Berjalan kaki adalah cara yang paling mudah untuk kita bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Sebelum kita mencipta mesin untuk memudahkan pergerakan seperti yang dimiliki pada hari ini, kita terlebih dahulu belajar menggunakan kaki untuk bergerak. Selain makanan, berjalan adalah salah satu perkara asasi untuk manusia. Saat kita berjalan, kita merasai sensasi kaki kita menyentuh tanah—baik tanah yang licin, kasar, dan sebagainya.
Berjalan ada pelbagai cara. Perjalanan boleh terjadi dalam jarak yang dekat—di dalam rumah atau di sekitar kawasan kejiranan—atau melampaui wilayah kita sendiri. Malah, berjalan boleh dianggap sebagai suatu tindakan kerohanian, yang tujuannya lebih dekat dengan agama seperti berjalan untuk melakukan ziarah ke tempat suci. Biar apa pun caranya, berjalan memberi peluang kepada kita untuk mengabdikan diri ke dalam persekitaran dan menjalinkan hubungan yang lebih erat dengannya. Kita akhirnya kembali kepada lumrah hanya dengan menapak.
Seperti mana orang lain, saya juga gemar berjalan kaki. Namun, saya tidak menganggap berjalan kaki sebagai suatu tindakan yang hanya bersifat fungsional atau semata-mata kerana kesihatan. Tidak pelik jika itu yang menjadi keutamaan dalam masyarakat moden hari ini. Ketika kita semakin sibuk dan lelah dengan kerja harian, kita akan sentiasa mengira langkah yang kita ambil setiap hari. Malah, tidak sedikit daripada pakar kesihatan yang mencadangkan jumlah langkah yang ideal kepada setiap orang.
Dalam konteks ini, nilai sesuatu perjalanan itu dihitung dalam bentuk nombor—dengan bantuan telefon pintar untuk mencatat jumlah langkah. Saya tidak menolak segala nasihat daripada pakar kesihatan dan segala teknologi hari ini kalau itu mampu menjadikan kita lebih sihat. Walau bagaimanapun, makna berjalan kaki bagi saya melampaui perkiraan yang nyata sifatnya. Berjalan kaki lebih bersifat peribadi dan mendalam kepada saya. Selagi boleh berjalan, saya menikmati setiap langkah, baik dekat ataupun jauh jaraknya, baik di jalan-jalan besar ataupun lorong-lorong kecil.
Paling tidak, ketika berjalan, saya selalu merasa bebas menghirup udara dan menatap apa sahaja yang ada di sekeliling. Saya kembali dekat dengan diri sendiri dan merasa terhubung dengan dunia sekeliling—dengan pokok-pokok, bunga-bungaan, rumput, jalan raya, malah orang lain.
Saya juga merasa lebih ringkas ketika berjalan kaki. Tanpa bantuan alat seperti telefon pintar, hanya dengan menggunakan kaki, kenikmatan berjalan tetap ada. Pada saat itu saya boleh berinteraksi dengan persekitaran—hal yang tidak mampu saya lakukan jika saya bergerak dengan bas ataupun kereta. Hal-hal ini memang nampak remeh, tetapi ia mencerminkan pemahaman saya tentang masyarakat dan kehidupan harian. Berjalan adalah cara untuk kita berhubung dengan segala perkara di sekeliling kita.
Berjalan juga menjadi lebih menarik terutama sekali di persekitaran yang berbeza khususnya di kota-kota yang berbeza. Makna dan pengalaman berjalan kaki akan menjadi berbeza jika saya berjalan di sesuatu tempat yang berlainan. Hal ini mungkin ada pengaruhnya dengan bagaimana sesebuah tempat atau kota itu dibangunkan. Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa susun atur sesebuah kota mempengaruhi budaya berjalan kita.
Di kota, berjalan kaki selalu sahaja berhubung kait dengan pelbagai cara lain untuk bergerak. Saya menyedari bahawa, ketika di Pulau Pinang, saya tidak banyak berjalan kaki berbanding ketika saya berada di kampung halaman saya di Taipei. Bagi saya, pengalaman berjalan di pulau ini lebih rencam. Pada hari-hari biasa, saya umumnya akan berjalan kaki pada waktu tengah hari untuk ke tempat-tempat makan kegemaran yang berdekatan.
Pada hujung minggu pula, saya akan berjalan kaki ke pasar untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Gaya hidup saya juga ternyata berubah. Di sini, lebih senang untuk menggunakan kenderaan peribadi jika ingin bergerak ke mana-mana. Alasannya mungkin kerana cuaca di negeri ini lebih panas dan jalan-jalan yang ada tidak terlalu mesra pejalan kaki. Namun demikian, kepelbagaian atau kesuntukan inilah yang membuatkan saya lebih menghargai peluang untuk berjalan kaki di Pulau Pinang.
Biarpun kaedah untuk bergerak yang paling utama di Pulau Pinang adalah dengan memandu kereta sendiri, tetap ada perkara positif yang saya perhatikan. Orang (khususnya pemandu kereta) yang mengenali saya sering sahaja ingin menumpangkan saya ke mana-mana jika mereka terserempak dengan saya berjalan kaki bersendirian. Sudah tentu alasan utamanya adalah keselamatan. Bagi mereka, berjalan kaki bersendirian adalah merbahaya. Namun, saya kemudian sedar bahawa kerisauan itu bukanlah ada kena mengena dengan jenayah, tetapi lebih kepada keselesaan ketika berjalan di tempat-tempat tertentu.
Hal ini secara tidak langsung memberikan gambaran negatif terhadap upaya berjalan kaki, terutama sekali ketika berjalan di luar kawasan kejiranan kita sendiri. Ia menunjukkan bahawa orang tidak selalunya pasti atau biasa dengan jalan-jalan yang jarang mereka lalui.
Di Taipei, banyak tempat di kota itu boleh dicapai menggunakan kenderaan awam seperti basikal, bas, dan mass rapid transit (MRT). Bagi ramai orang, berjalan adalah sebahagian daripada kehidupan—khususnya berjalan untuk ke stesen-stesen terdekat. Memang pengalaman berjalan di Taipei adalah berbeza berbanding Pulau Pinang. Orang berjalan dengan lebih pantas dan banyak lorong di kota itu “hidup” dan selamat untuk dilalui.
Walau bagaimanapun, berjalan di Taipei, duit di dalam poket juga akan mengalir keluar dengan lebih pantas. Ketika berjalan, terutama sekali untuk ke stesen MRT, kita akan sentiasa bertembung dengan pelbagai kedai yang sentiasa menarik perhatian orang. Begitulah ekonomi berjalan di Taipei. Saya sendiri menggemari kedai-kedai kecil yang senantiasa menyinari lorong-lorong kecil di sana. Kedai-kedai sedemikian dibangunkan oleh masyarakat setempat untuk menampung kehidupan harian tanpa mengabaikan nilai sejarah yang ada.
Walaupun dengan segala perbezaan ini, saya tetap menghargai setiap saat saya berjalan di Pulau Pinang. Ia menghadiahkan kenikmatan, mengajar saya untuk menjadi lebih perlahan, dan berserah kepada persekitaran saya. Biarpun infrastruktur untuk pejalan kaki masih boleh ditambah baik, kota ini memberi peluang kepada kita untuk cuba hidup dengan lebih perlahan. Kita tidak akan pernah berhenti berjalan kerana hanya dengan berjalan kita boleh mengenali dunia.
Pan Yi Chieh merupakan seorang penyelidik di Program Kajian Warisan dan Bandar, Penang Institute. Bidang kajian beliau termasuklah budaya dan seni, transformasi bandar, dan masyarakat rentan.