Ramai peminat automotif berkumpul di ruang legar utama Gurney Plaza apabila Tesla Malaysia mempamerkan Tesla Cybertruck pada bulan Jun 2024, bersama model paling laris mereka, Tesla Model 3 dan Tesla Model Y.
Sebaik tiba, mata saya terus tertumpu pada Cybertruck—rupanya macam kenderaan dari filem sci-fi dengan reka bentuk tajam, bersegi, dan futuristik. Saiznya memang luar biasa besar dari segi panjang, lebar, dan tinggi—menewaskan mana-mana 4×4 pengguna di pasaran Asia sekarang, malah menyaingi standard Amerika yang terkenal dengan trak besar seperti F-150, Silverado, Caddy, Tacoma dan sebagainya. Bayangkan kalau Cybertruck mula dijual di Malaysia dan orang Pulau Pinang membelinya—memang mustahil nak membelok dalam jalan sempit kita, apatah lagi bab parkir!
Tesla mengambil pendekatan unik dengan tidak mengecat langsung panel luar Cybertruck. Ya, satu titik cat pun tak ada. Sebaliknya, ia menggunakan rangka luar ,keluli tahan karat ultra-kuat yang boleh menahan hentaman tukul atau troli pasar raya yang dirempuh dengan sengaja. Satu lagi ciri utama ialah cermin perisai kalis retak yang boleh bertahan hentaman bola besbol yang dipukul pada kelajuan lebih 100km/j dan mampu menahan hujan batu Kelas 4 tanpa pecah. Cermin ini juga mempunyai teknologi pengurangan bunyi (acoustic glass) untuk kabin yang lebih senyap.
Masuk ke dalam kabin kereta, konsep “less is more’ ( Sedikit tapi berbaloi) jelas kelihatan. Di hadapan ada skrin sentuh Infinity 18.5 inci, manakala di belakang ada satu lagi skrin 9.4 inci. Hampir semua fungsi dikawal melalui skrin sentuh—pemanduan, penyaman udara, pencahayaan—semuanya. Untuk mereka yang obses dengan kebersihan, trak ini turut dilengkapi dengan ‘Bioweapon Defence Mode’ yang menapis 99.97% zarah udara sebelum masuk ke dalam kabin menggunakan penapis HEPA gred hospital. Ciri-ciri lain yang menarik termasuk cermin hadapan gergasi dengan pengelap paling panjang pernah dipasang pada kenderaan pengguna, ruang kargo sebesar balkoni kondominium, dan lampu-lampu yang sangat futuristik.
Tapi realitinya, kehadiran Cybertruck di Malaysia bukan untuk dijual – kecuali jika anda mempunyai wang sebanyak RM1.2 juta—tetapi adalah semata-mata untuk menarik perhatian kepada Tesla Model 3 yang baru. Model Y sudah biasa kita nampak di jalan raya, tetapi Model 3 dengan reka bentuk anggun dan prestasi padu benar-benar mencuri tumpuan. Rim hitam dibalut dengan tayar prestasi Pirelli P Zero, bersama aksen hitam pada pemegang pintu, spoiler belakang dan bingkai tingkap, memberi aura sporty yang eksklusif. Tapi ini bukan sekadar gaya—motor berkembar pacuan semua roda menghasilkan 460 kuasa kuda dan boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 3.1 saat, setanding dengan supercar tetapi pada harga yang jauh lebih rendah. Model 3 asas bermula pada RM181,000, manakala model Performance berharga RM242,000. Kalau nak tambah ciri canggih, ada pilihan Enhanced Autopilot pada harga RM16,000 untuk kawalan pemanduan dan pertukaran lorong automatik, serta RM32,000 untuk ciri “smart summon”—tetapi malangnya, ciri ini belum dibenarkan di Malaysia buat masa ini.
Kereta Elektrik di Jalanraya Pulau Pinang
Saya sekarang menggunakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), dan pernah memakai kereta hibrid yang ada sistem pendorong elektrik. Walaupun saya bukan pemilik EV—Tesla hanya keluarkan kereta elektrik sepenuhnya, manakala BYD ada EV dan hibrid—saya akui EV jauh lebih sesuai untuk jalan bandar, terutama di Penang, di mana kesesakan lalu lintas adalah perkara biasa. Ketika berhenti atau melahu, EV tidak membazir tenaga seperti kereta ICE dan hanya menggunakan kuasa bateri untuk alat penting seperti penyaman udara, skrin, dan pengecas telefon—tanpa pencemaran udara atau bunyi.
Tapi, ramai pemilik kenderaan yang mampu membeli EV masih ragu-ragu kerana infrastruktur pengecasan yang masih belum mencukupi. Dan secara jujurnya, orang Pulau Pinang juga terkenal dengan sikap kiasi (tak suka ambil risiko). Penang belum mesra EV sepenuhnya, tetapi kita sedang menuju ke arah itu dengan lebih banyak stesen pengecasan mula muncul di sekitar pulau dan tanah besar, terutamanya di pusat membeli-belah dan tempat letak kereta awam yang ditetapkan. Kita masih sangat bergantung pada kenderaan ICE, tetapi ramai yang mula terbuka untuk memiliki EV sebagai kenderaan kedua.
Cara paling logik untuk menggalakkan orang beralih kepada EV ialah dengan menambah lebih banyak stesen pengecasan di seluruh Penang. Ini kerana EV, seperti mana-mana peranti elektronik, perlukan masa untuk dicas, dan lebih banyak slot pengecas akan mengurangkan kesesakan di stesen pengecasan.Pihak berkuasa juga boleh memberi insentif kepada syarikat untuk memasang pengecas di tempat kerja, supaya orang ramai tidak perlu berebut tempat pengecasan awam.
Selain itu, ada juga perbincangan tentang konsep “penukaran bateri” untuk EV. Saya tahu ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan, sebab setiap syarikat EV ada sistem bateri sendiri, tapi ini sesuatu yang boleh dipertimbangkan. Di China, sistem ini sudah beroperasi, dan masa yang diambil untuk menukar bateri lebih kurang sama atau lebih cepat daripada mengisi minyak kereta ICE.
Melihat Tesla Cybertruck, saya rasa teruja dengan masa depan EV di Malaysia. Mungkin suatu hari nanti, akan ada model unik yang direka khas untuk jalan-jalan kecil dan sesak di Asia Tenggara. Bila tengok EV lain yang mula muncul di jalan raya—Ora Good Cat dari Great Wall Motor, pelbagai model BYD, serta jenama biasa seperti Volvo XC40 Recharge EV dan Hyundai Ioniq 5—saya optimis yang kita sedang bergerak ke arah penggunaan EV yang lebih meluas.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Joseph Lau(2024). LEVs Are Cruising Into the City. Penang Monthly, December Issue.
Joseph Lau merupakan seorang peminat kereta yang telah meminati dunia automotif sejak kecil. Membesar di Pulau Pinang, dia menghabiskan banyak masa bermain dengan kereta mainan dan kini menumpukan perhatian pada koleksi kecil keretanya.<