Laut ditimba tak akan kering. Begitulah pengajaran yang dipelajari selepas menghadiri Penang International Halal Expo and Conference 2030 (PIHEC) yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini. Bagi kebanyakan masyarakat bukan Muslim, konsep halal sering dikaitkan dengan persijilan tempat makan yang tidak menyidangkan daging khinzir dan arak. Sebagai seorang bukan Muslim, saya menganggap produk halal adalah lapisan tambahan bagi jaminan kualiti, terutamanya semasa membeli ayam segar di pasar raya. Namun, konsep halal sebenarnya meliputi banyak lagi aspek seperti amalan tatacara pengendalian yang bersih dan bertertib.
Semestinya industri halal amat penting bagi ekonomi tempatan dan antarabangsa. Menurut statistik, Islam adalah agama yang berkembang dengan paling mendadak. Industri halal antarabangsa yang bernilai USD 2 trilion dijangka akan meningkat sehingga USD 4.96 trilion pada tahun 2030. Justeru, industri halal berpotensi untuk diterokai dengan lebih jauh. Selain sektor makanan, perdagangan, pelancongan, fesyen, teknologi, serta sektor-sektor yang terlibat secara langsung seperti logistik, farmaseutikal, perkhidmatan kewangan, media, dan sektor awam juga terlibat dalam rangkaian ekonomi halal.
Pada zaman teknologi maju seperti hari ini, sebarang urusan perniagaan, perbankan, dan pembuatan dapat dilakukan dengan mudah, cekap, dan jitu. Malaysia kini kian pulih daripada kesan buruk wabak dan lonjakan inflasi yang menjejaskan kos menjalankan perniagaan. Oleh itu, penggunaan teknologi digital adalah mustahak untuk segala jenis perniagaan. Sebagai sebuah industri yang masih banyak bergantung kepada pen dan kertas serta kaedah pengeluaran makanan tradisional, satu-satunya cara industri halal dapat mengekalkan unjuran pertumbuhan adalah dengan mengamalkan teknologi digital secara meluas. Oleh itu PIHEC 2023 memberi tumpuan kterhadap pameran penyelesaian digital yang akan memberangsangkan sektor halal.
Ekonomi Halal Antarabangsa
Setelah dua tahun menangani wabak, sektor perdagangan antarabangsa dikatakan semakin pulih. Namun, kenaikan harga barangan akibat saingan geopolitik, keselamatan makanan, dan perubahan iklim menyebabkan gangguan dalam rantaian bekalan sedunia. Oleh itu, kerjasama serantau melalui perjanjian persefahaman perdagangan seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) adalah penting untuk memudahkan proses pengedaran dan pergerakan barangan serantau bagi negara-negara ahli. Selain itu, perniagaan tempatan digalakkan untuk meluaskan pasaran mereka ke luar negara melalui import-eksport barangan dan perkhidmatan. Usaha sebegini mampu meningkatkan pendapatan usahawan-usahawan yang mengambil peluang untuk berniaga dengan syarikat-syarikat luar negara di samping mengharumkan nama negara.
Pada bulan Jun 2023, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) berhubung Pengiktirafan Bersama Persijilan Halal Bagi Produk Domestik. Melalui memorandum ini, produk dan logo persijilan halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf di Indonesia sementara produk dan logo Persijilan Halal Indonesia oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) turut diiktiraf oleh Malaysia. Memorandum ini memudahkan barangan yang mempunyai persijilan halal menembusi pasaran kedua-dua negara. Sekiranya badan-badan persijilan halal serata dunia dapat diseragamkan ataupun menggunakan garis panduan yang sama, maka urusan mengimport dan mengeksport barangan halal antarabangsa mampu berjalan dengan lebih lancar.
Pasaran halal berkembang dengan pesat disebabkan saiz pasaran pengguna di seluruh dunia yang besar. Sebanyak 25% penduduk dunia adalah beragama Islam manakala 42% penduduk di Asia Tenggara adalah beragama Islam. Oleh itu, agak munasabah untuk usahawan-usahawan menceburi pasaran halal yang luas ini. Tambahan lagi, pasaran halal bukan untuk orang Islam sahaja. Halal adalah jenama universal kerana ia tidak terbatas kepada penyembelihan, tetapi juga merangkumi nilai-nilai seperti ketelusan dan kebersihan. Boleh dikatakan bahawa prinsip dalam konsep halal adalah piawaian yang hampir sama dengan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan mahupun cara hidup harian.
Penang Halal International
Pulau Pinang mampu memainkan peranan utama dalam pembangunan industri halal. Kedudukan geografi Pulau Pinang adalah strategik iaitu di tengah-tengah laluan maritim dan tanah besar Asia Tenggara, serta mempunyai sejarah sebagai entrepot untuk perdagangan serantau selama berabad-abad. Badan promosi dan pembangunan ekosistem halal di Pulau Pinang, iaitu Penang Halal International (PHI) bertanggungjawab untuk memupuk gaya hidup halal di samping memajukan industri halal untuk perdagangan halal tempatan dan antarabangsa. Strategi PHI tertumpu kepada pembangunan perniagaan tempatan supaya ia berorientasi ke arah eksport serta perkembangan kerjasama dalam ekosistem halal antarabangsa.
PHI turut memberi latihan kemahiran kepimpinan perniagaan, strategi rantaian bekalan, proses persijilan halal, dan persediaan eksport kepada perusahaan kecil dan sederhana, syarikat-syarikat baru, serta syarikat-syarikat matang. Pergerakan antara sektor dan rangkaian sempadan adalah penting untuk perkembangan perniagaan halal untuk menembus pasaran baru. Oleh itu, acara seperti PIHEC menjadi platform untuk pertukaran maklumat dan kenalan antara individu dalam ekosistem ekonomi halal tempatan dan antarabangsa seperti penggubal dasar, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional, dan ahli-ahli akademik.
Sebagai agensi negeri untuk pembangunan perniagaan halal, PHI juga merupakan penasihat kepada perniagaan tentang undang-undang dan garis panduan halal di Pulau Pinang dan Malaysia khususnya dalam mempercepatkan proses persijilan halal dan kesedaran tentang mekanisme sokongan agensi pembangunan industri halal pada tahap negeri dan negara.
Bagi masyarakat kebanyakan, ekonomi dan nilai-nilai dalam konsep halal sebenarnya terdapat dalam kehidupan harian. Antara yang paling ketara adalah tata tertib dan etika semasa berurusan dengan orang lain. Terdapat manfaat sekiranya mengambil ilham cara hidup halal bagi orang ramai tidak kira orang Islam, orang bukan Islam, mahupun kafir.
Dr. Beh May Ting merupakan penyelidik projek di Program Kajian Sejarah dan Serantau, Penang Institute. Beliau mendapat ijazah sarjana kedoktoran dalam bidang antropologi dari Monash University, Malaysia.