Anak Manja Ibu
Kalau boleh ‘melekat’ dengan ibu saya pasti akan lakukannya. Sebab itu, pada usia lima tahun, saya sudah berada di dapur, menjalankan tugas yang saya anggap paling penting iaitu membelah bahagian Beronok (gamát atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides)
Latah: Reaksi Spontan Melawan Norma Sosial
Di Langkawi, sebelum sebarang kenduri atau rumah terbuka, kaum wanita—kebanyakannya yang sudah berusia—akan berkumpul untuk rewang. Saya yang duduk bersama mereka, dikelilingi tangan-tangan tua yang cekap dan mulut yang tak henti berbual, akan sentiasa terdengar gelak ketawa mereka yang riuh rendah. Biasanya, sebelum ketawa itu, ada sesi “mengajar” bermacam-macam kosa kata yang merangkumi alat kelamin lelaki, wanita, malah haiwan.
Ketika itu, saya fikir ini kelebihan menjadi orang tua. Siapa yang nak marah mereka kalau mencarut, bukan? Tapi bila saya semakin dewasa, saya sedar ini sebenarnya adalah Latah—satu ciri yang sering dikaitkan dengan wanita Melayu tua.
Latah merujuk kepada tindak balas spontan dan keterlaluan apabila seseorang terkejut atau berdepan tekanan mendadak. Ia boleh melibatkan pengulangan kata-kata, gerakan liar, makian, atau ketaatan tanpa sedar. Menariknya, mereka yang Latah biasanya tidak sedar mereka bertindak begitu, malah jarang ingat apa yang berlaku. Sebab itu, mereka sering “dimaafkan” walaupun berkelakuan luar biasa di tempat awam.
Namun, Latah sebenarnya bertentangan dengan nilai budaya Melayu yang sangat mementingkan kesopanan dan adat. Dalam Adat Raja-Raja Melayu, antara adat utama ialah melayukan diri (rendah hati), tidak mamang (lembut tutur kata), dan pandai menyimpan diri (bijak menjaga adab dan tingkah laku). Dalam bahasa orang muda sekarang, mereka sepatutnya jadi contoh “lembut dan ayu”.
Latah Dalam Perspektif Kolonial
Walaupun sudah lama menjadi sebahagian budaya Melayu, Latah hanya mula direkodkan pada abad ke-19 oleh pegawai kolonial British. Frank Swettenham, dalam bukunya Malay Sketches, mencatat pemerhatiannya terhadap dua pegawai polis Melayu yang Latah: Kasim Besar dan Kasim Kechil. Beliau mengkategorikan Latah kepada dua jenis—yang melucukan dan yang tidak.
Kasim Kechil sering menjadi mangsa gurauan rakan sekerja kerana sifat Latahnya. Contohnya, mereka pernah memaksanya memanjat pokok kelapa, dan dia patuh tanpa banyak soal. Sebaliknya, Kasim Besar, apabila dikejutkan, menjadi sangat bahaya—dia pernah mengejar rakan sekerjanya dengan bayonet.
Latah Sebagai Unsur Komedi
Dalam budaya kita, Latah sering dijadikan bahan jenaka. Filem seperti Kampung Latah Kena Kuarantin berjaya mencatat kutipan RM1 juta di Astro First dengan menjadikan Latah sebagai elemen utama. Dalam majlis sosial pula, golongan Latah sering menjadi sasaran usikan. Seseorang akan mencucuk pinggang mereka, dan mereka akan terjerit sesuatu yang spontan, sering kali mencuit hati orang sekeliling.
Namun, bagi wanita muda atau anak dara, Latah dipandang negatif. Ada yang beranggapan Latah dalam kalangan wanita muda adalah “lakonan” untuk menarik perhatian.
Mengapa Latah Berlaku?
Dalam psikologi, Latah diklasifikasikan sebagai sindrom terikat budaya (culture-bound syndrome). Walaupun begitu, dalam kalangan masyarakat Melayu, ia tidak dianggap penyakit. Sesetengah orang percaya ia berlaku kerana “lemah semangat”.
Latah lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita tua, yang sering dianggap lebih lemah secara fizikal dan mudah terkejut. Tekanan sosial untuk mematuhi adat, terutamanya dalam peranan sebagai penjaga tradisi dan pembimbing generasi muda, mungkin menyumbang kepada fenomena ini.
Peribahasa Melayu, biar mati anak, jangan mati adat, mencerminkan betapa pentingnya adat dalam masyarakat. Namun, ironinya, mungkin ketakutan untuk melanggar adat inilah yang mencetuskan Latah.
Latah mencerminkan bagaimana budaya dan tekanan sosial mempengaruhi tingkah laku. Dengan perubahan zaman dan sikap yang semakin terbuka terhadap pelbagai tingkah laku, adakah Latah akan hilang suatu hari nanti? Atau adakah ia akan kekal sebagai sebahagian daripada identiti budaya kita
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Husna Shafirah(2024). Latah: An Individual Reflex Against the Grip of Conformity. Penang Monthly, January Issue.
Husna Shafirah Helmirizal adalah pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian): Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Beliau kini menjalani latihan praktikal di majalah Penang Monthly bagi mendalami pengalaman menulis tentang budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan di Malaysia.