“Puan, adakah matlamat akhir kami mempelajari Bahasa Inggeris adalah untuk bertutur seperti penutur jati British atau Amerika?” Itu soalan yang saya ajukan kepada pensyarah linguistik dan sosiolinguistik Bahasa Inggeris semasa tempoh semester dua pengajian.
Sebagai gadis Melayu biasa, tanpa latar belakang keluarga berdarah kacukan atau pengalaman lahir dan tinggal di negara-negara penutur bahasa Inggeris, saya iri dengan pelajar-pelajar yang bicaranya lunak dengan loghat penutur jati. Namun pensyarah tersebut diam sejenak sebelum menjawab tegas,
“What is wrong with a Malaysian sounding Malaysian?”—apa salahnya jika orang Malaysia kedengaran seperti orang Malaysia?
Tersenyum puas saya dan rakan-rakan, seolah-olah sudah lama menunggu jawapan itu. Terangkat lelah kami memaksa lidah untuk mengikut setiap pautan, masukan, dan asimilasi bunyi yang wujud dalam loghat British, semata-mata untuk pertuturan yang dianggap ‘lebih tepat’ dan elit dalam sistem pendidikan.
Bahasa-bahasa Inggeris Dunia
Persepsi umum masyarakat selama ini ialah Bahasa Inggeris milik penjajah, tinggalan mereka yang datang mengajar kita bagaimana membina negara bangsa—termasuk berbahasa. Namun rupanya mendunia juga anak Malaysia berkat lembut lidah, petah madah bangsanya “menundukkan” bahasa Inggeris.Bahasa sememangya lambang warisan dan identiti kebanggaan setiap budaya di muka dunia. Akan tetapi, konsep identiti bahasa Inggeris sedikit berbeza untuk Bahasa Inggeris yang tidak menjadi milik eksklusif mana-mana bangsa. Kesan daripada ketersebaran luas Bahasa Inggeris, ramai ahli bahasa bersetuju bahawa Bahasa Inggeris tidak mempunyai penutur jati yang spesifik.
Untuk mengilustrasikan hal ini, ahli bahasa, Braj Kachru, memperkenalkan konsep Bahasa-bahasa Inggeris Dunia (World Englishes) dengan Model Tiga Lingkaran Konsentrik (1985)[1]. Lingkaran Dalam (Inner Circle) mengandungi negara-negara yang menganggap Bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Lingkaran Luar (Outer Circle) mengandungi negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau rasmi dan biasanya mempunyai sejarah kolonial, seperti Malaysia, Singapura, India, Ghana, Kenya, Filipina dan Tanzania. Bahasa Inggeris Lingkaran Luar telah disesuaikan kegunaannya mengikut konteks budaya dan tempatan. Lingkaran Terluar (Expanding Circle) pula mempunyai negara-negara tanpa sejarah kolonial Bahasa Inggeris tetapi tetap menggunakannya sebagai bahasa asing seperti Jepun, China, Korea dan Russia.[2]
Bahasa-bahasa Inggeris Dunia terjadi dek kerana sifat bahasa yang dinamik dan berubah mengikut budaya si penutur. Model Kachru ini menggambarkan bahasa-bahasa Inggeris dunia yang berkembang dalam bentuk lingkaran dan bukannya bertingkat, yakni tiada bahasa Inggeris yang bersifat lebih agung daripada bahasa-bahasa Inggeris yang lain.
Bahasa Inggeris Malaysia (MalE)
Di dalam Lingkaran Luar Model Kachru, terdapat variasi Bahasa Inggeris Malaysia, Bahasa Inggeris Malaysia atau MalE yang berasal dari Bahasa Inggeris British (BrE). MalE terhasil daripada akulturasi budaya Malaysia ke dalam BrE kerana penggunaannya yang meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun MalE sering dikelirukan dengan variasi Bahasa Inggeris kolokial, Manglish, terdapat perbezaan ketara dari segi struktur tatabahasa, kosa kata, dan lenggok kedua-dua bahasa. Manglish mempunyai unsur bahasa tersendiri hasil campuran Bahasa Inggeris dengan tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil. Manakala, sistem tatabahasa MalE masih mengikut tatabahasa asal BrE. Walau bagaimanapun, perbezaan paling ketara ialah penggunaan istilah-istilah dan kosa kata tidak digunakan dalam Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika (AmE).
Antara istilah atau perkataan tersebut ialah perkataan “photostat” atau fotostat yang berbeza dengan istilah BrE iaitu “photocopy.” Selain itu, AmE dan BrE menggunakan perkataan “mobile phone” atau “cellphone” untuk telefon bimbit manakala MalE pula menggunakan perkataan “handphone.” Penggunaan istilah KIV atau “keep in view” juga hanya digunakan di dalam MalE sahaja.[3]Terdapat juga perkataan yang dikembangkan maknanya dalam MalE sebagai contoh perkataan “driver” yang hanya membawa maksud pemandu biasa dalam BrE dan AmE dikembangkan menjadi jenis pekerjaan yang bersamaan dengan pemandu peribadi atau “chauffeur” dalam istilah BrE dan AmE.[4]
MalE juga kaya dengan penggunaan istilah-istilah khusus budaya seperti “lepak,” “kampong/ kampung,” dan penggunaan “Hari Raya” berbanding “Eid” dalam BrE dan AmE. Kelaziman istilah khusus budaya dalam MalE terjadi kerana penutur memilih untuk mengekalkan banyak istilah budaya dalam bentuk asalnya demi keaslian nuansa.
Selain itu, ciri lain MalE adalah sebutan diftong (gabungan dua bunyi vokal) yang diringkaskan menjadi monoftong (bunyi vokal tunggal). Sebagai contoh, perkataan “sad” yang acapkali disebut dengan sebutan monoftong [sed] yang bersamaan dengan sebutan perkataan “said” sedangkan sebutan asalnya ialah [sæd] (gabungan bunyi [a] dalam perkataan “father” dan [e] dalam perkataan “bed”).[5] Ringkasan ini berlaku kerana fonetik bahasa ibunda penutur Malaysia pada asalnya tidak mengandungi diftong tersebut. Meskipun begitu, fenomena ini bukanlah sesuatu yang patut dianggap sebagai kesalahan bahasa kerana setiap variasi Bahasa Inggeris sememangnya akan mempunyai perbezaan sebutan terutamanya melibatkan bunyi vokal.
Hiraukan Si Prejudis Bahasa
Tanggapan bahawa Bahasa Inggeris British atau Amerika adalah lebih “betul” berbanding Bahasa Inggeris Malaysia ialah satu bentuk prejudis linguistik—diskriminasi berdasarkan cara pertuturan. Prejudis ini berpunca daripada kesan kolonialisme, sistem pendidikan yang menekankan variasi Bahasa Inggeris tertentu dan perkaitan antara loghat British dan Amerika dengan golongan berpendidikan luar negara dan status sosial yang tinggi. Tanpa kita sedar, ketaasuban ini menjadi penghalang lebih ramai rakyat Malaysia daripada memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris. Renung semula mengapa pelajar-pelajar dari negeri-negeri Pantai Timur dan Utara lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya? Adakah loghat negeri yang jelas kedengaran memaksa mereka mengunci mulut daripada bertutur dalam Bahasa Inggeris?
Perlu kita ambil maklum juga, prejudis ini tidak hanya berlaku secara inter-variasi, tetapi secara intra-variasi juga. Sebagai contoh, variasi Bahasa Inggeris British Selatan sering dikaitkan dengan golongan kelas atasan terutamanya “Bahasa Inggeris BBC” dan “Bahasa Inggeris Permaisuri”. Maka ia sering dianggap lebih berprestij berbanding Bahasa Inggeris British Utara yang biasanya dikaitkan dengan masyarakat “kelas pekerja.”[6]
Terpanggil saya untuk menyebut kata-kata figura hebat kelahiran George Town, Pulau Pinang, Prof. Dr. Farish Ahmad Noor, penganalisis politik, ahli sejarah dan pensyarah pengajian Asia Tenggara dan sejarah kolonial di Universiti Islam Antarabangsa Indonesia pada sesi ucapannya di konferensi TEDx talk, empat tahun lalu.
“Asia Tenggara perlu keluar dari kotak. Kita perlu berhenti dari mengagungkan kolonialisme dan terus tenggelam dengan stereotaip Asia Tenggara sebagai negara-negara mundur.[7]”
Kata-kata tersebut juga disampaikan dalam Bahasa Inggeris kita, Bahasa Inggeris Malaysia. Hatta yang mencerminkan dalamnya ilmu atau tingginya darjat itu bukanlah loghat bahasa. Jadi persepsi bahawa Bahasa Inggeris Malaysia tidak setanding variasi Bahasa Inggeris “penutur jati” hanyalah kata-kata si prejudis bahasa yang patut kita hiraukan.
Husna Shafirah Helmirizal adalah pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian): Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Beliau kini menjalani latihan praktikal di majalah Penang Monthly bagi mendalami pengalaman menulis tentang budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan di Malaysia.
[1] Kachru, B. (2006). English: World Englishes. In Elsevier eBooks (pp. 195–202). https://doi.org/10.1016/b0-08-044854-2/00645-3
[2] Ibid.
[3] Hashim, A. (2020). Malaysian English. In K. Bolton, W. Botha, & A. Kirkpatrick (Eds.), The Handbook of Asian Englishes (pp. 373–397). John Wiley & Sons, Inc. https://doi.org/10.1002/9781118791882.ch16
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] British people still think some accents are smarter than others – what that means in the workplace. (2019, November 26). Queen Mary University of London. https://www.qmul.ac.uk/media/news/2019/hss/british-people-still-think-some-accents-are-smarter-than-others–what-that-means-in-the-workplace.html
[7] TED. (2020, July 13). Why is colonialism (still) romanticized? | Farish Ahmad-Noor [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=Sigx5bMlzJU