Saya mengenali nama Fatimah Busu lama sebelum menyelami karya-karyanya. Namanya kerap muncul dalam wacana kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang penulisan cerpen. Biarpun beliau sering digelar “penulis yang dikagumi ramai penulis,” usaha untuk mengumpulkan cerpen-cerpen beliau bagi sebuah koleksi terjemahan bukanlah mudah. Banyak karyanya sudah lama lenyap dari pasaran dan kini menjadi buruan pencinta buku terpakai di seluruh negara.
Ketika menyusun Festival Sastera George Town (GTLF) pada tahun 2020—secara atas talian—saya menanam tekad: menjejaki Fatimah Busu. Dengan bantuan Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh, saya menghubungi Dr. Fatimah, lalu berkunjung ke kediamannya di Pulau Pinang. Beliau mengalu-alukan kehadiran saya dan saya terharu apabila beliau bersetuju untuk diwawancara untuk podcast GTLF. Sebelum saya pulang, beliau menghadiahkan saya novelnya yang berjudul Salam Maria dan meminjamkan koleksi cerpennya yang kini sukar ditemui. Malam itu, saya membaca cerpen Kekasih Muharram buat kali pertama—pembukaannya seolah-olah melampaui khazanah fiksyen Melayu yang saya tahu. Tanpa ragu, saya memutuskan untuk menterjemah karya-karya Dr. Fatimah ke dalam bahasa Inggeris, bermula dengan cerpen itu. Saya mula menjejak naskhah-naskhah lamanya melalui Dr. Fatimah sendiri dan jaringan penjual buku terpakai, terutamanya teman saya Omar Bachok dari Johor, yang berjaya menemui beberapa antologi cerpen langka dari awal 1970-an.
Saya memilih-milih lalu menterjemahkan sepuluh buah cerpen Fatimah Busu ke dalam bahasa Inggeris, yang akhirnya dilahirkan dalam koleksi An Ordinary Tale About Women and Other Stories, diterbitkan oleh Penguin Random House SEA. Koleksi ini menghimpunkan cerpen-cerpen dari tahun 1960-an hingga 1990-an—karya awal yang ikonik dan yang kurang dikenali namun tidak kurang cengkamannya. Dalam karya terjemahan ini, saya berusaha untuk mengekalkan semangat dan lapisan makna asal teks Melayu, sambil memperkenalkan pembaca antarabangsa kepada kuasa penceritaan Fatimah Busu.
Perlawanan dari pinggiran
Cerpen Fatimah Busu merakamkan kehidupan masyarakat Melayu dari sudut pandang yang tersembunyi dan seringkali diabaikan—kanak-kanak, remaja, ibu tunggal, penduduk kampung. Watak-wataknya bergelut dalam struktur kuasa yang tidak seimbang, memaparkan kehidupan yang terdedah kepada pancaroba dan pemerintah. Antara ciri utama penulisan Fatimah Busu ialah penggambaran bentuk-bentuk perlawanan seharian, sebagaimana yang dihuraikan oleh James C. Scott dalam Weapons of the Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance (1985), yang mengkaji kehidupan petani di Sedaka, Kedah. Watak-watak ciptaan Fatimah seringkali melawan struktur penindasan melalui tindakan kecil, namun bermakna.
Cerpen-cerpen awal Fatimah kebanyakannya berlatarkan kampung halamannya sendiri, Kampung Pasir Pekan, Kelantan. Cerita-cerita ini sarat dengan dialek tempatan dan perincian kehidupan seharian yang halus lagi menyeluruh.
Keutuhan budaya dan geografi ini menyematkan naratifnya dalam sebuah dunia yang nyata, mengundang pembaca menyelami denyut nadi watak-wataknya. Gambaran mendalam ini lahir daripada pengalamannya membesar dalam keluarga miskin.Cerpen Di Tebing Sebuah Sungai (1976), disampaikan melalui sudut pandang kanak-kanak. Ia membuka jendela kepada kehidupan seharian kampung Kelantan—semangat bergotong-royong dalam membina sebuah rumah, tekanan pihak berkuasa dan politik, dan daya tahan masyarakat setempat. Suasana kampung turut terserlah dalam cerpen Nasinya Tumpah (1972), karya ikoniknya yang mengisahkan adik-beradik yang termakan cendawan beracun. Karya ini pernah memenangi Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka dan diadaptasi menjadi telefilem pada tahun 1986.
Citra perempuan dalam karya Fatimah sentiasa berani dan bernuansa, mencabar penggambaran wanita oleh penulis lelaki sezamannya. Karya-karyanya melampaui batas sastera moden Melayu yang pernah menghukum penulisan wanita sebagai bersifat nostalgia, romantik atau fantasi semata, kononnya tidak mampu menyentuh isu serius. Fatimah Busu mencetuskan kontroversi dengan keberaniannya mengangkat tema-tema tabu, seperti persetubuhan, kehamilan luar nikah, dan pembuangan bayi. Watak-wataknya berpijak pada realiti ekonomi dan sosial—bekerja, berjuang, menderita, namun berdiri teguh.
Karya-karya Fatimah Busu berteraskan komentar sosial dan politik yang tajam. Beliau mengkritik struktur kuasa dan ketidakadilan, khususnya kesannya terhadap nasib wanita dalam masyarakat Melayu. Cerita-ceritanya bersifat feminis—bukan dalam kerangka feminisme liberal Barat, tetapi dalam semangat mempersoal sistem patriarki setempat dan kerangka undang-undang yang menzalimi wanita. Melalui naratifnya, Fatimah menelanjangkan kemunafikan yang berselindung di sebalik moral agama.
Cerpen Cerita Biasa Tentang Perempuan (1996) menyingkap realiti yang perit untuk ditelan: suami yang lalai, isteri yang didera, gadis desa yang berhijrah ke kilang di Pulau Pinang lalu menjadi mangsa para lelaki “buaya.” Cerita ini juga mengangkat isu berat seperti pembuangan bayi, sebagai cerminan terhadap diskriminasi jantina dan keruntuhan moral masyarakat. Dalam Kekasih Muharram (1977) pula, Fatimah mengupas nafsu berahi wanita dan tragedi akibat cinta yang melulu. Cerita ini berani meneroka hawa nafsu orang muda dalam bentuk naratif yang eksperimental.Semangat keperempuanan dalam karya Fatimah Busu berakar pada asal-usulnya dari Kelantan. Dalam tradisi Kelantan-Patani, kuasa wanita terserlah bukan sahaja di alam mitos dan sejarah—misalnya Che Siti Wan Kembang dan Puteri Sa’adong—tetapi juga dalam ekonomi harian sebagai penjaja, pengurus rumah tangga, dan penggerak masyarakat. Walaupun Kelantan bersifat agak konservatif dari segi agama, wanita tetap memegang peranan awam yang aktif dan penting. Fatimah menyerap semangat budaya ini ke dalam naratifnya tanpa nada didaktik, sekaligus memberi ruang kepada pembaca untuk merasai keutuhan dan keberanian watak-watak wanitanya.
Fatimah Busu juga mahir mengolah semula hikayat-hikayat Melayu lama, termasuk kisah daripada Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Hikayat Raja-raja Pasai. Cerpen Mahar Asmara (1984) berani mentafsirkan semula lagenda Puteri Gunung Ledang, dengan menyelongkar nafsu gelap dan kebebalan kuasa melalui kisah tradisional. Melalui kalam Fatimah, Puteri Gunung Ledang bukan lagi lambang kecantikan dan kemurnian, tetapi seorang puteri nakal yang asyik menggoda dan mempermainkan Sultan Mahmud yang angkuh. Cerpen Alkisah Cetera yang Kesembilan (1980) pula menyelami tema kesetiaan, penyesalan, dan perjalanan waktu, melalui kisah Raja Malik ul-Mansur yang memilih untuk wafat di sisi makam menterinya yang setia, Sidi Ali Hisyamuddin.
Sentuhan magis realisme dan fiksyen spekulatif merupakan unsur yang padu dalam pengkisahan Fatimah. Bersama pengaruh modenisme, kecenderungan ini terpaut erat pada hikayat lama Melayu, mitologi, serta tradisi naratif mistik Islam. Cerpen seperti Surat untuk Emak di Kampung Pasir Pekan (1980) menggabungkan satira sosial dengan unsur surealisme—mewujudkan naratif yang aneh, berani dan berakar kuat dalam budaya tempatan. Dalam cerpen-cerpen Fatimah, adakala dunia bukan-manusia hadir sebagai watak—burung, cacing, dan pokok berbicara; seorang ibu tunggal dan anaknya memasang sayap lalu terbang merentas waktu dan tempat. Daya penceritaan Fatimah sering membawa pembaca ke alam di mana yang nyata dan yang ghaib berdampingan mesra.
Cahaya yang tidak pudar
Walaupun sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu amat besar, Fatimah Busu telah lama dikesampingkan oleh birokrasi sastera sehingga kesemua karyanya tidak dicetak semula dalam bahasa Melayu. Suaranya yang tegas, keberaniannya menyingkap pantang larang sosial, serta pendekatannya yang berani dan tidak mengikut arus sering mengundang ketidakselesaan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan tertentu.
Salam Maria—novelnya yang menggugah tentang seorang wanita yang dihina golongan munafik agama, lalu melarikan diri ke pinggir hutan untuk membina tempat perlindungan rohani bagi wanita-wanita terbuang—ditolak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tuduhan kononnya karya itu “menghina Islam” menambah lagi luka pengasingannya. Salam Maria akhirnya diterbitkan secara persendirian pada tahun 2004, namun edaran dan penerimaannya kekal terbatas. Tahun yang sama, Fatimah menolak Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) sebagai tanda protes terhadap pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai, Thailand Selatan—tragedi yang meragut 85 nyawa umat Islam Thai.
Karya-karya Fatimah Busu mengingatkan kita bahawa sastera bukan sekadar cerminan, tetapi pelita yang menerangi ruang-ruang gelap pengalaman manusia—terutamanya mereka yang disisih dan dibungkam. Menyusuri tulisannya adalah menyelami denyut nadi masyarakat Melayu dari pinggiran. Koleksi An Ordinary Tale About Women and Other Stories bukan sekadar meraikan seorang penulis Malaysia yang luar biasa, tetapi juga memperluas pemahaman dunia terhadap kesusasteraan Melayu dan kepelbagaian suara yang dikandungnya. Dengan memperkenalkan kembali karya Fatimah Busu kepada khalayak pembaca baharu, kita nyalakan semula cahaya yang sekian lama meredup—agar warisannya terus menghangatkan dan membimbing generasi akan datang.
Nota
*An Ordinary Tale About Women and Other Stories, karya Fatimah Busu, diterjemahkan oleh Pauline Fan, diterbitkan oleh Penguin Random House SEA pada Disember 2024.
**Wawancara bersama Fatimah Busu oleh Regina Ibrahim untuk audio siar GTLF 2020 boleh didengari di sini.
Pauline Fan ialah seorang penulis dan penterjemah dari Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau berkhidmat sebagai Pengarah Kreatif pertubuhan seni budaya warisan, PUSAKA, dan Profesor Adjung di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.