Mobiliti mikro merupakan salah sebuah mod pengangkutan yang perlu diteliti dalam ekosistem mobiliti bandar. Sebagai pengguna pengangkutan pelbagai mod hampir setiap hari, penulis ingin menekankan penggunaan basikal sebagai sebuah mod pergerakan dan pengangkutan di bandar, khususnya di kawasan Lembah Klang berdasarkan pengalaman peribadi dan pemerhatian am.
Penggunaan basikal di sekitar Lembah Klang sebagai pengangkutan bukanlah asing. Di kawasan Kota Damansara misalnya, dapat diperhatikan bahawa pelajar-pelajar berbasikal ke sekolah dengan jumlah jarak ulang-alik sehingga 7 kilometer. Terdapat juga para pekerja migran yang lebih memilih basikal untuk ke stesen rel terdekat atau ke tempat kerja mereka, dengan jumlah jarak ulang-alik sekitar 2 kilometer. Penulis sendiri mencontohi pekerja-pekerja migran yang menggunakan basikal ke stesen rel kerana lebih cepat daripada menunggu atau menggunakan bas perantara. Selain itu, berbasikal juga membolehkan seseorang itu memilih untuk ke stesen rel yang berbeza dari laluan bas perantara atau bas am, sesuai dengan kecepatan ke destinasi tujuan. Berbasikal juga dapat menghubungkan lokasi yang tidak dicapai oleh laluan pelbagai bas dan rel umumnya, khususnya di kawasan pinggiran.
Kemudahan seperti Park N’ Ride yang disediakan di beberapa buah stesen rel sering penuh dan melimpah sehingga ke jalan raya luar stesen. Pernah juga terjadi kes bas perantara terpaksa menggesel beberapa buah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan masuk ke stesen kerana parkir yang penuh ataupun tidak mencukupi. Situasi pengguna terpaksa berkereta untuk menaiki tren itu sendiri merupakan sebuah situasi yang kekok, kerana pengangkutan awam sepatutnya membantu mengurangkan jumlah kesesakan kenderaan di atas jalan raya. Dalam hal ini, basikal sebagai mobiliti mikro dapat membantu menyelesaikan kesesakan trafik dan terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih jitu.
Basikal, seperti juga berjalan kaki, merupakan sebuah pengangkutan jenis aktif atau mobiliti aktif. Mod ini memerlukan pengguna menggunakan daya fizikal untuk melengkapkan perjalanan, dan secara ekonominya lebih murah berbanding berkenderaan peribadi ke stesen rel. Walau bagaimanapun, kedua-duanya juga sering dicap tidak sesuai untuk menjadi mod pengangkutan di Malaysia, khususnya di Lembah Klang atas alasan infrastruktur dan cuaca.
Tidak dinafikan, berbasikal di Malaysia bukan seperti berbasikal di Belanda atau Jepun yang dibolehkan dengan iklim dingin dan infrastrukturnya yang mantap. Namun, ini bukan alasan untuk tidak menggalakkan penggunaan basikal dalam pengangkutan multi mod. Lembah Klang khususnya, mempunyai infrastruktur yang lebih daripada sederhana untuk berbasikal sebagai pengangkutan. Beberapa buah kawasan kejiranan dalam perbandaran seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Kuala Lumpur mempunyai infrastruktur yang memuaskan dan selamat untuk pengguna jika sekadar berbasikal dalam kawasan kejiranan. Namun begitu, terdapat kejiranan yang tidak mendapat akses bas perantara dan rel, dan menyebabkan penunggang harus berbasikal ke stesen rel terdekat dengan cara melintasi jalan besar ataupun lebuh raya. Hal ini memerlukan pembinaan infrastruktur yang lebih saksama dan berkualiti. Infrastruktur di beberapa kawasan pinggiran suburban juga perlu ditambah baik kerana penunggang basikal sering bergelut dengan kenderaan ringan dan berat.
Iklim tidak sepatutnya menjadi alasan kerana negara tetangga seperti Singapura mempunyai bilangan penunggang basikal yang tinggi. Di Jepun, ramai yang tetap berbasikal meskipun dalam kehangatan musim panas. Kedua-dua buah negara ini mempunyai pengguna mobiliti mikro dan aktif yang ramai kerana infrastruktur yang disediakan. Dengan penambahbaikan infrastruktur dan landskap jalan secara berterusan, berbasikal dalam iklim Malaysia juga tidak akan lagi dikatakan sebagai tidak sesuai.
Beberapa laluan rel di Lembah Klang juga membenarkan basikal dibawa naik ke dalam tren pada waktu-waktu tertentu. Perkara ini juga memudahkan pengguna untuk tetap menggunakan basikal ke destinasi selepas turun dari tren. Penulis mengakui bahawa waktu yang dibenarkan untuk membawa naik basikal pada hari bekerja adalah tidak sesuai kerana sudah melebihi waktu pejabat. Namun begitu, perkara ini perlu bagi memberi laluan kepada penggunaan tren pada waktu puncak. Penulis sendiri lebih selesa menggunakan pilihan ini pada hujung minggu atau cuti umum kerana tiada batasan waktu untuk membawa naik basikal.
Dalam menekankan basikal sebagai mobiliti mikro dan aktif, jenis basikal yang dipilih juga tergantung kepada keselesaan peribadi. Basikal jenis road bike bukan wajib. Penulis menggunakan basikal jenis gravel yang dilengkapi rak pannier dan bakul kerana hanya itu satu-satunya basikal yang penulis miliki. Penulis memerhatikan basikal jenis mountain dan city adalah pilihan utama mereka yang berbasikal ke stesen rel atau sebagai pengangkutan umum. Rak dan bakul tersebut adalah perlu untuk membolehkan penunggang membawa barang berlebihan seperti pembelian dari pasar raya ataupun beg kerja.
Selain rak pannier dan bakul, lampu juga merupakan sebuah kelengkapan yang perlu. Lampu kelip hadapan dan belakang juga membantu daya penglihatan dan keselamatan ketika sedang berbasikal di lewat petang atau di kawasan jalan yang kurang pencahayaan. Tentang lampu, yang lebih penting menurut penulis ialah membolehkan kenderaan yang lebih besar melihat ada penunggang basikal di bahu jalan, atau memastikan pejalan kaki cakna tentang penunggang basikal di laluan gunasama.
Pemilihan laluan basikal juga bebas asalkan bukan di lebuhraya. Namun begitu, penulis sendiri pernah melintasi kawasan lebuhraya seperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) kerana hendak menyeberang antara dua kawasan kejiranan yang terputus bagi mendapatkan stesen rel. Mengulangi apa yang dinyatakan di atas, pengalaman melintasi jalan besar dan lebuh raya boleh mendatangkan bahaya. Ada beberapa ketika seperti melintasi Lebuhraya SPRINT, penulis dan beberapa penunggang lain terpaksa mengangkat basikal untuk menggunakan jejantas pejalan kaki kerana tiada tanjakan untuk basikal. Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa jambatan pejalan kaki atau basikal adalah infrastruktur kereta, bukan sebaliknya.
Tidak perlu diterangkan dengan lebih lanjut tentang kebaikan berbasikal dari sudut kesihatan kerana telah terbukti membantu menguatkan otot teras, kaki dan juga sistem kardiovaskular. Dari sudut kesihatan mental, pendapat peribadi penulis adalah berbasikal pulang ke rumah selepas menaiki tren yang sesak pada waktu puncak membantu mengurangkan tekanan dan boleh melegakan pemikiran. Selain itu, penunggang basikal semestinya tidak menghasilkan gas karbon monoksida yang membahayakan dan menyumbang kepada kesan rumah hijau.
Peranan basikal dalam ekosistem urban Lembah Klang perlu dikembangkan melangkaui waktu riadah. Kajian kes di peringkat global dan tempatan (meskipun dengan saiz sampel yang kecil) menunjukkan basikal mampu menyokong sistem pengangkutan pelbagai mod di Lembah Klang dan terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Penekanan terhadap pengukuhan infrastruktur yang berkualiti dan saksama, di samping sedikit suntikan promosi bagi menaikkan kesedaran terhadap mobiliti mikro dan aktif dapat memangkin penambahan bilangan penunggang basikal dan pengalaman mobiliti yang jauh lebih baik.
Sudah tentu mobiliti mikro dan aktif ini tidak hanya terpakai di Lembah Klang sahaja. Banyak bandar di negara ini sedang mengorak langkah untuk menambahbaik pengalaman berbasikal ke tempat kerja. Ada sebahagiannya sudah mula menerapkan unsur pintar dalam setiap aspek perancangan bandar dan pengangkutan, tidak terkecuali bandar Pulau Pinang yang merupakan antara bandar terbesar dan padat penduduknya di Malaysia. Hal ini ditambah lagi dengan bandar ini yang berencana untuk mewujudkan sistem relnya sendiri sepanjang 29.5 kilometer—menghubungkan kawasan pulau dengan tanah besar. Keadaan geografi, susun atur bandar, dan kepadatannya sudah pasti berbeza dengan Lembah Klang. Namun, apa yang menarik adalah, Pulau Pinang memiliki masyarakat yang aktif berjalan dan berbasikal. Kelebihan ini yang mungkin boleh dimanfaatkan agar bandar tersebut boleh menjadi lebih berkesan dalam menjadi sebuah bandar yang maju dan kosmopolitan.
Arif Danial ialah seorang urbanis yang bertugas di bahagian Pembangunan Komuniti di Think City, Kuala Lumpur. Beliau gemar menelusuri kota-kota di dunia menggunakan kaki, basikal dan pengangkutan awam. Bagi Arif, kita belum benar-benar menjadi seorang pemerhati alam kalau celah ketiak dan seluar dalam kita tidak berpeluh setiap kali ke mana-mana.




