Siapa yang tidak mengimpikan masyarakat yang bertoleransi, aman dan saling menghormati meskipun berbeza bangsa, agama dan percaya. Dalam menuju impian ini, kita mungkin biasa mendengar betapa pentingnya sikap toleransi yang dipupuk melalui sifat empati kepada masyarakat berbeza agama, budaya dan politik. Namun, jarang sekali kita mendengar tentang memupuk sifat empati berdasarkan gender. Gender merujuk kepada peranan serta tingkah laku lelaki dan wanita yang dibentuk melalui pembinaan sosial mengikut budaya dan norma setempat. Mengapa ianya penting untuk diangkat kepada orang yang mahukan kedamaian dalam masyarakat? Bagaimanakah keadaannya di Pulau Pinang?
Dalam mewujudkan keharmonian, pemahaman tentang gender adalah salah satu unsur yang wajar diarusperdanakan. Idea ini merupakan strategi yang sering digunakan dengan mengintegrasikan perspektif gender ke dalam semua peringkat seperti perancangan, pelaksanaan, pemantauan, dan penilaian dasar serta program. Penggunaan lensa gender sering diketengahkan bagi pembuat dasar atau perancang bandar demi memastikan perancangan projek lebih menyeluruh dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Di Pulau Pinang, perkara ini sudah lama disebarluaskan melalui pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender. Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang terkenal dengan kemajmukan budaya dan masyarakat. Jadi, pengarusperdanaan ini bukan sahaja relevan malah penting untuk memastikan pembangunan masyarakat yang lebih inklusif. Untuk lebih mudah memahaminya, kita boleh mengambil analogi yang sangat sinonim dengan identiti Pulau Pinang; nasi kandar atau dialek utara disebut nasi kandaq.
Lambang Keharmonian Pulau Pinang
Bayangkan kemajmukan masyarakat ini seperti hidangan nasi kandar yang mempunyai pelbagai jenis lauk. Setiap lauk seperti ayam, daging, ikan, telur, pelbagai jenis kuah dan sambal (anda boleh namakan sendiri sebagai peminat tegar nasi kandar) mempunyai rasa dan keunikannya tersendiri. Apabila diadunkan pelbagai jenis kuah, ia boleh menjadi satu karya agung dengan keseimbangan dan keharmonian rasa yang enak dan uniknya tersendiri.
Begitu jugalah dalam konteks kemajmukan masyarakat terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang ada dan ianya bukan sahaja soal kepelbagaian etnik dan agama semata-mata bahkan golongan kanak-kanak, belia, dewasa serta warga emas lelaki dan wanita perlu diambil kira dalam pengarusperdanaan gender ini. Bagaimanakah ianya boleh diuruskan dengan cermat supaya membentuk masyarakat yang harmoni di Pulau Pinang?
Dasar Keterangkuman Gender (DKG) adalah salah satu manifestasi yang tercipta daripada aspirasi pengarusperdanaan gender di negeri Pulau Pinang yang bermula pada tahun 2019 lagi[1]. Dasar ini wujud bagi memastikan kesaksamaan kepada semua golongan lelaki dan wanita tanpa mengira etnik, agama dan status sosio-ekonomi bermula daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas. Dengan tujuan utama agar semua tidak ketinggalan dalam mengecapi perkhidmatan dan kemudahan di negeri Pulau Pinang.
Seperti nasi kandar, keenakannya memerlukan kombinasi lauk-pauk mengikut acuan dan sukatan tertentu untuk disebatikan di atas nasi yang empuk dan panas. Untuk itu, segenap golongan masyarakat itu perlu dilibatkan secara aktif dalam pembuatan dasar mengikut keperluan mereka agar lebih seimbang dan produktif. Setiap individu, tanpa mengira gender harus diberikan peluang untuk memainkan peranan mereka tanpa halangan atau diskriminasi. Persoalannya, apakah mekanismenya dan siapakah yang terlibat dalam pembuatan dasar ini?
Secara amnya, dasar ini diselaraskan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama erat pihak berkuasa tempatan MBPP dan MBSP serta beberapa agensi kerajaan negeri Pulau Pinang. Antara kaedah yang diguna pakai melalui dasar ini ialah pelaksanaan GRPB (Gender Responsive and Participatory Budget) dalam perancangan projek serta pembuatan bajet. Pihak berkuasa terbabit perlu memastikan perancangan sesebuah projek khususnya di tempat awam perlu melibatkan masyarakat setempat melalui maklum balas, cadangan, malah undian bagi menentukan kemudahan awam yang mengikut keperluan mereka.
Pihak berkuasa tempatan serta beberapa agensi Kerajaan negeri yang terlibat dengan dasar ini adalah entiti penting dalam menyampaikan perkhidmatan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat. Dasar ini telah menjadi suatu garis panduan penting untuk perancangan projek dan pembuatan bajet agar ianya inklusif dan berjaya melibatkan semua golongan dalam masyarakat. Unsur GRPB ini juga membentuk kitaran yang inklusif dan harmoni dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat lalu memberikan impak positif kepada pihak berkuasa dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Aral Dalam Pengarusperdanaan Gender
Seperti proses penghasilan nasi kandar, ianya bukan mudah dan memerlukan kepakaran untuk memastikan rasa yang seimbang dan konsisten. Hasrat pengarusperdanaan gender juga melalui ranjaunya. Antara yang utama adalah stereotaip gender yang masih menebal dalam masyarakat. Menurut European Institute to Gender Equality, stereotaip gender ialah tanggapan atau pemikiran masyarakat yang ditetapkan terhadap peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat namun seringkali tidaklah benar dalam realiti. Misalnya, peranan wanita sering dilihat terhad kepada tugas domestik atau kerja menguruskan rumah sahaja, sementara lelaki dianggap sebagai pencari nafkah utama. Pada titik ini menyebabkan kita menyekat potensi lelaki atau wanita untuk bersama-sama dalam menyumbangkan produktiviti di dalam pembangunan negara.
Maka, tidak hairan jika dilihat jurang gender di Malaysia masih lagi jauh ke belakang berbanding negara maju yang lain. Menurut laporan World Economy Forum pada tahun 2024; Malaysia menduduki tempat ke-114 daripada 146 negara di seluruh dunia. Jurang Gender ini menilai kebolehcapaian (accessibility) lelaki dan wanita dalam beberapa domain seperti Kesihatan, Pendidikan, Pemerkasaan Ekonomi serta Politik. Di Malaysia, skor kebolehcapaian pemerkasaan ekonomi (0.634) dan politik (0.068) masih lagi di tahap rendah. Wanita masih lagi ketinggalan berbanding lelaki[2]. Di Pulau Pinang sendiri, kadar penyertaan wanita dalam bidang politik masih lagi rendah; paling mudah untuk dilihat ialah kedudukan ADUN dalam kalangan wanita di Pulau Pinang masih lagi rendah (4 orang daripada 40 kawasan DUN).
Citarasa keenakan sesebuah nasi kandar amat subjektif. Nasi Kandar Deen Maju dan Nasi Kandar Kg. Melayu Air Itam misalnya mempunyai rasa yang berbeza dan mempunyai air tangannya tersendiri. Namun, kedua-duanya masih mempunyai asas peminatnya yang sendiri. Begitu jugalah dalam konteks pengarusperdanaan gender, citarasanya berbeza jika disajikan antara Benua Eropah (contoh seperti Norway) dan Asia Tenggara (contohnya di Pulau Pinang). Asasnya sama sahaja, mahukan keadilan sosial yang lebih baik melalui pengarusperdanaan gender tetapi strategi pelaksanaannya berbeza mengikut citarasa budaya setempat. Sememangnya ia bukanlah terjadi dalam sekelip mata sahaja dan merupakan suatu proses jangka masa yang panjang.
Pengembaraan Tanpa Noktah
Pengarusperdanaan gender hanyalah retorik semata-mata jika tidak berjaya untuk diterjemahkan dalam pembuatan dasar. Pulau Pinang amat bernasib baik kerana Dasar Keterangkuman Gender boleh menjadi titik mula yang baik kepada perjalanan pengarusperdanaan gender di Pulau Pinang. Namun begitu, segala perubahan atas nama penambahbaikan perlu dicermati tanpa mengabaikan asas utama dasar ini iaitu menguruskan kelompok berlainan dan keperluan berbeza di dalam masyarakat. Paling penting, mengikuti lunas undang-undang dan budaya setempat.
Pengarusperdanaan gender di Pulau Pinang adalah usaha yang berterusan. Perkara ini mustahil untuk dilaksanakan tanpa sokongan penuh kerajaan yang berterusan serta disambut baik oleh semua pihak yang terlibat. Keberkesanan dan ramuan keharmonian adalah berbeza mengikut citarasa masing-masing berdasarkan konteks tempat dan masa yang tertentu. Maka, pemantauan dan penilaian yang berterusan amat penting bagi memastikan dasar ini kekal relevan mengikut peredaran.
Sama seperti nasi kandar yang menjadi ikon kebanggaan Pulau Pinang, kejayaan dalam pengarusperdanaan gender melalu Dasar Keterangkuman Gender boleh menjadi lambang kemajuan dan keharmonian negeri ini, melalui pendekatan yang inklusif dan kerjasama semua pihak. Justeru, Pulau Pinang boleh menjadi contoh yang baik bagi pengarusperdanaan gender yang kelak diiktiraf di persada nasional dan antarabangsa.
Nidhal bin Mujahid atau dikenali sebagai ‘Nidhal Rawa’ merupakan Pegawai Kanan Program Bahagian Keterangkuman Gender di Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC). Beliau percaya bahawa dirinya adalah seorang pengembara yang berkelana di dunia ini dan cuba mengumpul buah-buah yang terbaik sebagai bekalan untuk menuju ke destinasi seterusnya yang abadi
Nota kaki
[1] Untuk makluman lanjut tentang Dasar Keterangkuman Gender di Pulau Pinang, boleh rujuk di pautan ini: https://pwdc.org.my/policies/
[2] Untuk maklumat lanjut boleh rujuk laporan penuh Global Gender 2024 boleh rujuk di pautan ini: (https://www.weforum.org/publications/global-gender-gap-report-2024/ )