Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, di Tanah Melayu, muncul beberapa gerakan yang menawarkan dan menyeru kepada diagnosis dan prognosis berbeza bagi menghadapi perubahan dan menangani cabaran sosial, ekonomi, dan budaya yang dihadapi oleh masyarakat. Antaranya adalah gerakan Kaum Muda. Gerakan ini dipengaruhi oleh idea dan karya tokoh-tokoh dari Timur Tengah seperti gerakan anti-penjajahan Pan-Islamis Iran-Afghanistan pimpinan Jamaluddin al-Afghani (1839 – 1897) dan ulama Mesir Muhammad ‘Abduh (1849-1905) dan Rashid Rida (1865-1935).
Kaum Muda mencerminkan gerakan reformis-modernis di tempat lain di dunia Islam seperti Turki Muda di Empayar Uthmaniyyah dan Sarekat Islam, Muhammadiyah, dan Persatuan Islam di Indonesia. Antara tokoh Kaum Muda yang terkemuka di Tanah Melayu adalah seperti Syed Shaykh Ahmad Hasan al-Hady, Shaykh Tahir Jalaludin al-Azhari (1869-1957), dan Abbas Mohd. Taha (1885-1946). Pada waktu itu mereka menghasilkan pelbagai penerbitan yang terkenal seperti majalah Al-Imam (1906-1908), Neraca (1911-1915), Edaran Zaman (1925-1930), Al-Ikhwan (1926-1931), dan Saudara (1928-1941).
Kebanyakan karya Kaum Muda tertumpu kepada pembacaan semula sejarah dan kesusasteraan Islam bagi merumus ideologi, cadangan, dan amalan agama yang berbeza daripada Kaum Tua yang dianggap sebagai “tradisionalis”. Syed Shaykh al-Hady, khususnya, bukan sahaja terkenal sebagai seorang peguam syar’i, pendidik, peniaga, dan penerbit, tetapi juga sebagai wartawan dan sasterawan prolifik yang memainkan peranan besar dalam polemik dan propaganda Kaum Muda.
Tulisan ringkas ini cuba untuk mengetengahkan beberapa pemikiran utama Syed Shaykh al-Hady tentang ekonomi dan pembangunan yang jarang diberikan perhatian berbanding pencapaiannya dalam hal ehwal agama, sosial dan sastera.
Membaca Dunya ke Din
Kebanyakan pemikiran ekonomi yang diutarakan oleh Syed Shaykh bukanlah baharu atau tidak pernah dibincangkan dalam wacana agama. Tulisan beliau menyamai apa yang telah ditegaskan oleh para ulama lain sebelumnya seperti Muhammad Hassan al-Shaibani (750- 805 CE) dan Muhammad ‘Abduh (1849 – 11 Julai 1905). Namun, di Tanah Melayu sebelum Merdeka, Syed Shaykh adalah orang pertama yang membaca preskripsi moden Kaum Muda ke dalam teks Islam bagi meningkatkan sosio-ekonomi dan kemajuan umat Islam, dan mengutarakannya kepada orang Melayu-Islam yang umumnya masih mundur pada masa itu.
Syed Shaykh menafsirkan perintah etika dan kerohanian agama dalam memperbaiki keadaan material umat Islam. Sebagai contoh, beliau menekankan ajaran Rasulullah bahawa tiada makanan bagi seorang Muslim yang lebih baik daripada makanan yang datang dari hasil kerjanya sendiri. Dia juga mengingatkan pembacanya tentang ajaran Al-Quran bahawa Allah menciptakan bumi untuk manusia. Oleh demikian, manusia harus mencari dan memanfaatkan anugerah yang telah diciptakan kepadanya. Menurut beliau, Allah membantu orang yang menolong dirinya sendiri.[1]
Syed Shaykh juga menukar anjuran kepada kehidupan bermoral dan menjauhi semua yang tercela dengan menyeru kepada kerja beretika menjadi suatu peringatan berbentuk “self-help.” Syed Shaykh menyebutkan bahawa perintah dan etika seperti yang diajarkan oleh Rasullullah—turut dinyatakan dalam Al-Quran—bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi berfungsi sebagai “undang-undang” sejagat untuk kemajuan material umat manusia. Sesiapa yang melanggar undang-undang pembangunan, kemajuan, dan kesejahteraan sedemikian akan mengalami kesan sebaliknya dan akan jatuh dalam kesusahan dan kemusnahan. Syed Shaykh memaparkan kejayaan negara-negara Eropah yang menurutnya telah maju dan moden kerana mereka berpegang kepada prinsip Islam.[2]
Mengubah tumpuan
Agama adalah untuk kemenangan di dunia dan di akhirat, kata Syed Shaykh. Atas sebab itulah umat Islam telah jatuh dan kalah kepada Barat—kerana meninggalkan ajaran yang boleh membawa mereka untuk kemuliaan. Umat Islam telah menyimpang dari kebenaran, menjadi lemah, dan berpecah-belah. Bagi Syed Shaykh, orang Islam boleh memperbaiki keadaan tersebut hanya jika mereka menghayati etika Islam.
Islam mendorong umatnya untuk berjuang dan bersaing, tetapi ia juga menyediakan peraturan supaya persaingan dan perjuangan itu boleh dijalankan dengan seimbang dan tidak keterlaluan atau melanggar hukum yang akan menghancurkan masyarakat manusia sendiri. Ketika mengejar kepentingan diri mereka, hukum dan larangan Allah sering dilupakan.
Inovasi dan kemajuan
Bagi Syed Shaykh al-Hady, Islam adalah agama yang memenuhi keperluan perubahan yang rasional, progresif, berdaya saing dan dinamik. Hal ini bertentangan dengan pandangan kelompok tradisionalis. Kerana beban tradisi dan warisan pemikiran yang mengagungkan ritual yang mekanistik, maka pandangan kelompok tradisionalis sering bertakung dan menjurus kepada penindasan. Syed Shaykh berkata, Islam hanya menekankan pada intipati, asas, dan etika berbanding pandangan dan tingkah laku yang tidak berubah.[3]
Islam merumuskan pedoman hidup secara umum: menolak kemungkaran dan menyuruh kepada kebaikan; kehidupan di bumi tidak boleh ditentukan hanya dengan satu set peraturan untuk semua keadaan; masa, tempat dan budaya manusia berbeza-beza. Manusia diizinkan oleh Allah untuk mentafsirkan suruhan agama sesuai dengan zaman, keadaan, dan cara hidup.
Sebagai contoh, Syed Shaykh menunjukkan bahawa rukun haji merupakan salah satu cara Allah mempromosikan perdagangan dalam kalangan umat Islam. Beliau membandingkan perhimpunan ritual masyarakat dari seluruh dunia Islam dengan usaha yang dilakukan oleh orang Eropah untuk menganjurkan perhimpunan perdagangan besar untuk mempromosikan perdagangan antara negara mereka. Di negara moden yang hebat, kata Syed Shaykh, golongan elit sentiasa menganjurkan pelbagai pameran besar untuk orang ramai melihat apa yang mereka sediakan dengan kos yang tinggi. Ini boleh memberi manfaat kepada perdagangan, industri, kraf dan sebagainya. Tidak pernah ada pameran yang lebih hebat di bumi, kata Syed Shaykh, selain pameran Allah di Mekah, iaitu haji.[4]
Kesimpulan
Idea Syed Shaykh—dan idea-idea reformis awal abad ke-20 yang lain secara amnya—membuktikan terdapatnya perubahan tumpuan daripada sistem etika tradisionalis yang tertumpu kepada akhirat dan fikah, kepada persoalan besar duniawi. Ia memberi preskripsi kepada urusan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam dan artikulasi kerangka Islam dan falsafah sosial untuk pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Idea dan tulisan Syed Shaykh al-Hady bukan sahaja menafsirkan tradisi dan tindakan beretika kepada satu tafsiran secara berlainan, tapi juga menafsirkan tradisi dan etika Islam sebagai preskripsi untuk hal ehwal sosial, ekonomi dan politik umat Islam. Malah, beliau juga memperkenalkan “matlamat agama” yang berbeza. Kepentingan Islam kepada masyarakat Melayu, menurut Syed Shaykh, adalah lebih daripada sebagai agama untuk menyelamatkan umat daripada cabaran, gangguan, dan godaan duniawi demi keselamatan dan penebusan di akhirat.
Di tangan para reformis seperti Syed Shaykh dan rakan-rakan seperjuangannya, usaha untuk memberi keseimbangan dalam kehidupan umat Islam menjadi satu tugas utama. Dengan cara itu manusia secara keseluruhan dapat berkembang maju di dunia.
Fauwaz Abdul Aziz merupakan seorang Penyelidik Projek di Program Sejarah dan Serantau, Penang Institute.
[1] Agama Islam Menyuroh Berusaha dan Bekerja’, al-Ikhwan, Vol. IV (16 June 1930), 248-9) dipetik dalam Gordon, Alijah (ed.) (1999). The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady: With Selections of His Writings by His Son, Syed Alwi. Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute.
[2] Ada-kah Kaum Melayu ini Dapat Melepaskan Wujud-nya daripada Fana dan Hapus? Apakah penyakit ketewasan semua kaum Islam masa ini di-dalam medan peperangan kehidupan?”, al-lkhwan, Vol. 2 (16 October 1930) 33-42, dipetik dalam Gordon, Alijah (ed.) (1999). The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady: With Selections of His Writings by His Son, Syed Alwi. Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute.
[3] Antara al-lkhwan dengan Ketua-ketua Agama”, al-lkhwan, Vol. III, (16 November 1928) 90-2, dipetik dalam Gordon, Alijah (ed.) (1999). The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady: With Selections of His Writings by His Son, Syed Alwi. Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute.
[4] Maaruf, Shaharuddin. (1988). Malay Ideas on Development: From Feudal Lord to Capitalist. Singapore: Times Books International.