Setiap kali saya bergerak ke Kuala Lumpur, saya lebih selesa menggunakan sistem perkhidmatan KTM komuter. Berbeza dengan memandu kenderaan sendiri, sepanjang perjalanan menaiki KTM komuter, saya boleh merehatkan minda, merenung jauh melalui tingkap koc komuter, menikmati pemandangan hijau dengan fikiran yang lapang atau membaca novel pilihan. Penat membaca, saya mendongak, mata melihat secara berhemah gelagat penumpang yang baru menaiki kereta api dan sedang tercari-cari tempat duduk. Ada penumpang yang berjalan menuju ke kantin koc untuk membeli makanan dan minuman, dan ada juga penumpang yang mengukir senyuman memberi salam lalu bertukar menjadi sahabat seolah-olah telah “lama mengenali.”
Setiba di KL Sentral, saya terus membeli token tiket di mesin, bergerak ke laluan dan kemudian menyentuh token di ruang yang disediakan dan terus ke platform menunggu untuk menaiki Transit Aliran Ringan (LRT). Sistem pengangkutan LRT yang berjadual dan sentiasa tiba tepat pada masa menjadikan sistem ini lebih cekap berbanding pengangkutan awam lain.
Di dalam LRT, suasana lebih selesa kerana berhawa dingin dan kerusi penumpangnya berkusyen, khususnya untuk orang kurang upaya (OKU), orang tua, dan ibu mengandung. Laluan untuk penumpang berdiri juga lebih luas dan disediakan tempat pemegang yang selesa.
Tidak seperti pengangkutan bas, masa ketibaan adakala tidak tepat bergantung kepada jumlah penumpang dan banyak masa terbuang kerana terpaksa menunggu. Maka, sistem perkhidmatan LRT lebih menjadi pilihan orang ramai khususnya di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.
Apa yang saya perhatikan ketika berada di dalam LRT, majoriti pengguna LRT adalah golongan muda, masing-masing dengan name tag bergantungan di leher. Agaknya mereka mungkin dalam perjalanan ke tempat kerja lebih-lebih lagi pada awal pagi sebelum waktu pejabat bermula. Perkhidmatan LRT ini secara tidak langsung telah meningkatkan mobiliti buruh dari seluruh pelosok tempat. Alangkah selesanya golongan pekerja seperti saya apabila sistem pengangkutan LRT siap dibina di Pulau Pinang nanti! Ia bukan sahaja selesa, mudah, dan jimat untuk bergerak ke tempat kerja, malah sistem pengangkutan awam seperti ini akan merancakkan lagi ekonomi dan memangkin pertumbuhan negeri Pulau Pinang.
LRT adalah sistem tren tradisional tetapi direka bentuk semula untuk menyediakan sistem perkhidmatan yang lebih efisien untuk memudahkan penumpang berulang alik antara bandar ke bandar. LRT mungkin melakukan perhentian lebih kerap di kawasan pusat bandar bagi menyediakan lebih banyak capaian kepada penumpang. Apa yang penting, saya tidak perlu berada dalam kesesakan lalu lintas, selain ia menjimatkan wang dan masa berbanding menggunakan perkhidmatan e-hailing yang jauh lebih mahal. Dengan perkhidmatan e-hailing, kenderaan bergerak secara perlahan kerana sering “tersekat” dalam kesesakan lalu lintas, jarak lebih jauh, dan perjalanan untuk ke sesuatu destinasi sudah tentunya memakan masa. Bagi pemandu yang tidak sabar, mereka akan “naik hantu” apabila laluan masuk dan susur keluar bandar menjadi sesak pada waktu puncak.
Seperti mana yang diketahui, pelaksanaan fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer. Ia dijangka akan dimulakan pada penghujung tahun ini. Kerajaan Pulau Pinang juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) untuk projek Tambakan Laut Selatan Pulau, Pulau Pinang (PSI). Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan LRT George Town–Bayan Lepas.
Selain itu, kerana kekurangan tanah, nilai tanah di Pulau Pinang amatlah tinggi. Oleh itu, pembinaan landasan LRT di ruang atas (landasan atas) dapat menjimatkan penggunaan tanah di negeri ini. Pembinaan LRT turut memberi impak yang besar kepada penggunaan tanah dan nilai harta tanah perumahan di kawasan berdekatan stesen berbanding dengan nilai hartanah perumahan di kawasan yang jauh dari stesen. Bagi sektor hartanah, pembeli, akan memilih untuk melabur rumah berdekatan dengan kemudahan pengangkutan LRT, kerana tentunya banyak permintaan penyewa rumah pangsapuri, kondominium dan apartmen di kawasan tersebut. Hartanah berhampiran stesen LRT biasanya lebih mahal kerana kemudahan mesra yang ditawarkan untuk pejalan kaki, bagi penyewa yang tidak memiliki kenderaan. Harga sewa bagi hartanah di kawasan tengah bandar dan komersial juga sudah tentulah jauh lebih mahal.
Dengan terbinanya LRT, sudah pasti dapat menarik lebih ramai pengguna dari sistem pengangkutan lain kerana ia memberikan penumpang pengalaman yang lebih baik. Perkhidmatan LRT adalah selesa, pantas, senyap, dan selamat. LRT juga mesra alam sekitar di mana rel ringan berkuasa elektrik mengurangkan pelepasan karbon dan menghasilkan kurang bunyi daripada mod transit lain, terutamanya bagi jumlah trafik kereta yang setaraf. Pengurangan pengguna kenderaan persendirian juga membantu merosotkan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak iaitu pada jam 8 pagi dan 5 petang, mengurangkan masalah rumah hijau, dan pencemaran udara.
Akhir sekali, kualiti kesihatan pengguna sistem pengangkutan LRT lebih terjamin kerana ia memberi pilihan kepada pengguna, terutama kepada pekerja untuk pergi dan pulang ke tempat kerja. Mereka juga boleh menjadi lebih produktif sambil menebus masa yang hilang di dalam kereta.
Dr Rahida Aini merupakan lulusan Ph.D dalam bidang Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia. Kini, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerbitan di Penang Institute.