SISTEM pendidikan kini telah beralih arah, jika dahulu lebih diacukan oleh semangat nasionalisme tetapi kini beralih arah kepada arus globalisasi yang membentuk sistem pendidikan tinggi yang relevan dengan keperluan sepanjang zaman. Universiti rata-rata memperluaskan pengaruh melalui Dasar Pengantarabangsaan yang membolehkan pelajar memanfaatkan peluang pertukaran antarabangsa. Selain itu, pelajar digalakkan mengikuti mana-mana latihan praktikal atau industri (Internship) di sesetengah syarikat atau organisasi yang bakal memberikan mereka (bakal pekerja) pengalaman secara praktikal (hands-on) sebelum menceburkan diri secara profesional.
Pengalaman mengikuti latihan praktikal di tempat kerja sangat berharga kerana ia memperkenalkan kepada kita tentang dunia pekerjaan yang sebenar. Biasanya, latihan praktikal ini dipilih berdasarkan bidang pengajian pelajar, mengikut aliran pembelajaran tertentu yang memberikan pembangunan profesional yang lebih terarah dalam kerjaya pilihan.
Aku memilih untuk menjalani kehidupan sebagai ‘pelajar praktikal’ di Malaysia. Di Perancis, tempat asalku, peluang untuk diterima sebagai pelajar praktikal dengan imejku yang ‘bertudung’ amat mencabar. Wanita Islam di Perancis, terpaksa berdepan dengan kurangnya penerimaan pemakaian hijab dalam masyarakat, walaupun mereka dilahirkan dan dibesarkan di Perancis, berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran profesional. Ada antara mereka merasa tertekan, makanya lebih selesa mengamalkan free hairstyle daripada terpaksa berdepan dengan tekanan sosial atau memilih jalan keluar dari tenaga kerja sama sekali daripada merelakan diri ‘dianaktirikan’ dengan perspektif stereotype terhadap pegangan hidup yang mereka amalkan.
Fenomena ‘Islamophobia” ini memaksa aku seperti kebanyakan wanita Islam di Perancis berhijrah mencari peluang latihan praktikal di negara lain. Aku berusaha mendapatkan pengalaman profesional di negara lain -pengalaman latihan praktikal dalam suasana kerja yang baru, di dalam organisasi meskipun berkait rapat dengan aliran pembelajaranku tetapi mempunyai keunikan tersendiri, berbeza dari latihan praktikal di Perancis. Di sana, pelatih dituntut melakukan tugas sebagai pekerja sepenuh masa, dan ‘peringkat’ mereka direka untuk menjadi latihan untuk mereka. Makanya aku memilih untuk mengikuti latihan praktikal di negara orang, lagi pula aku ingin menggembara ke tempat-tempat yang belum pernah ku jejakkan kaki seperti di benua Asia Tenggara.
Kini aku mempunyai banyak pilihan negara mana yang ingin aku mohon untuk menjalani latihan praktikal. Pertama sekali, aku ingin mengikuti latihan praktikal di negara yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggerisku. Kedua, aku ingin mengunjungi tempat-tempat yang mempunyai landskap yang pelbagai. Ketiga, aku ingin tinggal di negara yang membolehkan aku mengamalkan gaya hidup mengikut agama dan kepercayaanku -‘berhijab’ di tempat kerja. ‘Pulau Mutiara’ ini menjadi pilihan utamaku, kerana hampir sebilangan besar penduduk di sini boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik selain negeri ini mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dan multi etnik yang ternyata sebagai model sebuah negara Islam yang unik.
Aku amat bertuah kerana diterima masuk mengikuti latihan praktikal dalam bidang pemasaran di Penang Institut. Aku sangat bersyukur kerana ramai staf di sini mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang sangat baik.
Mereka seperti masyarakat Malaysia yang lain sangat peramah dan berbudi bahasa. Dalam sekelip mata sahaja, aku berpeluang ‘membuat jaringan’ dengan orang-orang yang hebat dan jauh dalam hati tersimpan niat untuk terus berhubung dengan mereka meskipun selepas ini aku terpaksa pulang ke tempat asalku. Selama 10 minggu di sini, aku berpeluang melancong sambil menjiwai cara hidup dan budaya orang-orang tempatan, suatu pengalaman yang amat istimewa. Aku tertarik dengan budaya dan gaya hidup mereka; riak wajah mereka tampak jauh lebih tenang dan begitu jugalah yang tercermin dalam kehidupan profesional mereka. Walaupun di Perancis persekitaran kerja tidak jauh berbeza dengan di Malaysia yang menuntut tanggungjawab yang tinggi, harapan yang mendesak, dan beban kerja yang besar, bezanya di Perancis, syarikat mahupun organisasi menuntut kualiti, memberi kuantiti kerja dan layanan yang sama terhadap intern seperti pekerja-pekerja mereka yang berpengalaman yang begitu mencabar!
Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya seperti Cina, India, Melayu, dan pelbagai etnik lain. Dari lanskap pantai yang memukau, hutan tropika, bandar-bandar moden hingga gunung-ganang yang indah aku teruja menikmati terik panas matahari yang jarang dapat rasai di negara asal. Kepelbagaian ini juga tercermin dalam gastronomi Malaysia. Pulau Pinang, yang dikenali sebagai pulau gastronomi, adalah tempat terbaik untuk merasai campuran rempah ratus pelbagai masakan yang enak. Penemuan kegemaran aku setakat ini ialah Char Kway Teow!
Manakala penemuan dari aspek spiritual pula, Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Apa yang menarik perhatianku ialah Malaysia adalah negara multi etnik, cuti umum diberikan untuk setiap perayaan agama, sama ada Muslim atau tidak. Di Pulau Pinang, anda boleh menemui sebuah masjid di jalan yang sama dengan sebuah kuil Buddha dan gereja. Bagiku, ini adalah percampuran masyarakat sejati tanda cara hidup bermuafakat, toleransi, menghormati kepercayaan dan agama yang dianuti. Di tempat aku menjalani latihan praktikal, ada disediakan tempat untuk bersolat begitu juga di mana-mana pusat membeli belah, atau ketika berjalan kaki di sekitar negeri ini mudah terjumpa surau atau masjid. Begitu juga mencari makanan halal, mudah saja didapati di mana-mana.
Jika sesiapa yang berniat untuk menjalani latihan praktikal di luar negara, langkah pertama ialah dengan memilih destinasi yang dapat memberi inspirasi jika anda merancang untuk pergi seorang diri. Destinasi itu harus menjadi aspirasi untuk memenuhi tujuan utama iatu mempelajari kaedah pelaksanaan sesuatu tugas melalui pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam menyempurnakan sesuatu tugas atau projek, pelajar praktikal berpeluang mempelajari landskap budaya kerja yang baru seperti diversiti pekerja seperti kumpulan pekerja yang terdiri daripada pelbagai etnik, peringkat umur, gender dan sebagainya. Secara ringkasnya, anda perlu membuat persediaan mental, mengkaji negara yang ingin anda lewati, menyediakan perjalanan anda dengan baik sebelum berangkat.
Ramai orang bertanya bagaimana aku mengubat rindu terhadap keluarga yang ditinggalkan di Perancis. Aku percaya apa yang penting ialah memberi tumpuan kepada apa yang menyatukan kita daripada mencari perbezaan –berinteraksi dengan penduduk tempatan membuka minda kita, bersedia menerima dan sentiasa berprasangka baik terhadap orang lain ‘membuka jalan’ untuk bertemu dengan mereka yang hebat, berdedikasi terhadap tanggungjawab dan tugas yang dipikul! Jika kerinduan masih terasa, cari saja kumpulan ekspatriat dari negara asal yang kebanyakkan mereka tinggal di bandar-bandar utama.
Latihan praktikal ini amat membantu mengenali suasana sebenar dunia pekerjaan, nanti tidaklah ‘terkapai-kapai’ bagai ‘rusa masuk kampung’ bila berada di alam pekerjaan nanti.
Diterjemah dan disunting semula oleh Dr. Rahida Aini Mohd Ismail, Pegawai Penerbitan, Penang Institute.
Safiya Waligorski adalah pelajar Sains Pengurusan tahun kedua di Universiti Aix-Marseille di Marseille, France. Dia memilih mengikuti latihan praktikal (internship) di Penang Institute, Pulau Pinang sambil menimba pengalaman melancong ke tempat-tempat menarik di Malaysia.