Sering kali kita mendengar ungkapan peluang kedua. Kebiasaannya peluang kedua ini adalah ruang yang diberi kepada seseorang untuk memperbaiki kesilapan atau kelemahan yang terjadi. Kita sering merasakan peluang kedua ini adalah perlu kerana nurani manusia menyatakan setiap manusia yang melakukan kesilapan berhak untuk dimaafkan. Tetapi adakah kita sedar bahawa ada masanya kita menafikan peluang kedua ini kepada satu golongan, iaitu bekas banduan. Kita telah menanam rasa tidak enak dalam diri kita dengan melabel golongan ini tidak berhak sama sekali mendapatkan peluang kedua.
Mie (bukan nama sebenar) merupakan bekas banduan Penjara Sungai Petani yang ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah. Kepulangan Mie ke kampung halamannya mendapat kecaman dan hinaan daripada penduduk kampung. Lebih menyedihkan, keluarganya juga enggan menerima dia kembali ke pangkuan keluarga atas kesalahan yang pernah dilakukan. Akibat penolakan dan tekanan yang diterima, Mie kembali melakukan jenayah dan kembali bergelar banduan. Ini adalah salah satu daripada ribuan realiti yang perlu dihadapi oleh bekas banduan kerana penafian peluang kedua terhadap mereka yang akhirnya telah membunuh moral golongan ini.
Sudah menjadi lumrah masyarakat kita yang memandang serong terhadap bekas banduan. Meskipun mereka sudah menerima hukuman dan balasan atas perbuatan mereka, namun stigma negatif masyarakat terhadap golongan ini masih utuh dalam jiwa. Mengapa ini terjadi? Adakah mereka tidak berhak untuk mendapatkan peluang kedua seperti mana kita berikan kepada insan yang kita sayang? Adakah kerana dosa dan kesilapan lampau mereka itu akan meracuni jiwa dan moral kita?
Keengganan masyarakat untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan ini telah banyak merosakkan moral dan menakutkan golongan ini. Malah, keengganan masyarakat juga telah menyebabkan persepsi negatif terhadap golongan ini terus berlegar dalam lembayung masyarakat kita. Penerimaan masyarakat adalah harapan yang diidamkan oleh golongan ini selepas tamat hukuman yang dijalani oleh mereka. Harapan ini diperlukan untuk permulaan langkah yang lebih suci daripada sebelum ini dan peluang kedua ini juga adalah idaman mereka untuk menyumbang sesuatu yang bernilai kepada masyarakat.
Layakkah Diberi Peluang Kedua
Tidak dapat dinafikan, perbuatan jenayah golongan ini adakalanya melampaui akal fikiran manusia. Perbuatan mereka ini juga telah memusnahkan harapan dan impian mangsa jenayah mereka. Benar, kemaafan itu sangat sukar diberikan kepada golongan ini kerana trauma dan ketakutan yang dialami oleh mangsa kejahatan mereka. Namun, adakah mereka tidak layak mendapat peluang kedua meskipun hukuman dan balasan telah diberikan kepada mereka? Tidak bermaksud untuk mengiyakan perbuatan jenayah golongan ini namun ada sesuatu yang perlu kita renungkan agar pemikiran kita dapat diubah.
Menjalani kehidupan sebagai seorang banduan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Terkurung di sebalik jeriji besi dan dikelilingi tembok yang tinggi untuk suatu tempoh masa yang lama mampu meragut kewarasan seseorang manusia yang sebelum ini bebas bergerak. Keadaan sebegini sedikit sebanyak telah mengoyak nafsu dan keegoan mereka supaya meratapi akan kesalahan lalu yang dilakukan. Program-program khusus seperti program kerohanian yang diatur oleh Jabatan Penjara Malaysia pastinya telah menerbitkan keinsafan dalam diri setiap banduan ini. Namun mengapa kita sebagai masyarakat sukar untuk menerima kembali golongan bekas banduan ini ke dalam masyarakat kita?
Peluang kedua perlu diberi kepada golongan ini agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang lalu dan stigma negatif terhadap bekas banduan perlu dihakis daripada kelompok masyarakat kita agar golongan ini tidak tersisih. Penerimaan masyarakat mampu menguatkan keazaman golongan ini untuk terus berubah ke arah yang lebih baik dan tidak mustahil keadaan ini akan mewujudkan persekitaran masyarakat yang lebih harmoni dan tiada sikap prejudis. Hakikatnya, pengalaman dan pengajaran yang diterima bekas banduan ini perlu dijadikan teladan kepada anak bangsa kita supaya kesilapan yang sama tidak dilakukan.
Tanpa kita sedari, keterbukaan masyarakat untuk memberi peluang kedua kepada golongan ini juga boleh membantu pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini tidak mustahil berlaku sekiranya golongan ini diberi peluang pekerjaan selepas mereka dibebaskan. Penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan ini dapat membantu mereka meneruskan kehidupan di dunia yang penuh onak dan duri ini. Malahan, melalui kemahiran yang dipelajari mereka semasa berada di penjara, ianya dapat membantu para majikan untuk mendapat kualiti kerja yang baik dan mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber tenaga kerja asing yang kini dilihat semakin mencabar.
Kesilapan Yang Berulang
Keengganan masyarakat untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan ini akan mendorong golongan ini untuk mengulangi kesilapan mereka. Ini adalah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita dan ianya sangat membimbangkan. Ketiadaan sokongan dan sikap prejudis masyarakat terhadap golongan ini akan menyebabkan kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi rapuh. Bukan mudah untuk meneruskan kehidupan selepas dibebaskan dengan keadaan ekonomi semasa yang mendesak dan situasi ini menyebabkan mereka memilih jalan pintas untuk meneruskan kehidupan.
Para bekas banduan ini sedar akan realiti bahawa sukar untuk mereka diterima kembali oleh masyarakat. Keadaan sebegini akan menyebabkan mereka mencari rakan-rakan yang pernah melakukan jenayah bersama-sama sebelum ini bagi meneruskan kehidupan. Hal ini kerana mereka tahu bahawa hanya insan seperti mereka sahaja yang mahu menerima. Tindakan sebegini akan menyebabkan mereka terjerumus semula ke kancah kejahatan yang pernah dilakukan. Jika keadaan ini dibiarkan, mereka akan sebati dengan perbuatan jahat itu dan akan terus menjadi pembinasa dalam kehidupan masyarakat.
Kesalahan berulang daripada bekas banduan ini sudah pasti akan menambah lagi persepsi negatif terhadap golongan bekas banduan. Tidak semua golongan ini mengulangi perbuatan jenayah mereka selepas selesai menjalani hukuman, namun persepsi negatif ini akan melatari kesemua bekas banduan. Keadaan ini akan menyukarkan lagi usaha dan niat golongan ini yang benar-benar ingin berubah ke arah kebaikan dan ianya akan menafikan hak mereka sebagai sebahagian daripada anggota kelompok masyarakat kita. Jika keadaan ini terus berlaku, masyarakat akan dilihat sebagai pembunuh moral manusia lain.
Peluang Kedua Milik Semua
Golongan bekas banduan juga berhak untuk hidup dalam masyarakat secara normal meskipun sejarah hidup mereka diseliputi lumpur-lumpur kejahatan. Seseorang yang melakukan kejahatan tidak akan kekal melakukan kejahatan dan seseorang yang melakukan kebaikan tidak akan terlepas daripada melakukan kejahatan. Menghakimi seseorang itu bukanlah tugas utama kita sebagai manusia tetapi meraikan keharmonian dan membuka peluang untuk perubahan adalah tugas mulia yang wajar untuk kita laksanakan.
Peluang kedua wajar diberikan kepada bekas banduan agar mereka dapat meneruskan hidup mereka dengan lebih sempurna usai menjalani hukuman. Tidak bermaksud kita menyokong kejahatan yang pernah dilakukan mereka, namun peluang yang diberikan ini adalah usaha untuk masyarakat menghindarkan bekas banduan daripada terjerumus semula dalam lembah kejahatan.
Meskipun langkah ini akan mewujudkan perdebatan mengenai nasib mangsa kejahatan bekas banduan ini, perlu kita ingatkan diri bahawa bekas banduan ini sudah menerima hukuman atas perbuatan mereka dan ianya sudah cukup untuk memberi pengajaran buat mereka. Justeru, peluang kedua itu adalah milik semua dan semua pihak berhak untuk menerima peluang kedua.
Lokman Redzuan merupakan seorang Pembantu Penyelidik/Pentadbiran di Penang Institute. Bidang kajian beliau adalah keselamatan sempadan, dasar luar negara, jenayah rentas sempadan dan polisi keselamatan.
Gambar oleh skywardkick (Twenty20)