Sebagai pelajar, membaca telah menjadi tugas azali sehari-harian. Oleh itu, sebagai bentuk protes solo, saya mengelakkan diri daripada menjadikannya satu bentuk hobi. Justeru, festival kesusasteraan sering saya anggap sebagai wilayah asing yang jarang saya terokai.
Namun, bagai pucuk dicita ulam mendatang, Penang Institute diberi mandat sebagai penganjur Festival Kesusasteraan George Town 2024 (GTLF 2024), dan festival yang berlangsung selama tiga hari itu melabuhkan tirainya pada 1 Disember lalu. Saya berpeluang mendekati festival kesusasteraan melalui cara yang kurang konvensional—bukan sebagai peminat sastera, tetapi sebagai pelatih majalah Penang Monthly.
Oleh itu, ulasan saya mengenai GTLF 2024 ini akan merangkumi aspek kebolehcapaian dari perspektif khalayak umum yang tidak termasuk dalam kelompok bijak pandai sastera.
Words on the Street: Gosip atau Realiti?
Pada tanggapan awal saya, berbanding tema tahun lalu iaitu terra incognita (terma Latin yang bermaksud kawasan yang belum diteroka) yang mungkin sedikit menakutkan bagi golongan pemula seperti saya, tema ‘Words on the Street’ kelihatan seperti usaha kurator festival untuk meningkatkan kebolehcapaian sastera merentas semua golongan masyarakat.
Words on the Street, yang membawa maksud gosip, ura-ura dan desas-desus, pada pandangan saya, boleh dikaitkan dengan pemerkasaan golongan rentan—si tukang cerita jalanan yang mampu berkongsi luasnya dunia dari perspektif mereka, tanpa gangguan cahaya kamera-kamera.
Namun, selepas pelaksanaannya, saya masih tertanya-tanya. Sederhana temanya seperti tidak mampu melawan prestij elit festival kesusasteraan, atau mungkin itu bukanlah niat asal penganjurannya.
Menerusi perbincangan panel kesusasteraan GLTF 2024, Clément Baloup, Ong Chin Huat dan Shih-Li Kow, ‘Words on the Street’ diketengahkan sebagai tema yang menonjolkan gosip dan cerita peribadi sebagai alat naratif berkuasa dalam pelbagai sastera. Maka, terjawablah persoalan saya tentang tema ini.
Namun begitu, pada pendapat saya, tema ini sebenarnya berpotensi untuk mengembangkan capaian festival kepada khalayak lebih luas, melangkaui “orang dalam” dunia sastera.
Kebolehcapaian Merentas Golongan
Dalam sejarah sastera dunia, sastera pernah menjadi pemisah antara kelas-kelas masyarakat atas sebab untuk mengekalkan kuasa feudalisme. Kini, pemisahan tersebut lebih kompleks—festival sastera seperti rumah dengan pintu yang luas terbuka tetapi tidak semua tetamu berani untuk masuk.
Salah satu sebabnya ialah penganjuran festival (termasuk GTLF 2024) yang sering kali berfokus pada program sastera ilmiah dengan topik berat dalam format yang tidak begitu mesra—seperti perbincangan panelis, pelancaran buku, ucapan, sesi soal jawab, dan syarahan. Format ini sering menjauhkan festival daripada khalayak umum.
Namun begitu, GTLF 2024 memberi ruang kepada perubahan dengan memperkenalkan tayangan filem sastera secara terbuka di lokasi bersejarah George Town, Khoo Kongsi. Konsep ini memberi nafas baru dengan mengintegrasikan elemen digital dan budaya warisan Pulau Pinang.
Perlukah kita mengorbankan program-program ilmiah demi menarik lebih ramai pengunjung? Tidak semestinya. Festival sastera perlu kekal sebagai platform diskusi ilmiah, namun ruang-ruang di luar bilik diskusi boleh dimanfaatkan untuk program kecil yang lebih kasual bagi menarik pengunjung yang tidak begitu terlibat dengan dunia sastera.
Kebolehcapaian Merentas Usia
Sebahagian tugasan saya sebagai pelatih di bawah Penang Monthly ketika GTLF 2024 adalah membantu dalam bengkel “How to Start a Magazine 101”. Bengkel ini bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah menengah kepada proses penerbitan majalah.
Melalui pemerhatian saya, bengkel ini menarik minat pelajar dengan menonjolkan kebebasan kreativiti dan ekspresi diri dalam penulisan artikel. Ramai pelajar menghadapi kesukaran menulis, mungkin kerana terikat dengan format esei yang ketat dalam institusi pendidikan. Namun, selepas diberi tip menulis secara santai, mereka mampu mengolah idea dengan lebih bebas.
Pada hari sama, berlangsung juga program bercerita “Storytelling for the Young” yang menampilkan penerbit buku kanak-kanak seperti Anak Rimba Books dan August Moon. Program ini mendukung peranan ibu bapa dalam memupuk minat literasi sejak kecil.
Kebolehcapaian Merentas Deria
GTLF 2024 turut menyaksikan sesi penurunan tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Penang Monthly dan St. Nicholas Home, yang menyokong kebolehcapaian majalah untuk golongan terhad penglihatan.
Namun, kekangan kebolehcapaian di lokasi acara menyukarkan pengunjung daripada golongan terhad penglihatan untuk hadir. Saya berharap pada penganjuran akan datang, fasiliti khusus seperti gerai buku audio atau ‘human library’ disediakan bagi meningkatkan pengalaman mereka.
Husna Shafirah Helmirizal adalah pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian): Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Beliau kini menjalani latihan praktikal di majalah Penang Monthly bagi mendalami pengalaman menulis tentang budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan di Malaysia.