BUNYI itu datang dari arah sinki dapur. Ada pinggan tersadung. Ada bayang melintas. Ada ingatan terbuka pintunya. Ada parut dan luka lama yang mula berdenyut bisanya. Saya meletakkan cawan kopi. Saya memandang isteri saya yang sedang asyik menonton drama Korea di telefon. Dia tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Dia tidak menyedari musuh yang sudah menceroboh kediaman kami. Dia tidak membesar dengan derik dan decit tikus dalam kepalanya. Dia tidak dihantui oleh sejarah yang merayap dari bumbung ke dinding ke lantai naik ke meja turun ke kerusi lalu memanjat katil dan cadar putih mencari mangsa yang ia tidak pernah lupa dan melupakan.
Malam sebelum itu, saya berjumpa dengan pelukis Jalaini Abu Hassan untuk berbincang tentang majlis “Melakar Rentong, Melukis Ranjau,” di mana kami menjadi ahli panel bersama Saiful Razman dan Sarah Abu Bakar. Menurut Azrin Fauzi, yang lebih mengenali karya Jalaini, ada persamaan di antara imej-imej lukisan beliau dengan dunia alam Melayu Shahnon Ahmad. Namun, selepas berbual dengan Jalaini, pengalaman beliau ternyata terbatas pada novel Ranjau Sepanjang Jalan yang dibacanya ketika bangku sekolah. Saya bangkitkan satu persoalan penting kepada Jalaini: kematian. Dalam kesemua karya terbaik Shahnon, kematian ialah musuh terbesar yang berada di belakang tirai naratif. Kematian ialah musuh yang tidak boleh dilihat. Ia menjelma melalui bencana dan makhluk alam di Banggul Derdap. Watak-watak Shahnon hidup dan menderita menghadapi musuh yang sentiasa menang (kecuali, untuk sementara, dalam Rentong). Tetapi wajah Jalaini berkerut malam itu, seolah beliau tidak percaya kematian ialah unsur penting dalam kosmologi Banggul Derdap.
Justeru, di manakah sebenarnya kematian? Dalam duri nibong yang membunuh Lahuma? Dalam racun seekor ular? Dalam mata seekor harimau? Dalam deru angin kencang di tengah sawah? Kita hanya nampak dan mengenali kematian apabila kematian berlaku di depan mata. Tetapi kematian sentiasa menyusur di bawah lapisan kata-kata. Kematian berbisik saat watak-watak Shahnon bermonolog dengan diri sendiri. Semakin kuat fikiran mereka melawan, semakin kuat ia berbisik. Kematian ialah kebisingan yang tidak boleh didengari. Menurut Michel Serres, kebisingan ialah parasit: “Ia adalah yang asing. Ia adalah kuasa yang mengganggu, menunda, dan membuka ruang dalam sebuah sistem.” Parasit hadir dalam pelbagai bentuk:
Secara fizikal. Contoh, ketam-ketam yang makan padi. Atau duri nibong yang perlahan-lahan menyiksa dan meragut nyawa Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan.
Secara politik. Dalam novel Rentong, berlaku pertembungan di antara golongan petani yang inginkan kemodenan dengan golongan petani yang masih berpaut pada tradisi moyang. Keluarga Semaun melihat orang kampung seperti Jusoh, Lebai Debasa, dan Dogol sebagai parasit yang tidak menghormati perasaan tanah warisan moyang mereka sehingga sanggup menjarah untuk menanam padi dua kali setahun. Sementara Jusoh, Lebai Debasa, dan Dogol pula melihat keluarga Semaun sebagai parasit kerana mereka menghalang kemajuan dan membikin kecoh dalam kampung.
Secara metafizik. Hubungan penduduk Banggul Derdap dengan alam sekeliling menunjukkan hubungan dinamik di antara manusia dengan alam. Dari satu sudut, manusia adalah pewaris dan pelindung kepada khazanah alam. Tetapi manusia juga pemusnah; alam dipergunakan sewenang-wenangnya sehingga segala isinya disedut kering. Maka seperti lintah-lintah di tengah sawah, manusia adalah parasit di tengah alam.
Tetapi sebagai novelis, Shahnon sudah tentu tidak mengatur unsur-unsur parasit ini secara sedar. Beliau hanya bercerita. Dan beliau melukis dunia Banggul Derdap melalui detail-detail warna. Apabila membaca mana-mana karya Shahnon buat pertama kali, seseorang akan tertarik pada warna-warna di permukaan naratifnya. Ia bukanlah indah mahupun cantik dari jauh. Teksturnya kasar dan menggerutu; ibarat detail yang kita temui apabila kita merapatkan mata ke sekeping lukisan. Bak kata pengkritik terkenal Indonesia, H. B. Jassin, tulisan Shahnon “mencengkam, mempesona, dan menegangkan saraf.” Keindahan dan kematian sering kali hadir serentak dalam naratif terbaik Shahnon, seperti saat Lahuma keluar melawat sawahnya pada puncak malam:
Lahuma berjalan di atas permatang yang kecil dan panjang itu. Kakinya dicelupkan ke dalam air dan terasa sejuk benar. Dia duduk bertinggung di atas permatang dan menangguk air dengan tapak kanannya. Air bendang itu disapu pada mukanya. Dan kesejukan air bendang waktu malam itu menyegar Lahuma. Kemudian airnya dijentik-jentik beberapa kali dengan telunjuknya. Dan terkodek-kodeklah datang beberapa ekor lintah kerbau setelah berbau tangan manusia itu. Samar-samar ternampak binatang itu di atas permukaan air. Lahuma menghulurkan parangnya ke dalam air dan terkapuklah lintah kerbau itu beberapa ekor pada mata parang yang baru diasah itu. Seekor dua terjatuh semula ke dalam air.
Saya menuangkan air cerek mendidih ke atas tubuh tikus yang terjelepuk di penjuru dinding dapur. Decitnya bertalu-talu menyakitkan telinga. Maka saya pijak kepalanya dengan tapak kasut kulit sehingga suaranya senyap. Dan tulangnya berderik. Saya keluar mengambil penyodok sampah. Saya tendang bangkainya ke dalam penyodok. Saya cekup hidung sambil membawa penyodok ke arah longkang. Saya lepaskan bangkai busuknya ke dalam arus hitam yang mengalir deras. Saat hati saya lega, puas, saya terdengar gelak-ketawa dari dalam rumah.
Wan Nor Azriq merupakan seorang novelis kelahiran Alor Setar. Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku, antaranya novel berjudul D.U.B.L.I.N. yang memenangi Sayembara Penulisan PENA-BH pada 2014. Beliau kini bekerja sebagai Penolong Naib Presiden di bank MIDF. Esei ini lahir daripada karya yang pernah terbit dan hilang di ruang lain sebelum ini.