Dalam era kemajuan digital yang pesat, Malaysia giat memodenkan sistem pendidikannya bagi memastikan akses teknologi yang lebih inklusif dan saksama. Namun begitu, jurang digital antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar masih ketara, sekali gus menghalang kesaksamaan dalam pembelajaran.
Akses kepada sumber pendidikan kini telah berkembang dengan melibatkan pelbagai media elektronik, alatan digital, dan platform dalam talian yang menjadi elemen penting dalam penyampaian kandungan pendidikan secara lebih interaktif dan dinamik. Dasar Pendidikan Digital merupakan manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memacu transformasi landskap pendidikan digital negara. Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi celik digital yang berdaya saing melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kalangan murid, pendidik, serta pemimpin pendidikan. Namun begitu, persoalan penting yang timbul; adakah semua sekolah telah dilengkapi dengan peralatan dan sumber teknologi yang mencukupi bagi membolehkan pengintegrasian teknologi secara menyeluruh di sekolah-sekolah?
Bagi sekolah yang terletak di kawasan luar bandar, mungkin sebahagian besar pelajar mempunyai sedikit atau tiada pengalaman menggunakan komputer[1]. Situasi ini menjejaskan persekitaran pembelajaran digital yang sepatutnya selari dengan keperluan semasa, sekaligus menjejaskan tahap literasi digital pelajar yang memberi kesan terhadap pencapaian akademik mereka.
Sistem pendidikan negara yang dipandu oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 meletakkan pembangunan literasi digital sebagai keutamaan. Walau bagaimanapun, jurang digital masih wujud, terutamanya dalam kalangan pelajar kurang upaya dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Banyak sekolah masih serba kekurangan, dengan keadaan fizikal yang usang serta ketiadaan infrastruktur digital, capaian internet berkelajuan tinggi dan peranti moden. Kekurangan ini menyukarkan penggunaan aplikasi atau alat teknologi pendidikan (EdTech), sekali gus menghalang akses kepada pembelajaran digital yang berkesan.
Belanjawan 2024 memperuntukkan RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan, dengan RM1.9 bilion khusus untuk menaik taraf infrastruktur sekolah. Namun, keadaan sesetengah sekolah masih membimbangkan. Banyak sekolah awam contohnya, bangunan sekolah kolonial mengalami kemerosotan fizikal akibat usia bangunan, tanpa adanya dasar pembinaan sekolah yang mampan dan berasaskan teknologi.
Sebilangan besar sekolah yang dibina berdekad lalu tidak dilengkapi dengan sistem penstrukturan pembinaan digital mahupun reka bentuk yang menyokong integrasi teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun terdapat peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih, pelaburan jangka panjang dalam pembinaan sekolah pintar dan mampan masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pendidikan masa depan.
Maka tidak hairanlah hanya 35% sekolah di Malaysia menggunakan pendidikan berasaskan cloud 9, dengan halangan utama termasuk kekurangan latihan guru, kemudahan yang usang, dan akses internet yang terhad[2]. Infrastruktur digital amat penting bagi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk membangunkan pengalaman pembelajaran yang inovatif. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti 1BestariNet, Projek Sekolah Bestari, dan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) untuk menggalakkan platform pembelajaran digital dan meningkatkan kesalinghubungan internet.
Selain isu infrastruktur, pendidikan digital turut terkesan akibat kekurangan sumber. Sekolah-sekolah di luar bandar sering berdepan kekurangan peralatan digital dan sambungan internet yang tidak stabil, sekali gus menyukarkan akses kepada buku teks digital, nota pembelajaran, dan video pendidikan. Guru telah lama menggunakan kaedah pengajaran konvensional, menghadapi cabaran besar untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam bilik darjah. Jurang digital juga ketara – dengan kadar akses internet di kawasan bandar mencecah 75.6%, berbanding hanya 24.4% di luar bandar[3]. Akibatnya, pelajar di kawasan luar bandar sukar membangunkan kemahiran digital yang penting untuk masa depan mereka. Kekurangan latihan untuk guru dan ketiadaan akses kepada teknologi yang mencukupi turut memburukkan lagi tahap literasi digital dalam kalangan pelajar. Tidak lupa juga kepada pelajar kelainan upaya; mereka juga menghadapi cabaran dalam mengakses peralatan dan kandungan digital. Maka, dasar pendidikan yang inklusif harus mengambil kira keperluan golongan ini, termasuk menyediakan latihan literasi digital yang bersasar kepada para pendidik, bagi merapatkan jurang digital yang wujud.
Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) berasaskan perisian pelbagai media seperti pendekatan penceritaan digital (Digital Storytelling, DST) mampu meningkatkan keterlibatan pelajar serta memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka. Namun begitu, kekurangan latihan profesional dalam kalangan guru serta integrasi digital yang masih terhad dalam kurikulum perlu diberi perhatian serius[4].Selain mengajar, guru juga dibebani dengan pelbagai tugasan dan tanggungjawab lain menyukarkan pelaksanaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran. Selain itu, kekurangan sokongan teknikal dan penguasaan pengetahuan kandungan pedagogi berasaskan teknologi (TPACK) turut menjadi cabaran utama dalam usaha memanfaatkan teknologi secara berkesan dalam bilik darjah.[5]
Bagi merapatkan jurang digital, Malaysia perlu memberi keutamaan kepada dasar yang memastikan akses digital yang adil, pembinaan sekolah mampan, serta latihan komprehensif bagi pembangunan profesional guru – khususnya dalam aspek kreativiti penggunaan media digital dalam pedagogi. Memperkukuh dasar pendidikan digital bukan sahaja akan meningkatkan hasil pembelajaran, malah mempersiapkan pelajar untuk pasaran tenaga kerja masa depan berasaskan teknologi. Pendidik yang kreatif dan inovatif akan memilih serta menggabungkan kandungan digital berkualiti tinggi, mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik dan interaktif untuk memupuk kemahiran literasi digital yang kritikal.
Cadangan dasar turut ditawarkan bagi menyokong literasi digital dan penambahbaikan infrastruktur di sekolah luar bandar dan pinggir bandar. Ini termasuk melabur dalam akses internet berkelajuan tinggi, menyediakan peranti digital kepada pelajar, menyepadukan literasi digital ke dalam kurikulum kebangsaan, serta memupuk kerjasama antara institusi pendidikan dan syarikat teknologi.
Selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi celik digital, usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh dan inklusif. Ini melibatkan penyediaan persekitaran pembelajaran digital yang kondusif, akses saksama kepada peranti digital, latihan intensif kepada guru, serta pengintegrasian kurikulum yang relevan dengan keperluan abad ke-21.
Kerjasama rentas sektor amat diperlukan bagi menjayakan transformasi ini. Agensi kerajaan, pihak swasta, dan badan bukan kerajaan wajar berganding bahu dalam menyediakan sokongan mampan – sama ada melalui inisiatif pembiayaan, sumbangan peralatan teknologi, mahupun program bimbingan yang konsisten untuk memupuk kemahiran digital dalam kalangan murid dan pendidik.
Pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam menangani jurang digital harus mengambil kira suara komuniti setempat termasuk ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah agar penyelesaian yang dibentuk benar-benar berpaksikan keperluan semasa.
Tanpa komitmen jitu untuk membasmi ketidaksamaan akses digital, usaha mendemokrasikan pendidikan akan terus terbantut. Maka itu, pelaburan dalam infrastruktur pintar, pembangunan profesional berterusan untuk guru, dan sokongan pentadbir sekolah dan teknikal yang baik amatlah perlu demi memastikan setiap pelajar memperoleh manfaat sepenuhnya daripada proses pembelajaran abad ke-21.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.
Nota kaki
[1] Geoffrey F. C. Lim., Norshamshizar,A.J., Dayang Suraya, A.H., & Marlissa, O. (2024). Pengintegrasian teknologi dalam pendidikan: Cabaran guru. International Journal of Modern Languages and Applied Linguistics, 49-67. [2] Nurshamshida, M.S., Siti Zuraida, M., Khairezan, R., Sharifah Muzlia, S. A., Hamimah H., Zarizi, A.R. (2023). Preliminary analysis of schools in rural area towards implementation of STEM cloud-based classrooms. Paper commissioned for the 2023 Global Education Monitoring Report, Southeast Asia – Technology in education [3] Malaysian Communications and Multimedia Commission. (2020). Communications and Multimedia Pocket Book of Statistics. https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/ [4] Frecylla May Gidor, & Anna Lynn Abu Bakar. (2024). Digital Storytelling in Malaysia: A systematic literature review. International Journal on E-Learning Practices (IJELP), 7(1). https://doi.org/10.51200/ijelp.v7i1.5418 [5] Ibid 1.