Ramadan semakin menghampiri penghujungnya. Kita tidak tahu adakah masih ada kesempatan untuk kita menyambutnya lagi pada masa akan datang. Namun, seperti hidup, setiap yang hilang akan ada penggantinya. Kini, tirai Syawal semakin terbuka dan umat Islam sekali lagi akan menyambut kemenangan setelah satu bulan berpuasa. Bulan Syawal adalah masa untuk kita mensyukuri apa yang dimiliki, dan kita merayakannya dengan cara tersendiri.
Terbit sahaja fajar pertama Syawal, anak-anak kecil mahupun dewasa bergaya dengan baju baharu. Tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat-handai sudah menjadi suatu kewajipan. Kita merasa tidak sedap hati andai ada rumah yang belum dikunjungi. Sudah tentu, pada hari raya, makanan sentiasa tidak luak di atas meja. Hanya pada musim ini sahaja kita akan menjamah makanan-makanan baharu atau yang jarang dihidangkan pada hari-hari biasa.
Sewaktu usia kecil, Syawal adalah bulan yang paling menyeronokkan dalam hidup saya. Tidak seperti selalunya, saya akan bangun lebih awal pada pagi pertama hari raya. Alasannya saya tidak mahu berebut-rebut bilik mandi dengan ahli-ahli keluarga lain, yang ramai daripadanya adalah perantau. Sejuk air subuh tidak terasa kerana teruja menyambut Syawal.
Seperti anak-anak kecil lain, bulan Syawal juga boleh diibaratkan sebagai bulan untuk saya “menumpuk kekayaan”. Saya menjadi seperti pengutip cukai—bersalam kaut dengan ahli keluarga, berjalan dari rumah ke rumah untuk mendapatkan duit raya. Bayangkan keseronokan anak kecil yang usianya sekitar 6 hingga 12 tahun memegang wang tunai dalam jumlah yang banyak. Dengan wang di tangan, di mata saya pada ketika itu, tidak lain, hanyalah permainan baharu. Namun, niat untuk menghabiskan wang dengan jalan sedemikian seringkali dibantah oleh ibu dan ayah. Duit raya, kata mereka, harus disimpan.
Sesungguhnya, keasyikan hari raya tidak sekadar itu. Pada bulan Syawal juga banyak filem menarik akan ditayangkan semula di kaca televisyen. Di rumah saya, ruang tamu bertukar menjadi panggung wayang mini apabila seluruh ahli keluarga berkumpul untuk menonton filem yang ada. Sambil menonton filem, mulut tidak berhenti mengunyah pelbagai jenis biskut raya. Sedar tak sedar, habis satu balang biskut meskipun tayangan filem baru separuh.
Walau bagaimanapun, ketika usia menginjak dewasa, keterujaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sedikit mengendur. Mungkin kerana usia yang sudah meningkat dan matang. Menjadi dewasa, giliran saya pula untuk memberi duit raya kepada ahli keluarga dan anak-anak kecil. Kepuasan dapat dirasai apabila dapat berkongsi sedikit rezeki dengan insan tersayang. Meskipun amalan memberi duit raya bukanlah amalan yang wajib, namun niat untuk berkongsi itu yang mengindahkan amalan ini.
Saya pasti, pengalaman peribadi saya ini adalah hampir sama dengan orang lain yang merayakan Hari Raya Aidilfitri. Perbezaannya mungkin hanya pada skala sambutan—ada orang menyambutnya dengan sederhana, ada yang lebih mewah.
Namun, manusia berubah sesuai dengan zaman. Cara kita meraikan dan memaknai hari raya juga berubah-ubah mengikut waktu. Malah, kerana terlalu teruja dengan hal-hal yang bersifat kebendaan, kita mungkin semakin menjauh dari dasar atau intipati dalam menyambut hari raya. Syawal adalah lambang bagi upaya umat manusia untuk kembali ke fitrahnya—kembali menjadi manusia.
Sudah menjadi kelaziman pada pagi raya untuk kita duduk berkumpul bersama ahli keluarga, dan sepertimana selalunya, kita akan meneruskan tradisi bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Pada waktu itu, air mata mengiringi kenangan kita akan dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan pada masa lalu. Namun demikian, adakah upacara bermaaf-maafan hanya sekadar satu tradisi yang diulang setahun sekali pada hari raya?
Seharusnya, tradisi ini perlu dibiasakan dalam kehidupan seharian kita. Tidak perlu untuk kita menunggu selama setahun untuk memohon kemaafan. Kita boleh sahaja terus memohon maaf jika melakukan salah dan silap. Malah, keikhlasan juga penting dalam memohon kemaafan. Jangan kita jadikan sesi pagi raya ini hanya sebagai pelengkap acara namun selepas sesi tersebut kita membentuk dosa baharu. Tepuk dada tanya keikhlasan kita!
Kita juga sering menganggap bahawa hari raya adalah masa untuk kita meluangkan masa bersama keluarga. Namun dalam kemajuan teknologi pada hari ini, perkara itu belum tentu lagi berlaku. Sebaliknya, kita kebanyakannya lebih gemar untuk meluangkan masa dengan telefon pintar masing-masing.
Ibu bapa kita mungkin tersenyum melihat kita bersama mereka, tetapi hati kecil mereka mungkin meraung kerana tatapan mata kita bukan pada wajah mereka tetapi pada layar telefon. Kelibat anak kecil yang datang ke rumah untuk mengutip duit raya juga semakin berkurangan kerana semakin ramai yang lebih cenderung menghabiskan masa dengan gajet masing-masing.
Hari Raya Aidilfitri juga kadangkala mendedahkan ketidakseimbangan dalam cara kita—baik dalam konteks keluarga mahupun masyarakat—melayani lelaki dan perempuan. Mengapa saya berkata demikian? Di rumah, tidak sedikit daripada kita yang masih berpegang teguh dengan pemikiran bahawa kaum wanita selayaknya duduk di dapur, dan kaum lelaki hanya duduk di ruang tamu, bergelak ketawa bersama tetamu. Keadaan sebegini membuatkan saya terfikir, adakah jatuh maruah seorang lelaki jika diterbalikkan kedudukan itu?
Jika kaum lelaki tidak mampu melaksanakan tugas di dapur untuk menyediakan juadah, tidak salah andai mereka menghulur bantuan seperti mencuci pinggan mangkuk. Pihak lelaki juga perlu merasai kepenatan yang dialami oleh kaum wanita dan dengan cara ini baru kita lebih memahami dan menghargai mereka.
Kritikan sosial yang dinyatakan ini seperti menghakis keindahan Syawal, tetapi kita tidak pernah sedar akan perkara tersebut. Kita hanya ingin bergembira tanpa sedar kita telah melukakan hati insan yang tersayang. Kita juga ibarat mengotorkan bulan Syawal ini dengan sikap kita sendiri.
Tahun ini, kita akan kembali menyambut Syawal seperti tahun-tahun sebelum wabak Covid-19 melanda. Seluruh umat Islam dan juga bukan Islam menanti-nanti Syawal pada tahun ini dengan penuh keterujaan. Mungkin ini adalah masanya untuk kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan menyingkirkan sikap yang negatif seperti yang disebutkan. Raikanlah Syawal kali ini dengan penuh keikhlasan, kasih sayang dan kesederhanaan supaya kita dapat merasai nikmat Syawal yang lebih bermakna.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.