatangani Deklarasi Beijing (BPFA), Malaysia telah memberikan komitmen untuk memastikan penyertaan wanita yang adil sebagai pembuat keputusan, termasuk dalam kerajaan, ekonomi dan pelbagai bidang, sebagai langkah ke arah kesaksamaan jantina. Selaras dengan itu, BPFA turut menegaskan bahawa wanita mesti diberikan peluang yang setara dengan lelaki dalam kelayakan untuk bertanding di semua badan awam yang dipilih secara demokratik, dalam arena kehidupan awam dan politik sesebuah negara.
Selain Deklarasi Beijing, Malaysia juga menandatangani Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang menyatakan bahawa wanita harus diberikan peluang yang saksama dalam penyertaan politik. CEDAW turut menyatakan bahawa jumlah kritikal (“critical mass”) penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30% hingga 35% adalah penting untuk menghasilkan impak yang berkekalan dalam pembentukan dasar serta pembuatan keputusan politik. Tanpa perwakilan dan penyertaan wanita yang setara dalam arena politik dan kerajaan, pembentukan dasar-dasar kemungkinan berisiko besar akan mengabaikan pengalaman dan keperluan separuh daripada populasi, dan ini akan merupakan halangan terhadap pembentukan masyarakat yang adil dan saksama.
Mengapakah suara wanita dalam politik dan kerajaan penting?
Kehidupan wanita dibentuk oleh pengalaman yang amat berbeza berbanding lelaki, disebabkan mereka mengharungi jangkaan dan cabaran sosial, budaya, dan ekonomi yang unik. Sebagai contoh, wanita sering menghadapi cabaran-cabaran seperti gaji yang tidak setara, keganasan berasaskan jantina, akses jagaan kanak-kanak, beban berganda untuk mengimbangi kerja dan tanggungjawab rumah tangga . Hal –hal serupa ini mungkin tidak dialami lelaki pada tahap yang sama. Pengalaman-pengalaman yang berbeza ini sangat penting dalam pembentukan dasar, dan penyertaan wanita dalam politik memastikan isu-isu ini bukan sahaja diiktiraf, tetapi juga ditangani di peringkat tertinggi kerajaan. Ahli politik wanita juga nampak lebih berkesan (berbanding dengan lelaki) dalam mengetengahkan isu-isu ini. Ini akan membantu pembentukan dasar-dasar kerajaan yang lebih komprehensif dan inovatif.
Selain itu, ahli politik wanita juga dinampakkan lebih cenderung memperjuangkan penguatkuasaan yang lebih kukuh terhadap komitmen hak wanita, dengan penekanan terhadap perwakilan suara masyarakat dan kebertanggungjawaban kerajaan. Penyertaan wanita akan dapat menghasilkan tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab, yang seterusnya akan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap institusi politik.
Tambahan, satu kesan yang ketara daripada peningkatan perwakilan wanita dalam politik ialah keupayaannya untuk menggalakkan penglibatan sivik dan politik dalam kalangan wanita, terutamanya di peringkat akar umbi. Pertandingan dan kejayaan wanita dalam pilihan raya serta pencapaian pemegangan jawatan kepimpinan berpotensi menciptakan kesan yang positif. Ini akan dapat mendorong lebih ramai wanita untuk berasa berinspirasi dan mengambil peluang untuk tampil ke hadapan.Kehadiran wanita yang signifikan dalam politik mempunyai kuasa untuk mencabar stereotaip jantina dan mencabarkan norma masyarakat yang membataskan peranan wanita kepada tanggungjawab domestik. Ia mengubahkan persepsi bahawa kepimpinan ditentukan oleh jantina, sebaliknya menekankan kepentingan kemahiran, pengalaman, visi, dan semangat. Jelas bahawa wanita sama-sama berkemampuan untuk menyumbang kepada pembinaan negara.
Wanita sebagai pemimpin politik bukan sahaja menyediakan model teladan yang penting untuk gadis muda dan wanita, tetapi juga menekankan kepentingan suara mereka dalam membentuk negara yang lebih adil, maju dan makmur. Pemberdayaan wanita dalam bidang politik akan memberi inspirasi kepada generasi masa depan untuk berusaha mencapai kesaksamaan dalam semua bidang kehidupan.
Peranan parti-parti politik
Dalam pilihan raya yang lepas, calon wanita bagi kerusi Parlimen hanya mencatatkan 17.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala calon wanita bagi kerusi Dewan Undangan Negeri lebih rendah lagi (pilihan raya 2022: 12.4%; pilihan raya enam negeri 2023: 13.6%). Ia jelas dilihat bahawa parti-parti politik sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam pemberdayaan penyertaan wanita dalam politik, dari segi pencalonan. Akan tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa patriarki (“patriarchy”) yang tertanam dalam institusi parti-parti politik bertindak mengecilkan ruang politik untuk wanita. Dominasi kaum lelaki di kalangan penjaga pintu parti (“party gatekeepers”) seterusnya amat mempengaruhi pemilihan calon dan peluang kepimpinan dalam parti, dan lelaki sering diutamakan berbanding wanita yang mungkin lebih berkelayakan.
Oleh itu, walaupun parti-parti politik telah memberi komitmen untuk mencalonkan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam pilihan raya, realitinya tiada satu parti politik utama pun yang telah merealisasikan komitmen tersebut. Pemimpin tertinggi parti politik perlu lebih berusaha untuk memenuhi janjian pencalonan sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam pilihan raya. Tidak cukup sekadar janji kosong, kerana tindakan jauh lebih bermakna daripada kata-kata. Parti-parti politik yang merealisasikan pencalonan sekurang-kurangnya 30% calon wanita akan dilihat sanggup mengambil sesuatu langkah penting ke arah kesaksamaan jantina. Ini menunjukkan dedikasi parti-parti politik untuk mewujudkan arena politik yang lebih inklusif, di mana suara wanita didengari, dihargai dan dihormati. Dengan menggalakkan penyertaan wanita secara aktif, parti-parti boleh menujukkan keikhlasan mereka terhadap keadilan dan kesaksamaan.
Sebagai kesimpulan, peningkatan penyertaan wanita dalam politik akan dapat memperkasa pelbagai perspektif yang lebih berkesan dalam menangani cabaran negara, daripada sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan hingga kepada pembangunan ekonomi. Langkah ini adalah amat penting untuk merealisasikan Malaysia yang benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi seluruh rakyatnya. Dengan meningkatkan kuasa suara wanita dalam proses-proses politik dan polisi, demokrasi yang kukuh serta pembentukkan dasar-dasar yang lebih adil akan tercapai, dan masa depan yang lebih cerah dan inklusif untuk semua akan turut diwujudkan.
Yeong Pey Jung merupakan penganalisis kanan bagi Program Sosioekonomi dan Statistik di Penang Institute.