Industri pengurusan acara memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pelancongan di negeri Pulau Pinang. Ia bukan sahaja menarik kemasukan pelancong domestik, malah turut menarik kehadiran pelancong antarabangsa. Secara tidak langsung, ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memberikan impak positif terhadap aspek budaya dan sosial. Melalui perancangan strategik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pelbagai produk pelancongan yang unik dan menarik telah diwujudkan untuk meninggalkan kenangan bermakna kepada para pengunjung.
Peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini secara langsung dan tidak langsung dipacu oleh kesan positif daripada industri pengurusan acara. Acara-acara berprestij seperti George Town Festival, Penang International Food Festival, dan Penang Bridge International Marathon membuktikan bahawa acara berkonsepkan seni, budaya, sukan, dan makanan mampu dijadikan produk pelancongan yang berdaya saing. Kesan limpahan ekonomi dapat dilihat dalam sektor perhotelan, restoran, pengangkutan, serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
Industri pengurusan acara memberi impak positif kepada pemerkasaan ekonomi domestik. Bukan hanya sektor pelancongan yang terkesan tetapi juga membuka peluang perniagaan tempatan untuk lebih berkembang. Penganjuran festival makanan di Pulau Pinang membuka peluang kepada usahawan makanan dan restoran tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada sasaran yang lebih luas. Dengan ini, ia turut menambah baik peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan yang terlibat dalam pengendalian perkhidmatan semasa acara berlangsung, seperti penyediaan makanan, penginapan, dan pengangkutan.
Dari sudut sosial dan budaya pula, industri pengurusan acara berperanan sebagai duta budaya dan warisan negeri. Acara seperti Penang Heritage Trust, Walking Tour dan Penang Art Street Festival menjadi platform penting bagi masyarakat tempatan menonjolkan keunikan budaya, seni, dan sejarah negeri kepada pelancong. Acara-acara ini bukan sahaja merangsang semangat pemeliharaan warisan budaya, malah memperkukuh diplomasi budaya antara pelancong tempatan dan antarabangsa. Pengalaman yang diperoleh oleh para pengunjung dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap budaya tempatan dan menjadikan kunjungan mereka lebih bermakna. Secara keseluruhan, ini membantu membina dan mengekalkan imej Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unik dan autentik.
Namun demikian, kelestarian industri pengurusan acara bergantung pada keupayaannya untuk merancang program yang bersifat berterusan dan mampan. Tidak cukup sekadar acara bermusim, penganjuran perlu dilihat dari sudut kesinambungan jangka panjang. Acara tahunan seperti Penang International Film Festival dan Penang Bridge International Marathon merupakan contoh terbaik bagaimana sesebuah acara boleh memberi impak jangka panjang terhadap ekonomi dan pelancongan, di samping meningkatkan kredibiliti Pulau Pinang sebagai hab pelancongan bertaraf antarabangsa.
Satu lagi acara berprofil tinggi yang menonjolkan aspek pengurusan acara terbaik di Pulau Pinang ialah George Town Literary Festival (GTLF). Pada peringkat awal (2011–2014), GTLF dianjurkan oleh Penang Global Tourism sebagai penganjur utama. Mulai 2015, pengurusan festival ini beralih kepada Penang Institute, sebuah badan pemikir dasar awam yang berpusat di tengah-tengah bandar George Town, setelah mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB).[1] Pada tahun 2024, selepas perbincangan bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Institute memutuskan untuk mengambil alih sepenuhnya jenama dan pengurusan GTLF sebagai sebahagian daripada usaha institusi ini untuk memperkukuh peranannya dalam bidang pendidikan dan keterlibatan awam. GTLF kini menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang Penang Institute dalam mendekatkan masyarakat dengan sastera dan ilmu melalui penganjuran program sepanjang tahun di bawah jenama GTLF Plus, yang memuncak dengan festival tahunan.
Sebagai sebuah festival sastera antarabangsa yang berpengaruh di rantau ini, GTLF telah menjadi platform penting yang menghimpunkan penulis, penyair, penterjemah, cendekiawan dan peminat sastera dari dalam dan luar negara bagi meraikan ilmu, kreativiti dan pemikiran bernas. Festival ini juga pernah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila, pada ketika diuruskan oleh pihak penganjur terdahulu (PCEB), ia memenangi International Excellence Award for Literary Festival di London Book Fair pada tahun 2018 sekali gus mengangkat nama Pulau Pinang sebagai destinasi festival sastera yang berkualiti dan bertaraf dunia.
Walaubagaimanapun, acara GTLF turut menjadi wadah membincangan isu- isu sosial, politik, peranan wanita dalam masyarakat, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Perancangan program yang teliti, penyusunan kandungan yang komprehensif serta sokongan aktif komuniti menjadi contoh bagaimana pengurusan acara boleh menjadi kaedah memperkasakan pemikiran dan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat yang pelbagai.Banyak acara besar di Pulau Pinang digerakkan oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), sebagai salah satu agensi promosi negeri, memainkan peranan penting dalam menyokong dan menarik penganjur acara ke negeri ini. PCEB menyediakan khidmat rundingan, insentif, serta bantuan teknikal dan promosi bagi menjamin kejayaan acara yang dianjurkan.
Kerjasama kerajaan negeri dengan Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) memperkasakan lagi usaha menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai hab sektor pengurusan acara di peringkat antarabangsa. Agensi ini berperanan dalam menyokong dan menarik para pelabur untuk menjadikan negeri ini sebagai keutamaan destinasi pengendalian acara global dengan menyediakan khidmat rundingan, insentif bersasar, bantuan teknikal serta promosi. Ini secara tidak langsung menampakkan usaha keras Kerajaan Negeri dalam memastikan imej dan reputasi negeri ini terus mekar dalam sektor pengurusan acara di medan antarabangsa.
Bidang pengurusan acara juga telah dikembangkan ke sektor pendidikan melalui institusi pengajian tinggi termasuk universiti awam dan swasta. Beberapa institusi pendidikan telah mula menawarkan program di peringkat Diploma Pengurusan Acara dan Sarjana Muda Pengurusan Acara dengan Kepujian dalam usaha menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai bidang ini secara profesional. Usaha ini dilihat mampu menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang inklusif dengan melahirkan graduan professional yang berkemahiran tinggi dalam sektor pengurusan acara, sekaligus menyokong keperluan industri acara secara berterusan.
Dalam era pascapandemik, Pulau Pinang juga pantas menyesuaikan diri dengan norma baharu penganjuran acara. Banyak acara kini beralih kepada format hibrid, iaitu menggabungkan kehadiran fizikal dan maya. Hal ini membolehkan capaian lebih luas dan fleksibiliti yang lebih tinggi. Teknologi digital, platform siaran langsung, sistem pendaftaran dalam talian dan sistem penilaian peserta secara automatik kini menjadi elemen penting dalam setiap acara yang dianjurkan.
Pengunaan teknologi dalam bidang pengurusan acara juga menjadi perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya dalam era pascapandemik. Beberapa penganjur acara yang melibatkan sektor acara perniagaan seperti Meeting, Incentive, Conference dan Exhibition (MICE) telah banyak bereksperimentasi dengan teknologi terkini bagi memperkasakan penganjuran acara. Pendekatan hibrid yang mengabungkan kehadiran fizikal dan maya dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk mempertingkatkan kehadiran ke mana-mana acara. Platform siaran langsung, pengunaan sistem pendaftaran dan sistem penilaian automatis dilihat sebagai satu pendekatan yang lebih efisyen. Begitu juga dengan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang dilihat scara positif membantu para pengusaha acara memantapkan lagi perkhidmatan mereka dan bersaing dengan pasaran antarabangsa.
Industri pengurusan acara secara keseluruhannya memberi kesan yang sangat positif kepada sektor pelancongan Pulau Pinang. Negeri ini tidak sahaja berperanan menarik pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi juga mempertingkatkan daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi warga tempatan. Industri ini juga turut membantu dalam mempromosikan warisan dan budaya negeri ini melalui penganjuran acara yang terancang dan berstrategi. Akhir kalam, adalah sangat signifikan untuk Pulau Pinang terus berkembang dan maju serta memanfaatkan industri pengurusan acara sebagai salah satu strategi teras dalam pembangunan dan mempelbagaikan produk sektor pelancongan Pulau Pinang pada masa akan datang.
Muhammad Hafizi Bin Zamri merupakan Pensyarah Kanan Pengurusan Acara, Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan Uitm Selangor. Beliau banyak menulis berkisar tentang bidang pengurusan acara.
Rujukan
[1] Riadz Akmal. (2024). GTLT 2024: A celebration of words and ideas. Buletin Mutiara, November 29. https://www.buletinmutiara.com/gtlt-2024-a-celebration-of-words-and-ideas/#:~:text=Admin%20November%2029%2C%202024,ideas%20enriching%20Penang’s%20cultural%20landscape.