Jika ditanya apakah itu ekonomi gig, pasti ramai yang sukar untuk menjelaskan makna dan konsep ekonomi gig. Namun selepas Covid-19 melanda, ramai pemilik syarikat yang menggunakan konsep ekonomi gig di dalam organisasi mereka. Konsep ini makin dikenali dan dilihat sebagai salah satu cara untuk membantu ekonomi organisasi mereka.
Ekonomi gig adalah pasaran pekerjaan yang tidak tetap atau lebih dikenali sebagai sementara atau dalam bahasa mudahnya freelance. Tambahan pula, dewasa ini penggunaan teknologi dalam pekerjaan semakin meluas, makanya penggunaan pekerja secara fizikal tidak diperlukan secara total.
Ekonomi gig secara dasarnya mempunyai banyak daya tarikan. Ia menawarkan fleksibiliti waktu dan tempat kerja. Seseorang itu tidak perlu menghabiskan masanya di tempat yang sama, dengan tugasan yang rutin. Mereka boleh memilih jenis kerja yang ingin dilakukan dan juga tempoh masa. Namun semua ini bergantung kepada permintaan (demand) pekerjaan yang mereka inginkan. Dalam kata lain, mereka mampu menikmati work-life balance yang semakin hari sukar untuk dimiliki oleh pekerja penuh masa. Ekonomi gig ini juga banyak memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang ingin menjana pendapatan sambil belajar.
Peluang untuk menerokai pelbagai jenis peluang pekerjaan merupakan salah satu kebaikan yang ekonomi gig dapat tawarkan. Secara tidak langsung bakat dan potensi seseorang dapat dikembangkan tanpa perlu melakukan kerja rutin saban hari. Hal ini kerana, setiap tugasan yang mereka lakukan, akan memberi mereka pengalaman dan juga budaya kerja baharu. Ini mampu mengembangkan kefahaman dan juga keupayaan mereka dalam menghadapi dunia perniagaan yang semakin mencabar. Tambahan pula, pengalaman ini mampu mempersiapkan diri mereka untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.
Dalam pada masa yang sama, pasaran ekonomi gig ini juga boleh membantu mengembangkan kewangan seseorang. Sebagai contoh, meskipun terikat dengan kerja sepenuh masa, seseorang itu masih boleh memanfaatkan masa selepas kerja dengan pelbagai jenis pekerjaan lain seperti e-hailing, penulis bebas dan juga pengajar sambilan. Bagi yang sukar mendapat pekerjaan, pasaran ekonomi gig ini mampu membantu mereka sementara mendapatkan pekerjaan tetap dalam pasaran kerja tradisional.
Namun demikian, tidak semua yang indah sahaja tentang ekonomi gig ini. Pasti ada cabaran dan kesukaran dalam menempuh era pasaran gig. Biarpun ekonomi gig makin mendapat perhatian namun, ia tidak menjanjikan pendapatan yang berterusan. Ini berbeza dengan pekerjaan tetap di mana gaji tetap itu pasti diterima setiap bulan. Oleh yang demikian, masalah kewangan akan terus membelengu sesiapa yang berada di dalam pasaran ekonomi gig kerana ketidakstabilan dalam permintaan sesuatu bidang pekerjaan yang mereka sokong. Dengan krisis ekonomi yang semakin membimbangkan, ketiadaan punca pendapatan yang tetap adalah sesuatu yang harus diberi perhatian.
Seterusnya, pekerja yang bertahan hidup dengan tawaran ekonomi gig akan terlepas dalam mendapat manfaat seperti mana pekerja tetap perolehi. Ini termasuk insurans kesihatan, dana persaraan dan juga cuti-cuti sakit yang berbayar. Manfaat sedemikian adalah penting dalam membentuk moral dan semangat seseorang pekerja, dan secara langsung mampu membantu kepesatan ekonomi sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, para pekerja ekonomi gig akan merasa beban kerana perlu menanggung sendiri kos-kos perubatan dan juga harus peka dalam merancang persaraan mereka. Dalam pada masa yang sama, terdapat limitasi buat para pekerja ekonomi gig untuk mengembangkan kerjaya mereka dengan bantuan latihan (training) kerana ianya tidak disediakan melainkan buat pekerja tetap di sesebuah organisasi.
Ekonomi gig secara tidak langsung memberi budaya satu pandangan bahawa sesiapa sahaja boleh bekerja asalkan terdapat permintaan bagi sesebuah sektor. Oleh yang demikian, ini akan memberi kebebasan buat generasi muda untuk tidak memberi keutamaan kepada pendidikan. Mereka akan berharap pada pekerjaan yang bakal ditawarkan oleh ekonomi gig. Ini dapat dibuktikan apabila Berita Harian melaporkan bahawa lebih 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu walaupun sudah berdaftar.
Namun demikian, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk memastikan pekerjaan yang ditawarkan oleh ekonomi gig ini dapat memberi manfaat yang berpanjangan kepada para pekerja. Antaranya adalah dengan memastikan terdapat peraturan atau undang-undang yang boleh membantu pekerja ekonomi gig dengan menawarkan pendapatan yang berpatutan, perlindungan kesihatan serta kontrak kerja yang berpanjangan. Dengan ini, setiap pekerja gig akan merasa yakin dan tidak dibelenggu dengan perasaan “insecurity” tentang masa hadapan mereka.
Selain daripada itu, ekonomi gig harus peka bahawa training yang sesuai harus diberi sama kepada pekerja gig agar mereka sentiasa kompeten dengan dunia kerja yang semakin mencabar. Tambahan pula, pekerja yang berkaliber memberi manfaat kepada sesuatu organisasi bagi tempoh masa yang panjang. Oleh yang demikian, sebuah organisasi mestilah melabur kepada latihan dan memberi pendedahan yang bersesuain kepada pekerja gig.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa makin ramai yang sedar akan kepentingan “work-life balance” dan memilih untuk menjana pendapatan dengan kerjaya dari ekonomi gig. Setiap pekerjaan yang mampu menjana pendapatan harus diberi pendedahan dan keutamaan yang sepatutnya. Oleh itu, kerajaan harus mendukung usaha dalam menjadikan pekerjaan dari ekonomi gig berkembang sejajar dengan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Hazlina merupakan Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Inti. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau juga menjadi tutor sambilan, selain gemar berkongsi dan bertukar-tukar ilmu kepakaran dan pengetahuan dengan orang lain.