Dewasa ini, kita dapat melihat dengan jelas teknologi semakin berkembang pesat. Semua perkara menjadi mudah, malahan tidak memerlukan usaha ataupun daya fikiran yang tinggi. Namun, adakah ini dapat kita katakan sebagai rahmat ataupun bala?
Automasi secara umumnya bermaksud, mengguna pakai teknologi untuk mengurangkan kebergantungan kepada manusia. Dengan kata kasarnya, menghapuskan manusia. Adakah ini sedikit sebanyak memberi getaran kepada kita yang dikatakan sebagai manusia ini? Tetapi, tidak semua bidang yang boleh mengadaptasi automasi kerana masih memerlukan sentuhan manusia, seperti bidang pendidikan dan perubatan.
Industri pembuatan adalah antara sektor yang paling mengguna pakai kelebihan automasi ini. Penggunaan automasi dalam bidang pembuatan ini sejajar dengan pengiraan pembuatan, iaitu waktu yang sedikit akan menjimatkan kos. Penggunaan robot mahupun AI bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan malahan menjimatkan kos pembuatan.
Bagi industri pembuatan, bermacam jenis kemahiran, kepakaran, dan pengetahuan diperlukan, dan ini juga bermaksud banyak tenaga kerja yang diperlukan. Namun dengan kepesatan automasi, semuanya dapat dilakukan oleh satu mesin, dan manusia tidak diperlukan lagi. Segala proses menjadi lebih mudah, tetapi hakikatnya lebih menakutkan.
Contoh terdekat yang dapat kita ulaskan adalah apabila sekecil-kecil kerja seperti pembungkusan atau pembalutan kini mula diganti dengan robot. Dahulunya, banyak tenaga manusia diperlukan untuk tugas ini, dan selalunya bergantung kepada ukuran projek tersebut. Namun, acap kali kita melihat sesebuah tempat kerja menjadi kosong kerana semuanya dilakukan oleh mesin. Jadi, dimanakah manusia pada masa hadapan sekiranya sekecil-kecil kerja ini dilakukan oleh mesin atau robot.
Namun demikian, kita turut sama bersetuju bahawa kepesatan ini turut sama membawa kebaikan terutama sekali dalam meningkatkan keselamatan manusia. Hal ini kerana, kerja berbahaya boleh diganti dengan mesin dan mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja. Ini terbukti apabila Mohd Shahid Mohd Noh (2022) melaporkan di Amerika Syarikat sendiri, 47% pekerjaan berisiko diganti dengan mesin automatik, dan ini berlaku terutama sekali dalam bidang pengangkutan, logistik dan operasi pengeluaran produk.
Pada masa yang sama, automasi ia mampu meningkatkan kadar ketepatan—kesilapan manusia dapat dikurangkan. Kita sedia maklum, apa jua kesilapan dalam bidang pembuatan akan memberikan kepada kos tambahan. Oleh yang demikian, kesilapan dapat dikurangkan dengan mengguna pakai kelebihan automasi.
Harus ditekankan di sini bahawa kita bukanlah enggan berubah seiring dengan kepesatan dan kemajuan teknologi, namun lebih kepada memikirkan kedudukan manusia pada masa hadapan, dan sudah pasti ia akan menjadi lebih mencabar. Kemajuan ini sedikit sebanyak memberi sedikit kesan buruk apabila manusia semakin tidak diperlukan.
Rozam (2025) melaporkan bahawa Malaysia mencatatkan kadar penurunan dalam pengangguran sebanyak 3.0 peratus pada April 2025, mencapai tahap terendah dalam tempoh sepuluh tahun. Angka ini bersamaan dengan jumlah 525,900 penganggur. Ia turut sama menekankan bahawa ekonomi yang stabil menjadi punca kepada tenaga buruh yang semakin membaik. Namun, dengan kepesatan automasi, kehilangan pekerjaan akan menjadi lebih besar.
Tambahan pula, ketergantungan kepada mesin juga boleh memberi kesan buruk sekiranya berlaku apa-apa jenis kerosakan mesin. Jika semua proses bergantung sepenuhnya kepada mesin, sebarang kerosakan atau gangguan kecil boleh mengakibatkan operasi tergendala dan operasi boleh diberhentikan kerana tiada pekerja yang boleh mengambil semula operasi tersebut.
Penggunaan teknologi dan kebergantungan kepada automasi turut mengundang bahaya dan membuka ruang kepada serangan siber. Terdapat pelbagai jenis kes serangan siber yang turut melumpuhkan operasi syarikat. Sebagai contoh, pada 7 Mei 2021, Colonial Pipeline sebuah saluran utama minyak di Amerika Syarikat telah mengalami serangan siber, sehingga mengakibatkan bekalan minyak terganggu dan pembelian tergesa-gesa. American Airlines turut sama terkesan, sehingga pelarasan jadual penerbangan diperlukan sebagai tindak balas kepada kekurangan bahan api.
Akhir sekali, paling merisaukan adalah apabila interaksi manusia makin berkurang. Automasi yang juga difahami sebagai langkah mengurangkan tenaga kerja manusia telah membataskan interaksi harian dan hubungan sosial. Sebagai contoh, dengan adanya mesin kopi automatik, manusia tidak lagi perlu berinteraksi dan mereka boleh mendapatkan kopi dengan mudah. Namun demikian, kesannya menyebabkan manusia lebih selesa berinteraksi dengan mesin, dan menyebabkan interaksi masyarakat semakin berkurang.
Oleh itu, melihat kepada kesan-kesan seperti ini, adakah menggantikan manusia dengan mesin dilihat sebagai satu cara yang bermoral dan beretika dalam mengadaptasi kemajuan teknologi? Kita harus melihat manusia sebagai satu identiti yang penuh dengan kreativiti, bukannya sebagai satu kos. Mereka harus diberi hak yang sama rata untuk turut sama memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan juga diri mereka sendiri. Jangan dinafikan hak mereka hanya kerana teknologi semakin pintar. Sepintar-pintar teknologi, ia masih memerlukan manusia untuk terus mengasahnya.
Dr. Hazlina merupakan pemegang Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA). Beliau bekerja di dalam sektor swasta – bidang pembuatan, dan juga merupakan tutor sambilan.
Rujukan
[1] Rozam, N. (2025) ‘Kadar pengangguran terendah dalam 10 tahun, Malaysia catat 3.0 peratus pada April’. [Dalam Talian] Astro Awani. Boleh didapati di : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kadar-pengangguran-terendah-dalam-10-tahun-malaysia-catat-30-peratus-pada-april-524557 [Diakses 12 November 2025]. [2] Mohd Shahid Mohd Noh, (2022) ‘50% boleh didominasi mesin’. [Dalam Talian] My Metro. Boleh didapati di : https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/01/801200/50-boleh-didominasi-mesin [Diakses 12 November 2025].

