Tatkala 16 Mei menjelma, saat negara bersatu hati merai dan menyanjung setinggi-tingginya insan bernama guru, hatiku terbang jauh, mengembara ke lorong kenangan, mencari wajah mulia yang pernah menjadi suluh dalam pengembaraan ilmuku, Profesor Dr. Zakaria Abas.
Aku masih ingat detik pertama kami bertemu, saat aku melangkah ke pejabatnya sebagai pelajar PhD yang “masih hijau”. Aku melangkah masuk ke pejabatnya, penuh debar dan harapan. Tanpa banyak bicara, beliau menyambutku bukan dengan sanjungan, bukan dengan janji manis, tetapi dengan satu artikel. yang membuka mataku akan erti perjuangan akademik yang sebenar—tentang plagiarisme.
‘’Panggil saja saya Prof Zac,” katanya, tenang dan bersahaja. “Ini bacaan pertama kamu. Bacalah dulu. Selepas itu, barulah kita bincang tentang tesis awak.”Aku terkedu. Bahan bacaan itu bukan sekadar pengenalan, tetapi satu isyarat halus. Dalam dunia ilmu, integriti adalah asas yang tidak boleh dikompromi. Artikel itu menjadi kompas pertamaku, sebuah peringatan awal yang membimbing langkahku agar tidak tersasar. Ia menyedarkan aku bahawa menara ilmu tidak boleh dibina di atas dasar yang rapuh, apatah lagi jika dibumbui kepalsuan.
Plagiarisme bukan sekadar kesalahan teknikal, tetapi suatu dosa intelektual. Mencuri hak cipta minda dan menjadikan milik orang lain sebagai mahkota diri sendiri. Dalam dunia ilmu yang suci, perbuatan sebegitu dianggap jijik dan keji. Betapa pun tinggi menara gading yang dibina, andai asasnya palsu, ia pasti runtuh, menyembah bumi. Bahkan, gelaran ‘Doktor Falsafah’ yang dikejar bertahun-tahun boleh dilucutkan serta-merta, andai terbukti bahawa hasil tesis yang dipersembahkan bukan lahir daripada ilham dan usaha sendiri.
Susun atur ayat dalam artikel itu masih terngiang-ngiang dalam benakku hingga ke hari ini. Ia menjadi azimat, menjadi benteng yang melindungi niat dan langkahku dalam mengejar dunia keilmuan.
Di pentas keilmuan dan jagat pemikiran strategik, nama Profesor Dr. Zakaria Abas tidak asing, bergema sebagai tokoh ulung yang memayungi ilmu dengan wibawa dan kesarjanaan tinggi. Beliau menyandang jawatan Profesor Perakaunan Pengurusan Strategik di Sekolah Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM College of Business, Universiti Utara Malaysia. Keunggulannya tidak hanya di persada tanah air, malah merentas sempadan benua—dianugerahkan gelaran Fellow oleh Institute of Professional Accountants (FIPA), Australia, satu pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan beliau yang cemerlang dalam dunia perakaunan dan pengurusan strategik.
Prof Zac menggalas amanah sebagai Penyelidik Utama di Pusat Kolaborasi Universiti-Industri, memperkukuh jaringan ilmu antara menara gading dan dunia industri. Pengalaman luas yang ditimba sepanjang hayat akademiknya menjadikan beliau tokoh penting dalam landskap pendidikan tinggi negara. Antara peranan penting yang pernah dipikul ialah sebagai Penasihat Khas kepada YB Menteri Pengajian Tinggi dari 1 Oktober 2010 hingga 30 September 2012—satu tempoh di mana suara dan buah fikir beliau menjadi tunjang dalam merangka dasar untuk memperkukuh kolaborasi strategik antara universiti, masyarakat dan industri, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara di bawah agenda kritikal Akademia-Industri.
Kepakaran dan hikmah beliau terus dipinjam negara melalui penyertaan aktif dalam penyelidikan dasar berskala nasional, khususnya di bawah dana Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.Dalam gelanggang antarabangsa pula, Prof Zac turut diiktiraf sebagai Ahli Lembaga Penasihat bagi World Association of Cooperative Education (WACE), berpusat di Pejabat Satelit Antarabangsa di Universiti Teknologi Suranaree, Nakhon Ratchasima, Thailand—suatu pengiktirafan yang meneguhkan lagi jejak global beliau dalam mengangkat sinergi antara dunia akademik dan dunia pekerjaan.
Sesungguhnya, Prof Zac bukan sekadar ilmuwan. Beliau adalah pemikir bangsa, pelakar strategi, dan penjulang integriti keilmuan yang sentiasa menjadikan ilmu sebagai suluh untuk masa depan yang lebih gemilang.
Sepanjang tempoh 5 tahun aku bergelut dunia akademia yang penuh liku, beliau membimbing aku, bukan dengan herdikan, tetapi dengan hikmah dan kasih seorang pendidik sejati. Tutur katanya tidak pernah melangit tinggi, namun cukup dalam menikam kalbu. Tegurannya tidak pernah menjatuhkan, sebaliknya membina, menyusun semula runtuhan keyakinan agar berdiri teguh kembali.
Dalam ingatanku yang kekal segar, meskipun beliau dibebani pelbagai tanggungjawab berat, beliau tidak pernah melupakan peranan sebagai pembimbing. Setiap pesanan ringkasku dibalas dengan penuh perhatian, dan temujanji sentiasa diatur dengan penuh keikhlasan walau sesibuk mana sekalipun jadualnya. Aku masih teringat suatu ketika, dengan nada yang tenang dan penuh dedikasi, beliau berkata, “Jika saya perlu ‘outstation’, saya akan bawa sekali tesis pelajar. Saya lebih gemar membaca salinan fizikal kerana ia memudahkan saya menanda dan memberi penerangan yang jelas bila pelajar datang berjumpa saya nanti.”
Setiap kali bertemu, dia dengan sabar menerangkan bagaimana aku menyusun semula perenggan yang berselerak, supaya penulisan aku menjadi lebih teratur dan menarik minat pemeriksa nanti agar tidak berasa hilang arah. Beliau mengajarku melihat dari sudut pandang pembaca— bukan menulis apa sahaja melalui akal fikir, akal emosi dan akal rasa. Pertemuan kami ibarat kuliah jiwa—selalu mengingatkan aku bahawa menulis bukan hanya menyusun kata, tetapi menzahirkan fikiran dengan jujur dan amanah. Setiap penulisan perlu disandarkan pada rujukan yang kukuh, dihujahkan dengan teliti, dan ditulis dalam bahasa ilmiah yang tepat serta berstandard. Ia menuntut justifikasi yang jelas, berserta hujah-hujah yang disokong oleh pandangan dan dapatan para sarjana akademik.
Dialah insan yang melihat cahaya dalam diriku saat aku sendiri masih kabur akan potensi diri. Tatkala langkahku longlai, saat hatiku luluh dengan pemergian ayah tercinta di pertengahan perjuangan, beliaulah yang meniupkan semangat. Seperti mentari yang setia menyinari bumi tanpa jemu, Prof Zac tidak pernah letih memberi cahaya harapan. Masih terngiang kata-katanya, lembut namun menggetarkan jiwa, “Janganlah awak bersedih, kuatkan semangat. Ingat pesan saya, kita semua akan kembali, menuju ke tempat yang sama. Ayah awak kini selamat dan tenang di kampung abadi, bersama insan-insan tersayang yang telah mendahului.”
Aku masih menghubunginya, walau pengajian telah lama tamat. Kami berhubung beberapa minggu untuk projek terjemahan buku secara bersama namun hajat itu tidak kesampaian bila aku aku disampaikan berita yang meruntun jiwa—pada tanggal 8 Februari 2023, beliau telah kembali ke rahmatullah. Hatiku luluh, hancur. Lama aku mengambil masa untuk memujuk hati, redha dan pasrah dengan ketentuan-Nya.
Hari ini, sempena sambutan Hari Guru, aku tidak punya hadiah mewah untuk dipersembahkan. Namun izinkan aku menitipkan sebaris puisi, tulus dari hati, sebagai tanda kasih, ingatan, dan terima kasih buat insan-insan istimewa yang bergelar pendidik:
Guru,
Kau ibarat pelita di tepi perigi,
Kaulah hujan di musim gersang,
Kaulah tangan yang tak jemu membimbing,
Walau anak didikmu datang dan pergi.
Dalam sabar, kau tanam benih ilmu,
Dalam diam, kau sulam benang harapan,
Tidak tinggi suara, tidak tajam bicara,
Namun nasihatmu menyubur jiwaku, menuntun langkah seribu.
Kami berdiri dan menundukkan hati,
Menghimpun doa dan segugus memori,
Untukmu yang membimbing tanpa lelah,
Agar kaki terus melangkah meski dunia belum memahami arah.
Selamat Hari Guru,
Terima kasih atas segala yang telah kau beri
Ilmu, kasih, dan erti diri.
Jasamu kekal, terpahat abadi.
Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang pernah menabur bakti dalam membentuk jiwa anak bangsa. Terima kasih kerana pernah meletakkan harapan kepada insan biasa seperti aku dan pelajar-pelajar lain, yang terkapai-kapai mencari arah. Semoga segala ilmu dan budi yang dicurahkan menjadi amal jariah yang mengalir, bak air sungai yang tidak pernah mengenal henti.
Kepada arwah Prof. Zac—baktimu kekal dalam ingatan, doaku tidak pernah lekang. Moga Allah tempatkanmu dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dikasihi.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.