Muzik Hip Hop di Pulau Pinang pada asalnya merupakan antara sub-budaya kuning yang terbesar di negeri ini. Muzik yang mula berkembang pada tahun 2000-an semasa kemuncak kumpulan muzik Too Phat ini pada asalnya bermula dengan budaya pemakaian yang menjadi trend dalam kalangan remaja terutamanya pada awal 1993. Sebelumnya, tema Hip Hop tidak wujud di Malaysia. Budaya ini dilabelkan sebagai RAP dari segi pemakaian. Jenis muzik ini juga tidak diberikan tumpuan pada waktu itu kerana dianggap sebagai budaya kuning yang berasal dari barat. Terma Hip Hop hanya mula diguna pakai setelah kumpulan muzik Poetic Ammo mula memasuki industri pada tahun 1997. Penulis sendiri hanya mengetahui kewujudan budaya ini selepas melihat Peotic Ammo mengadakan persembahan di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999.
Secara ringkasnya, Hip Hop mempunyai empat teras utama, iaitu Emcee ataupun penyanyi, Break-Boys atau Break-Girls merupakan terma untuk tarian, Deejay atau DJ yang mengawal muzik dan akhir sekali grafitti writer atau pelukis yang melukis di jalanan.Budaya Hip Hop mula diserap masuk di Pulau Pinang antara tahun 1993–1994, dan hub pertamanya adalah di kedai pakaian Jeans Stations, di Aras 4, Komtar. Sebagai permulaan, Ayien (bukan nama sebenar) telah membawa masuk budaya ini dari California, Amerika Syarikat memandangkan keluarganya menetap di sana. Dengan bahan-bahan yang agak terhad dibawa pulang, rakan-rakannya yang bekerja di Jeans Station menjadi antara generasi pertama dalam pembentukan budaya Hip Hop. Antara bahan yang dianggap sukar dicari adalah seperti majalah Rapsheet, pita rakaman CD dan kaset, serta pakaian baggy berjenama yang agak terkenal di sana. Sejak itu, kebanyakan rakannya membeli atau bertukar barang secara barter. Pada waktu itu, pengetahuan jalanan atau street knowledge menjadi inspirasi dalam pembentukan budaya Hip Hop di Pulau Pinang dan meletakkan tarian sebagai unsur utama sebelum kemasukan emcee pada tahun 1997–1998.
Altimet (kini bergelar Tuan Yang Berbahagia Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Lembah Jaya) bersama rakan-rakan Hip Hop di Pulau Pinang pada tahun 2006.
Elemen emcee atau RAP mula menular antara tahun 1997–1998 apabila Shazzy, yang merupakan alumni Penang Free School mengadakan sebuah gig di kelab Thunderbird (kini merupakan Wow Hotel) yang dihadiri beberapa pemuzik bawah tanah seperti Sick Siderz (dikatakan kumpulan sebenar The Rebel Scum), Fiquetional (Teh Tarik Crew) serta Soulstreet (Kumpulan Damian VE sebelum menyertai V.E) termasuk dua dari Pulau Pinang iaitu One Mean Teddy Crew (kumpulan Shazzy sebelum bergerak solo) dan Georgetown Clicka (Band Jazz Hip Hop yang berasal dari Bukit Mertajam dan telah menukar genre-nya kepada Trash Metal dan dikenali sebagai Blind Tribe). Shazzy juga pernah popular dengan lagu Kenapa bersama Lah Ahmad pada tahun 2005 dan masih lagi aktif sehingga kini di belakang tabir sebagai pembekal muzik.
Selepas gig di kelab Thunderbird, budaya Hip Hop sudah mula mendapat sambutan hangat dalam kalangan penggemar muzik barat, dan pada tahun 1999, kumpulan Too Phat memulakan jelajah pertamanya di Pulau Pinang. Mereka mengadakan persembahan di dua lokasi, iaitu di The Brix (kini menjadi bangunan The Eight Suite) yang terletak di Jalan Gottlieb dan keesokannya di One Stop Midlands yang terletak di Jalan Burmah. Pada tahun 90-an, One Stop Midlands pernah dikunjungi beberapa pemuzik antarabangsa dari Amerika Syarikat termasuklah kumpulan The Backstreet Boys. Dengan kehadiran Too Phat di Pulau Pinang, semakin ramai peminat yang ingin menjadikan rap sebagai cabang utama kerjaya mereka selain Shazzy dan Northsyde seperti Urban Method, Ill Symphony, Truz Dvsion, Tha Vos (kumpulan wanita Hip Hop pertama di Pulau Pinang), Alexander The Phatos (Alumni USM), Fundamental Mentalities serta Colabr8. Malah, semakin bertambah jumlah gig yang berlangsung dari tahun 2000 hingga ke 2009.
Poster acara yang dianjurkan oleh Tari Cafe (Kafe yang terletak di Tanjong Tokong) di The Raffles yang terletak di Jalan Penang pada tahun 2004.
Dengan memuncaknya populariti Too Phat dalam industri muzik Malaysia pada waktu itu, Pulau Pinang turut menerima tempiasnya. Budaya ini semakin berkembang pada awal 2000-an. Ramai pelajar sekolah menengah rendah mula meminati muzik Hip Hop. Ada juga dalam kalangan mereka yang mempelajari empat unsur Hip Hop dan menjadikan Komtar sebagai hub terbesar budaya tersebut. Boleh dikatakan setiap hari Sabtu kebanyakan remaja menjadikan Komtar sebagai tumpuan pada awal 2000 ke 2006. Kedai Cahaya Muzik yang terletak di Aras 3 Komtar yang menjual banyak muzik dari Amerika seperti Tupac Shakur, Snoop Dogg dan Dr. Dre juga merupakan hub kepada remaja-remaja yang ingin mempelajari tarian dan nyanyian, di samping di Jeans Station yang menjadi tempat generasi pertama terdedah kepada muzik jalanan ini. Mohd Jameel yang merupakan tuan kedai Cahaya Muzik banyak membantu para remaja seperti saya pada waktu itu untuk mengenali Hip Hop.
Walau bagaimanapun, pada waktu kemuncak Hip Hop di Pulau Pinang, penulis tidak pernah di’pau‘ kerana memiliki pengetahuan mengenai Hip Hop. Sebab itu penulis jarang menjejakkan kaki di Jeans Station pada waktu kemuncak melainkan jika mempunyai urusan jual beli. Cuma, pada awal tahun 2010 hingga 2014, Hip Hop di Pulau Pinang seakan terkubur dan pada akhir tahun 2015 ada cubaan untuk menghidupkan semula seperti Raising The Bar Tour yang dibawakan oleh The Swagger Salon dan yang terbaru adalah melalui The Money Talk Music Premiere yang dianjurkan oleh Hisyam Mat dan Museum Status.
Fali Miller merupakan anak kelahiran Pulau Pinang Mula meminati Hip Hop seusia 9 tahun dan pernah menjadi sebahagian keluarga Echo Park, kedai yang menjual pakaian dan aksesori Hip Hop. PenangHipHop merupakan cetusan idea penulis untuk mengenang kembali budaya Hip Hop yang pernah wujud di Pulau Pinang. Beliau sedang menulis sebuah buku yang bertajuk, PENANGHIPHOP : The Past and Present.