Kemajuan teknologi pada era ini semakin tiada tandingan. Tiada benda yang yang kelihatan sukar dengan perkembangan teknologi. Jika dibanding pada zaman-zaman sebelumnya, banyak perkara hanya dapat diselesaikan dengan menggunakan kudrat tenaga yang banyak, memerlukan masa yang panjang. Namun kini, dengan teknologi yang berada hanya di hujung jari, semua menjadi mudah dan lebih menjimatkan masa.
Peredaran masa yang semakin laju, mengembangkan lagi keupayaan teknologi. Ini memberi peluang kepada dunia untuk terus menerokai jalan-jalan pintas yang mampu memudah carakan kehidupan serta aktiviti-aktiviti manusia. Banyak perbandingan nyata yang dapat kita lihat antara kehidupan terdahulu sebelum teknologi mula berkembang.Sebagai contoh, kita dapat lihat bagaimana penyapu yang dahulunya adalah salah satu peralatan wajib yang diperlukan di setiap rumah, kini digantikan dengan alatan yang lebih advanced iaitu coordless vacuum. Alatan ini seperti menjadi salah satu peralatan yang wajib kerana ia lebih menjimatkan masa serta tenaga.
Dahulunya, kita dapat menikmati makanan yang dibuat di rumah hampir setiap hari. Namun kini, mustahil untuk kita membezakan sesuatu makanan itu dimasak sendiri ataupun dimasak oleh mesin masakan. Ini adalah kerana dengan peredaran teknologi, ia telah berjaya melahirkan peralatan masakan yang mampu memasak pelbagai jenis juadah dengan hanya memasukkan bahan masakan. Contoh-contoh di atas, ternyata memberi kemudahan buat wanita bekerjaya kerana itu merupakan tugasan yang harus mereka pikul ketika di rumah. Dengan adanya gadget sedemikian, ia mampu membantu memberi lebih banyak ruang buat mereka untuk meluangkan masa bersama keluarga. Hal ini kerana, di hujung minggu banyak masa selalunya dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin tergendala akibat kerja hakiki pada hari-hari biasa. Oleh yang demikian, peralatan canggih sebegini mampu mengurangkan skop kerja mereka pada hujung minggu.
Dahulunya, kerja hakiki lebih kepada bekerja di pejabat bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Namun kini, sesebuah perniagaan boleh beroperasi dengan berjayanya tanpa perlu adanya bangunan perniagaan. Ini kerana para pekerja boleh bekerja dari rumah dengan aplikasi moden seperti Zoom, Skype dan Teams. Tambahan pula gadget yang lebih canggih sedang rancak dikeluarkan dalam usaha mendukung objektif pendigitalan, sebagai contoh tablet pada masa kini semakin besar saiznya bagi memudahkan urusan mesyuarat dalam talian. Manakala jam tangan digital juga semakin mendapat tempat pengguna di mana mereka mampu membuat panggilan telefon, menjawab mesej dan menerima notifikasi emel.
Selain itu, setiap organisasi kini mempunyai lebih banyak pilihan pemasaran berbanding zaman dahulu di mana mereka bergantung kepada pemasaran tradisional seperti radio, televisyen dan brosur yang dihantar dari rumah ke rumah. Kini dengan zaman yang makin moden, pelbagai aplikasi boleh digunakan bagi memasarkan produk dan juga servis mereka. Sebagai contoh aplikasi Facebook. Instagram dan juga TikTok. Kita harus akui bahawa aplikasi sebegini makin maju ke hadapan kerana adanya gadget-gadget seperti telefon pintar.
Aplikasi sebegini bukan sahaja membantu mengembangkan pendedahan tentang perniagaan mereka, malahan aktiviti jualan dalam talian juga membantu mereka meningkatkan jualan. Tambahan pula, dengan wabak Covid-19, ia merancakkan lagi aktiviti jualan apabila semua pengguna lebih suka barang-barang pembelian mereka mereka dihantar terus ke rumah.
Namun, sehebat manapun sesuatu teknologi itu berkembang, pastinya ia ada memberi kesan terhadap generasi yang mendatang. Ini dapat dilihat dengan nyata dimana, kanak-kanak kecil kini semakin ‘ketagih’ dengan gadget seperti telefon bimbit dan tablet. Hal ini secara tidak langsung mengganggu tumbesaran normal mereka. Mereka akan kurang mahu berinteraksi dengan dunia luar akibat rasa suka akan keunikan gadget tersebut. Ini secara tidak langsung, mengakibatkan banyak masalah-masalah kesihatan seperti kelewatan pertuturan, rabun mata dan juga meragam.
Ibu bapa yang memperkenalkan gadget kepada anak mereka di usia awal, berkemungkinan besar akan kehilangan momen-momen indah ataupun setiap detik kehidupan anak mereka, kerana mereka turut sama akan leka bersama anak-anak mereka. Oleh yang demikian, setiap ibu bapa harus memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan cara hidup anak-anak mereka. Dan kita juga harus mengaku, akibat daripada kepesatan teknologi dan juga kemampuan gadget sebagai alat yang dapat menjana pendapatan, ia sedikit sebanyak memberi ruang kepada anak-anak muda zaman sekarang untuk membelakangkan pendidikan. Ini amat menyedihkan kerana Malaysia akan melahirkan lebih banyak anak-anak muda yang tiada rasa cinta akan ilmu. Dan impaknya kita dapat lihat sekarang, apabila ramai anak-anak muda zaman sekarang yang terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dengan menyertai pelbagai jenis aksi di media sosial yang memerlukan mereka menari mahupun melakukan adegan-adegan yang berbahaya. Ini membuktikan bahawa orang yang cetek ilmu cenderung untuk mengambil langkah yang salah dalam mencorak kehidupan mereka.
Oleh yang sedemikian, sebagaimana kita menghargai kepesatan teknologi, kita juga harus bijak menggunakannya dengan baik agar fungsi asalnya tidak disalahguna. Anak-anak muda zaman sekarang haruslah bijak menggunakan teknologi agar mereka dapat memimpin kehidupan yang lebih baik. Contohnya, mereka boleh mengguna pakai kemudahan kelas dalam talian untuk belajar, dan pada masa yang sama boleh bekerja untuk menampung kehidupan. Ini agak mustahil buat pelajar zaman sebelum kewujudan teknologi, kerana mereka harus memilih untuk belajar atau bekerja kerana kedua-duanya memerlukan interaksi fizikal.
Akhir kata, bersyukurlah atas apa yang anda miliki, tetapi pastikan anda tidak menyalahgunakannya.