Ecoprint, seni memindahkan keindahan alam ke atas fabrik kini mula mencuri perhatian, meskipun masih belum tersebar luas dalam kalangan masyarakat. Apakah itu rekaan Ecoprint, bagaimana ia dilakukan? Ecoprint atau cetakan ekologi merupakan satu kaedah seni tekstil yang menggunakan pigmen semula jadi daripada dedaun, bunga, dan tumbuhan untuk menghasilkan corak yang unik pada fabrik. Kaedah ini bukan sahaja menyerlahkan keindahan alam semulajadi, tetapi menzahirkan kesedaran terhadap kelestarian hidup, di samping bermanfaat kepada pembangunan ekonomi kreatif.
Bengkel rekaan Ecoprint kini semakin mendapat tempat di seluruh dunia, seiring dengan minat masyarakat terhadap kraf yang bersifat lestari dan berasaskan bahan semulajadi. Bengkel teknik cetakan kreatif yang menggabungkan tumbuhan semulajadi seperti bunga, dedaun atau batang kayu pada permukaan fabrik ini ditawarkan dalam bentuk fizikal mahupun secara maya di pelbagai negara termasuk Eropah, Australia, dan Asia. Penyertaan dalam bengkel ini bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman seni, tetapi juga membuka ruang untuk kita lebih menghargai alam melalui penghasilan tekstil yang estetik dan mesra alam.
Berbeza dengan fabrik yang diwarnakan menggunakan pewarna sintetik, proses Ecoprint tidak menghasilkan sisa cecair berbahaya. Industri tekstil yang menggunakan pewarna sintetik sememangnya menawarkan kelebihan dari segi kepelbagaian warna, mudah diperoleh, ketersediaan, harga yang lebih ekonomik, serta warna yang lebih cerah, stabil dan tahan lama. Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa penggunaan pewarna sintetik membawa kesan negatif kepada alam sekitar. Sisa yang terhasil berpotensi mencemarkan tanah, air permukaan, dan sedimen, sekaligus menimbulkan cabaran besar kepada kelestarian alam.
Terdapat beberapa cara proses Ecoprint dilakukan. Proses Ecoprint dilakukan dengan memanfaatkan pigmen semulajadi yang terdapat dalam tumbuhan untuk dipindahkan ke atas fabrik. Antara kaedah yang biasa digunakan termasuklah kaedah stim, iaitu dengan menyusun daun di atas kain, menggulungnya pada sebatang kayu, lalu mengukus sehingga warna dan bentuk daun berpindah ke permukaan fabrik. Seterusnya, terdapat kaedah ketukan, di mana daun diketuk terus di atas kain sehingga pigmennya melekat dan menghasilkan corak semula jadi. Selain itu, kaedah fermentasi juga digunakan, iaitu dengan merendam daun dalam larutan cuka sebelum diaplikasikan pada fabrik bagi mencetak corak yang lebih tahan lama.
Di Malaysia, jumlah penggiat Ecoprint kini mulai mendapat perhatian. Antara yang aktif termasuk Masitah Babjan (Syd) yang menghasilkan fabrik Ecoprint dari rumah, serta Sues Collection di Langkawi yang terkenal dengan batik Ecoprint. Berbanding dengan China, negara itu dikenali sebagai pengeksport tekstil terbesar di dunia, termasuk fabrik Ecoprint yang semakin popular. Kejayaan mereka banyak dipacu oleh rantaian bekalan yang luas, teknologi canggih, dan usaha berterusan untuk menggunakan kaedah pencetakan serta pewarnaan yang lebih mesra alam. India pula semakin menyerlah dengan inisiatif kelestarian, terutamanya dalam penghasilan kapas organik dan tenunan tangan, selain memberi penekanan kepada ketelusan dan penghantaran cepat ke pasaran luar negara.
Pengenalan kepada teknik Ecoprint ini penting untuk memupuk minat dalam kalangan pencinta seni kraf tangan kerana ia bukan sahaja menghubungkan manusia dengan alam sekitar, malah mengurangkan pergantungan kepada bahan kimia berbahaya. Pada masa yang sama, teknik ini mengekalkan nilai seni tradisi yang sarat dengan keaslian, menjadikan fabrik Ecoprint sebagai alternatif menarik kepada tekstil konvensional dalam usaha mengekalkan kelestarian hidup. Lebih istimewa lagi, setiap helaian fabrik Ecoprint merupakan karya seni yang unik dan tidak berulang, menyerlahkan corak alamiah yang memikat serta sesuai untuk pasaran yang menghargai keaslian dan ekspresi seni.
Ecoprint bukan sekadar seni, tetapi sebuah budaya yang menyatukan manusia dengan alam sambil memperkasakan komuniti. Di Pulau Pinang, bengkel Ecoprint yang dikendalikan oleh Dr Irwan Syah baru-baru ini membuka mata peserta bahawa tumbuhan seperti tumbuh-tumbuhan liar dan rumput yang sering kita “pandang sepi” juga menyimpan potensi luar biasa. Dengan kreativiti, elemen alam yang mudah ditemui ini dapat diterjemahkan menjadi corak dan warna memukau pada fabrik, seolah-olah membawa sebahagian daripada alam semula jadi untuk kita hargai dan abadikan.
Melalui bengkel yang dianjurkan oleh mythinkcity dan straitscity, ruang inkubator di Seberang Perai menjadi medan bagi para artisan mengasah kreativiti, berkongsi ilmu, dan mengangkat seni kraf tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Kemahiran ini bukan sahaja membuka peluang masyarakat menjana pendapatan secara berdikari, malah turut meningkatkan kesedaran tentang kelestarian. Dengan latihan Ecoprint, seni ini berpotensi berkembang menjadi sumber rezeki yang kreatif, lestari, dan relevan dengan keperluan masa depan.
Selain itu, institut pengajian tinggi boleh memainkan peranan melalui program khidmat masyarakat. Latihan sosio-usahawan yang ditawarkan secara percuma mampu membuka ruang kepada orang ramai untuk menceburi bidang Ecoprint ini, sekaligus memperkukuh ekonomi komuniti dan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan tempatan.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan melawat Kemboja, di mana seni Ecoprint menembusi pasaran eksklusif. Antara produk yang dijual termasuk shawl sutera dan dompet wanita berasaskan Ecoprint, yang boleh didapati di kedai cenderamata di Angkor Muzium serta di lapangan terbang antarabangsa Angkor yang terletak di wilayah Siem Reap. Kehalusan kerja tangan dan kualiti fabrik yang tinggi di negara itu menjadikan setiap helaian unik, sekaligus meletakkan harga yang premium sesuai dengan nilai istimewa produk Ecoprint yang begitu bernilai di mata penggemar.
Kesimpulannya, sudah tiba masanya kita meneroka penggunaan dan penyelidikan pewarna semula jadi, yang mampu menjadi pemangkin kepada kelestarian budaya dan sosial serta memelihara keindahan warisan negara. Industri Ecoprint berpotensi besar untuk berkembang sebagai sumber ekonomi kreatif, sekaligus menyumbang kepada kelestarian alam, memperkasakan komuniti, dan mengangkat martabat warisan tempatan ke persada global.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.