Kita semua pernah mendengar suara emasnya. Tetapi siapakah sebenarnya legenda yang pergi buat selamanya akibat patah hati ini?
Udara Pulau Pinang yang panas dan berdebu tidak pernah bersahabat dengan bumbung zink rumahnya. Bosan dan dimandi peluh, seorang budak kurus berbasikal dengan laju di lorong-lorong kecil berhampiran 40A, Jalan Caunter Hall. Basikal buruk, kawan baik di belakang, rambut diterbangkan angin, dan kenakalan bersinar di mata–itulah harinya.
Itulah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, anak kepada seorang pelaut Acheh yang jatuh cinta dengan seorang janda dari Butterworth dan akhirnya menetap di Pulau Pinang. Ketika itu, beliau tidak tahu bahawa seluruh dunia akan mengenalinya sebagai P. Ramlee–pelakon, pengarah, penggubah, dan penyanyi berbakat besar. P. Ramlee, lelaki yang filemnya sentiasa pecah panggung, lagunya meniti di bibir semua, dan gambarnya menghiasi dinding bilik gadis-gadis seluruh negara.
Namun, pada waktu itu, yang bermain di fikirannya bukanlah glamor atau pentas–hanya satu iaitu jambu batu. Lagi-lagi jambu batu milik orang lain.
“Tak kisah pokok apa pun, asal Ramlee yang lalu, tinggal daun sajalah. Putik pun habis,” ketawa Sukardi Suradi, sahabat baiknya. Tetapi kemudian, dia diam seketika, tersenyum sedih lalu berkata, “Saya sayang sungguh dekat dia.”
Pulau Pinang pada tahun 1930-an penuh dengan warna dan perubahan. Parti ronggeng diadakan hampir setiap minggu–sampaikan pihak agama pun mula resah. Tuan Haji Ali, Ketua Kathi Singapura, pernah menyifatkan ronggeng sebagai “masalah sosial”, menyalahkannya atas kelakuan tidak elok anak muda. Namun, parti-parti tersebut tetap dijalankan. Boria, sebuah bentuk teater tarian spontan yang berasal dari Parsi, menjadi hiburan umum yang disukai ramai. Persembahan bangsawan pula menghiasi taman-taman hiburan, pentas amatur dan kelab muzik–menjadi sumber ilham muzik popular. Dalam pertembungan budaya Melayu, India, Eropah, Timur dan Timur Tengah inilah, pada 22 Mac 1929, P. Ramlee dilahirkan.
Harinya dihabiskan dengan berbasikal mengelilingi bandar, menghadiri kelas muzik atau ponteng kelas untuk mendengar kumpulan muzik bermain. Beliau memulakan pelajarannya di Sekolah Melayu Kampung Jawa (Kini ditukar nama sebagai SK Tan Sri P. Ramlee), disambung di Francis Light School dan berakhir di Penang Free School. Tetapi pada tahun 1942, apabila Jepun mendarat di Tanah Melayu, P. Ramlee dimasukkan ke Sekolah Tentera Laut Jepun. Di situ, beliau bukan sahaja fasih berbahasa Jepun, malah mahir bermain biola. Bakat semula jadi dan kepelbagaian genre muziknya tidak pernah meragukan sesiapa. Sukar untuk diabaikan, walaupun ketika bom dijatuhkan.
Jika kita mencari kisah seseorang yang naik mendadak ke puncak kemasyhuran, kita takkan menemuinya dalam hidup P. Ramlee. Dia membuktikannya melalui bakat, kerja keras, latihan tanpa henti dan cinta yang mendalam terhadap seni untuk beliau naik ke peringkat antarabangsa. Selepas tamat pendudukan Jepun, beliau menubuhkan kumpulan muziknya sendiri, iaitu Teruna Sekampung, pada tahun 1945. Campuran gaya dan pengaruh pelbagai budaya mengalir dalam nadinya. Susunan muziknya sentiasa menjadi kegemaran ramai dan tidak lama kemudian, kalendar mereka dipenuhi dengan undangan ke majlis perkahwinan dan acara sosial.
Selepas menyertai pelbagai pertandingan bakat radio tempatan dan berjaya mencipta nama ikonik (pada masa inilah beliau menambah awalan “P.” pada namanya), P. Ramlee akhirnya meraih tempat pertama. Sementara itu, beliau turut menyertai banyak kumpulan muzik lain. Pada tahun 1948, ketika berada dalam Pancaragam Mustika, beliau diperhatikan oleh B.S. Rajhans, seorang pengarah dari Shaw Brothers.
Rajhans menjemput Ramlee dan Sukardi untuk menguji bakat di Malay Film Productions, Singapura. Mereka diberi sepasang tiket kereta api dan janji-janji kosong yang entah akan ditunaikan atau tidak. Namun, dua sahabat itu tetap naik kereta api ke Singapura pada pagi raya pertama. Pertama kali mereka keluar dari Pulau Pinang, hanya berbekalkan harapan.
Beberapa hari kemudian, keputusan diumumkan dan Ramlee ditawarkan kerja sebagai krew pentas, manakala Sukardi gagal, terus pulang ke Pulau Pinang.
P. Ramlee mula mencipta nama dalam dunia perfileman apabila beliau diberi watak sampingan sebagai penjahat dalam filem Chinta. Selepas menerima ulasan positif, P. Ramlee mendapat watak utama pertamanya dalam filem Bakti. Filem ini, yang diinspirasikan secara longgar daripada Les Misérables, mengisahkan Nasir (lakonan P. Ramlee), seorang anak yatim yang diambil sebagai anak angkat oleh seorang lelaki kaya, Ibrahim. Namun, anak kandung Ibrahim, Hassan, tidak dapat menerima kehadiran Nasir. Apabila dewasa, Hassan menjalani kehidupan mewah hasil kegiatan mencuri, dan akhirnya mencuba nasib dengan mencuri daripada Nasir sendiri. Dalam satu tindakan mulia, Nasir menyelamatkan Hassan daripada ditahan polis dengan mendakwa bahawa barang-barang tersebut sebenarnya hadiah daripadanya. Filem ini menerima pujian tinggi, disifatkan sebagai diarahkan dengan penuh kemahiran dan sinematografinya yang menawan. Kejayaan Bakti melonjakkan nama P. Ramlee sebagai bintang pujaan tanah air.
Waktu itu, Ramlee sangat rapat dengan Harris, seorang pengarah di Shaw Brothers. Tidak lama kemudian, beliau terjatuh hati pada anak bongsu Harris, Junainah. Tetapi, Harris sebenarnya mahu Ramlee berkahwin dengan anak sulungnya, Junaidah—seorang janda. Ramlee akhirnya akur, walaupun berat hati. Namun, perkahwinan itu tak kekal lama; dalam dunia filem, keluarga jarang menjadi keutamaan. Hampir seluruh masa Ramlee dihabiskan untuk berlakon, menyanyi dan menggubah lagu. Para peminatnya melihatnya sebagai bintang yang penuh pesona. Tetapi bila beliau melangkah pulang ke rumah, yang menyambut keluarganya hanyalah bayangan dirinya yang terlalu letih untuk memberi lebih.
Selepas bercerai, nama P. Ramlee terus melonjak—sampai ke Perak. Sultan Perak ketika itu begitu meminatinya, sehingga sanggup menghantar isteri keduanya, Noorizan Mohd Noor, menonton persembahan Ramlee, dengan pesanan untuk jangan pandang matanya. Takut terjatuh cinta, katanya. Tapi itu jugalah yang terjadi. Noorizan telah jatuh hati. Hubungan jarak jauh mereka bertahan melalui panggilan telefon, dan pada tahun 1955, mereka pun berkahwin. Noorizan tinggalkan segalanya di istana demi Ramlee—dan pengorbanan itu kerap diungkitnya. Ramlee, si romantik sejati, mendedikasikan lagu ‘Berkorban Apa Saja’ khas untuknya.
Filem pertama arahannya, Penarek Becha, mendapat sambutan luar biasa—memenangi lima anugerah dan meletupkan namanya dalam industri. Pada tahun 1957, beliau dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Tokyo untuk Anakku Sazali. Lepas itu, apa saja yang disentuhnya menjadi emas—atau dalam bahasa Shaw Brothers, menjadi keuntungan besar. “Apa dia minta, beri saja,” kata Kwek Chip Jian, pengurus studio Shaw.
Antara tahun 1958 hingga 1964, beliau berada di puncak. Trilogi Bujang Lapok menjadi kegilaan ramai. Antara Dua Darjat, yang menyentuh isu jurang kelas, mendapat pujian tinggi. Semua pelakon merebut peluang untuk berlakon dalam filem P. Ramlee. Tetapi di rumah, lain pula ceritanya. Jadual kerjanya yang padat mula menekan Noorizan. Enam tahun selepas berkahwin, mereka bercerai. Ketika itulah muncul Saloma—penyanyi jelita yang baru pulang dari Australia—dan menjadi inspirasi barunya.
Sebagai pengarah, Ramlee sentiasa ke hadapan. Beliau dapat melihat potensi filem berwarna dan tidak sabar untuk menghasilkan filem berwarna tersendiri. Pada tahun 1963, Shaw Studios menawarkan peluang mengarah filem berwarna di Hong Kong—Seniwati. Tapi disebabkan kos produksi yang tinggi di sana, projek itu dibatalkan. Ramlee kecewa. Hilang semangat dengan Shaw, beliau akhirnya menerima tawaran pulang ke Kuala Lumpur, menyertai Merdeka Film Studios. Di sinilah bermula kejatuhannya.
Segalanya di Merdeka Film Studios serba kekurangan—tiada teknologi, tiada kemahiran, tiada pengalaman. Walaupun beliau menghasilkan 18 lagi filem di sana, semuanya gagal menandingi kegemilangannya dulu. Media mula mengkritik. Ramlee tetap teguh dengan muzik Melayu yang perlahan dan berjiwa, tapi selera pasaran dah berubah—pop, reggae dan rock mula mengambil alih. Kontraknya pun tidak lagi diperbaharui.
Menjelang tahun 1972, hidupnya makin sempit. Beliau terpaksa menyewa meja mahjong untuk mencari rezeki. Keluarganya kadang-kadang cuma mampu makan nasi dengan telur. Separuh hancur, beliau pernah meluah pada seorang teman:
“Orang dah tak pedulikan saya. Kerjaya saya sudah musnah. Saya nak filem Melayu jadi macam filem antarabangsa—lebih maju, lebih indah. Tapi saya gagal.”
P. Ramlee memang dilahirkan untuk layar perak. Tetapi bila selera penonton berubah, beliau tidak mengikut arus. Beliau sentiasa mengejar gaya, bukan fesyen. Akhirnya, beliau kehilangan segalanya dalam kemerosotan yang perlahan dan menyayat hati.
Pada 29 Mei 1973, P. Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung. Umurnya baru 44 tahun. Lelaki yang mencipta 34 filem, berlakon dalam 66, dan menggubah 390 lagu ini pergi dalam keadaan miskin. Negara tergamam. Ribuan hadir ke pengebumiannya. Tetapi seperti biasa, penghargaan hanya datang selepas pemergiannya—muzium, nama jalan, gelaran Tan Sri. Sayangnya, cinta itu datang terlalu lambat.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Yap Jo-yee(2015). P. Ramlee: A Penang superstar. Penang Monthly, August Issue.
Yap Jo-yee merupakan bekas penyelidik di Penang Institute, dan mempunyai minat yang mendalam mengenai isu-isu ekonomi.